Monday, May 29, 2006

AMK dakwa wujud kem-kem Umno di Negeri Sembilan

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob

(Bahagian Pertama)
KUALA LUMPUR, 17 Mei (Hrkh) - Negeri Sembilan cukup terkenal dengan adat pepatihnya, malah masyarakat negeri ini dilihat agak taksub dengan adat hingga lahirlah satu falsafah 'biar mati anak jangan mati adat' yang dipegang seutuhnya.

Begitupun penulis bukanlah mahu membincangkan soal adat mahupun ketaksuban masyarakat negeri bersendi adat itu, sebaliknya isu pergolakan politik Umno negeri disebalik ketenangan wajah Menteri Besarnya (MB), Dato' Mohammad Hassan.

Umum mengetahui, Mohammad Hassan adalah 'orang baru' dalam politik Umno negeri mahupun peringkat nasional.

Beliau dilantik menjadi MB berikutan hubungannya yang rapat dengan keluarga Dato' seri Abdullah Ahmad Badawi serta pengaruh menantu Abdullah, Khairy Jamaluddin yang menebal, dakwa Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin.

Tidak dinafikan, Mohammad Hassan adalah 'star' dalam senarai korporat Bumiputera yang berjaya di negara ini, katanya ketika ditemui di Seremban baru-baru ini.

Bagaimanapun, Mohammad Hassan bukanlah seorang pentadbir yang cekap mengendalikan hal ehwal pengurusan sebuah negeri, katanya.

Kematangan politiknya belum cukup untuk memerintah sebuah negeri yang sebelum ini 'dijajah' oleh Dato'Seri Utama Mohd Isa Samad, kata Badrul Hisham yang juga calon yang menentang Mohammad di Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau dalam pilihan raya ke 11 yang lalu.

Pengaruh Mohd Isa masih menebal mengakibatkan politik dan pentadbiran Mohammad Hassan 'goyah' tetapi MB Negeri Sembilan ini masih beruntung kerana salahsilah keluarganya dalam Umno membantu beliau duduk ditangga teratas di negeri itu.

Abangnya, Dato' Azman Hassan serta Abdul Ghani adalah orang kuat Umno negeri dan telah bersetia kepada Umno negeri selama lebih 30 tahun, katanya.

Hingga kini khidmat Azman sebagai 'playermaker' mentadbir urus kerajaan negeri diperlukan hinggalah kepada soal pembahagian kontrak dan sebagainya ditentukan Azman yang lebih popular di kalangan 'tauke tauke besar', dakwa Badrul Hisham.

Akibatnya beberapa individu yang tidak sehaluan dan tidak berpuashati dengan kaedah pentadbiran Mohammad Hassan mewujudkan kumpulan mereka sendiri sebagai tanda protes ke atas Mohammad Hassan kata Badrul Hisham.

Kumpulan-kumpulan ini katanya sudah mula meraih sokongan ahli untuk melancarkan perang saraf ke atas Mohammad Hassan, katanya.

Semuanya kerana mahu bergantung kepada populariti keluarga, hinggalah digelar sebagai pemimpin lemah dan masyarakat Negeri Sembilan mula merasai kelemahan pentadbiran MB ini, katanya.

No comments:

Post a Comment