Thursday, April 28, 2011

Keadilan untuk Sarbani, jangan sia - siakan kematiannya


terbitan semula kenyataan media bertarikh 8 April. sila klik sini

Friday, April 08, 2011

Jangan sia-siakan kematian Ahmad Sarbani bangkit desak SPRM bebas letak bawah Parlimen

Kenyataan Media
8 April 2011

Ingat, pada 15 Julai 2009, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah menahan untuk tujuan soal siasat Teoh Beng Hock sebagai seorang saksi. Pada keesokan paginya Teoh Beng Hock dijumpai mati di bawah bangunan bersebelahan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Selangor. Sehingga hari ini tidak satu penjelasan yang konkrit dapat diberi untuk menjawab bagaimana mayat Teoh Beng Hock yang di bawah pengawasan SPRM dijumpai mati. Sehingga hari ini tidak ada satu pihak pun yang diheret untuk bertanggungjawab atas kematian itu.

Beberapa hari lalu kita dikejutkan lagi dengan kematian Ahmad Sarbani Mohamed, Timb. Pengarah Kastam yang disiasat atas tuduhan rasuah mati dengan aksi yang sama dengan Teoh Beng Hock. Beliau dijumpai mati akibat saya serupa – jatuh dari bangunan SPRM Kuala Lumpur. Kononya beliau datang ke Pejabat SPRM tetapi didapati mati pada hari yang sama akibat dikatakan jatuh dari bangunan.

Solidariti Anak Muda Malaysia, memandang serius kejadian dua kejadian kematian terjun/ terjatuh dari bangunan mereka yang dipanggil untuk soal siasat di Pejabat SPRM. Mereka yang mati ini adalah di bawah tanggungjawab SPRM, berada dalam bangunan SPRM dan akhirnya mati di luar bangunan akibat terjatuh atau terjun atau dibuang dari Bangunan SPRM.

Solidariti Anak Muda Malaysia, selama ini telah mempersoalkan kredibiliti dan integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, cara pengendalian soal siasat dan langkah yang diperuntukkan kepada saksi yang dipanggil SPRM untuk disoal siasat. SPRM juga dilihat sebagai alat pekakas regim Bn untuk pendakwaan terpilih bukan sahaja menyerang mereka dari parti lawan tapi turut diperguna untuk menyekat pesaing politik dalam Bn sendiri.

Solidariti Anak Muda Malaysia kesal dengan apa yang berlaku dan setakat ini SPRM gagal mengambil tanggung jawab terhadap kejadian yang berlaku. Kami juga mempersoalkan cara dan teknik soal siasat yang dikatakan tidak berperikemanusiaan, ganas dan bertindak seolah-olah mendera mereka yang disoal siasat. Ada beberapa kes juga melibatkan SPRM dikatakan bertindak melampau dalam menyoal siasat saksi khususnya untuk mendapatkan jawapan yang selari dengan apa yang mereka mahu.

Kita amat kesal dengan SPRM yang menidakkan hak – hak mereka yang disoal siasat dalam kes-kes yang melibatkan jenayah. SPRM hari ini juga banyak berdepan dengan isu keganasan yang melibatkan pasukan soal siasat mereka. Tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan ini juga telah dilaporkan dalam kes yang melibatkan Bekas Kepimpinan UMNO sendiri, yang mana saksi kes ini Halimi Kamaruzzaman dan beberapa saksi lain dalam kes Datuk Norza Zakaria telah memaklumkan bahawa mereka dikasari dan dipaksa mengeluarkan kenyataan yang sealiran dengan kehendak SPRM.

Kami mendesak agar SPRM ini disiasat secara terperinci kerana kami percaya integriti SPRM tercemar dengan tindakan berpilih-pilih, digunakan untuk kepentingan politik individu dan berlaku kejam terhadap mereka yang disoal siasat.

Solidariti Anak Muda Malaysia gusar bahawa Institusi ini yang kononnya mahu mencegah rasuah hari ini bebas melakukan perbuatan jenayah yang melibatkan saksi – saksi yang dipanggil.

Kami memandang berat dan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah ini terus diletakan di bawah bidang kuasa parlimen untuk mengelakkan mereka dipergunakan, di peralatan dan terlibat dalam politik negara yang menyebabkan mereka tidak nampak adil dan saksama dalam menjalankan tanggungjawab.

Kami percaya banyak isu yang melibatkan kakitangan penyiasatan mereka yang melakukan kecurangan, merobek hak asasi kemanusiaan dan di pergunakan oleh kepimpinan tertentu. Kami memandang berat salah satu Suruhan jaya penting dalam negara ini bertindak menyimpang dari matlamat yang mahu dicapai. Kami membantah sekeras-kerasnya jenayah mereka yang beruniform berleluasa dengan tindakan – tindakan yang terpilih-pilih dan juga mengamalkan rasuah itu sendiri.

