Monday, July 11, 2005

Khalid Jafri bersalah tulis maklumat palsu "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM", yang bersengkongkol?

Mahkamah Sesyen Ampang Jumaat 8 Julai 2005 telah menjatuhkan hukuman penjara setahun ke atas Datuk Khalid Jafri setelah disabitkan kesalahan menulis maklumat palsu dalam buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM ".

Hakim Mohamad Saman Mohamed Ramli dalam hujahnya ketika menjatuhkan hukuman antaranya Khalid dijatuhkan hukuman bersalah dan disabitkan dengan tuduhan itu setelah meneliti bahawa kes tersebut melampaui keraguan. Khalid mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu pada 12 Ogos 1998 dan pada peringkat pendakwaan, seramai 11 saksi memberi keterangan. Dia didakwa mengikut Seksyen 8A (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.Maklumat palsu berkenaan terkandong di muka 50 buku itu.

Pada 19 Feb 2003, Mohamad Saman mengarahkan Khalid membela diri selepas memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadapnya.Pembelaan telah mengemukakan dua saksi iaitu Khalid sendiri dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Musa Hassan serta memanggil semula saksi pendakwaan Supt Mohd Rodwan Mohd Yusof.

Kes ini telah menarik perhatian pemerhati dalam dan luar negara kerana berdasarkan maklumat fakta buku inilah Bekas Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad begitu yakin untuk memecat Timbalan Perdana Menteri Ketika itu Sdr anwar ibrahim atas tuduhan moral.

Kini mahkamah telah menetapkan bahawa maklumat dalam buku itu fitnah maka rakyat menanti bekas Perdana Menteri untuk tampil dan memohon maaf di atas tindakan beliau yang menyebabkan kerugian bukan sedikit kepada rakyat dan negara.

Semalam 10 Julai 2005 akhbar tempatan melaporkan Ketua Menteri Melaka Ali Rustam yang menyatakan bahawa anugerah Datuk kepada Khalid boleh ditarik balik jika rayuannya di tolak. Ini satu yang amat memalukan

Semasa tempoh perbicaraan tersebut juga Khalid telah dianugerahkan Datuk oleh Yang Dipertua Negeri Melaka. Angkatan muda mempersoalkan tindakan ini kerana : Anugerah Datuk ketika Khalid masih dibicarakan boleh dilihat sebagai balasan kerana menulis buku tersebut ini kerana Yang Dipertua Negeri Melaka, Khalil Yaakop yang mengurniakan anugerah Datuk kepada Khalid juga mempunyai kepentingan dalam kes pemecatan saudara Anwar Ibrahim.

Apakah sumbangan Khalid terhadap Negeri Melaka sehingga Yang Dipertuan Negeri Melaka menganugerahkan beliau Datuk.

Angkatan Muda Malaysia melihat penarikan Datuk kepada Khalid tidak membawa erti apa – apa. Kami menuntut supaya siapa yang terlibat dalam menganugerahkan tersebut perlu tampil memberikan alasan mengapa Khalid diberikan anugerah tersebut ? Adakah kerana balasan menulis buku fitnah ? Jika tiada alasan yang munasabah mereka perlu memohon maaf secara terbuka bukan setakat menarik semula Datuk dari Khalid.

No comments:

Post a Comment