Hari ini Suruhanjaya Pencerahan Rasuah Malaysia menjadi bahan ejek baik dalam dan luar negara sebagai satu badan yang tidak lagi punyai kredibiliti dan integriti seperti mana yang diharapkan.

Nampaknya ini menguatkan alasan untuk menyakini tindakan pengkebumian olok-olok SPRM yang kami lakukan pada 25 Feb.lalu satu tindakan yang betul. Klik (http://chegubard.blogspot.com/2009/02/kenyataan-media-penuh-ssamm-sprm-mati.html) SPRM hanya akan kekal sebagai bangkai bernyawa menghabiskan wang rakyat dengan terus menjadi alat Bn.

Akhir sekali SAMM merakamkan takziah kepada keluarga mangsa arwah Ahmad Sarbani Mohamed. InsyaAllah kematian Ahmad Sarbani tidak akan menjadi sia-sia, ia seharusnya membuka mata rakyat untuk bangkit. Ahmad Sarbani ialah mangsa kerakusan hasil sistem yang korup.

che'GuBard
Pengerusi
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Laporan Audit 2009 : pentadbiran NS lemah tetapi tiada tindakan susulan

Laporan Audit 2009 N.Sembilan dedah beberapa kelemahan

Berikut beberapa kelemahan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara untuk Negeri Sembilan bagi tahun 2009. Untuk laporan penuh sila ke laman web www.audit.gov.my . Penyenggaraan jambatan dan jalan negeri adalah kurang memuaskan. Pengurusan pengambilan pasir di Negeri Sembilan adalah kurang memuaskan kerana berlaku pencemaran. Syarat pentadbiran dan teknikal berkenaan pengambilan pasir yang tidak dipatuhi dan penguatkuasaan Akta Air tidak dilaksanakan.

Hutang Kerajaan Negeri. Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa menerima pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembangunan. Pada akhir tahun 2009, baki hutang Kerajaan Negeri telah meningkat sejumlah RM259.06 juta atau 12.1% kepada RM2.4 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2008.

Pada keseluruhannya hasil yang dikutip oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2009
berjumlah RM247.79 juta iaitu berkurangan sejumlah RM12.91 juta atau 4.9%
berbanding tahun 2008 berjumlah RM260.70 juta.

Kadar Pengurusan Air Tidak Berhasil NRW di Negeri Sembilan pada tahun 2007 adalah merupakan yang kedua tertinggi daripada 13 negeri iaitu 53.1%. Bagi tahun 2008 dan 2009 tiada perubahan bagi NRW di Negeri Sembilan di mana masih kekal di tahap melebihi 50% berbanding tahap kebangsaan pada kadar 37%.

Majlis Perbandaran Port Dickson. Beberapa kelemahan telah dikenal pasti seperti ketiadaan kolam larutan resap, ketiadaan kemudahan asas di tapak pelupusan, tempoh perjanjian konsesi telah luput dan aspek pemantauan yang tidak teratur. Terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti menyebabkan kemudahan yang disediakan tidak dapat digunakan dengan baik dan selesa oleh orang awam antaranya seperti permukaan jalan yang rosak, bahu jalan berlubang dan tidak sempurna, jalan pecah selepas diturap semula dan pembersihan longkang yang tidak sempurna.

Kelemahan pengurusan secara keseluruhannya dilihat dari aspek pembayaran balik pinjaman. Sehingga tahun 2009, tunggakan bagi bayaran balik pinjaman adalah sejumlah RM8.19 juta atau 12.5% daripada keseluruhan pinjaman berjumlah
RM65.56 juta yang melibatkan 3,021 peminjam.

Ganda Akademik Sdn. Bhd. (GASB) telah ditubuhkan pada Julai 1993 dan
merupakan sebuah syarikat milik penuh Yayasan Negeri Sembilan (Yayasan). Pengurusan aktiviti utamanya yang meliputi pengendalian dua buah pusat pengajian adalah kurang memuaskan di mana terdapat beberapa kelemahan seperti pengurusan aset yang lemah dan tunggakan sewa serta tunggakan pinjaman dari Yayasan yang masih belum dapat dilunaskan.

Liberty Capital Sdn. Bhd. (LCSB) merupakan sebuah syarikat milik penuh Yayasan
Negeri Sembilan (Yayasan) dengan pelaburan sejumlah RM1.1 juta (100%) dan ditubuhkan pada 1 Julai 1993. Prestasi kewangan LCSB adalah tidak memuaskan kerana mengalami kerugian terkumpul bagi tiga tahun berturut-turut bagi tempoh tahun kewangan 2006 hingga 2008. Kerugian ini berpunca daripada peningkatan perbelanjaan LCSB.

LAPORAN
KETUA AUDIT NEGARA
AKTIVITI JABATAN/AGENSI DAN PENGURUSAN SYARIKAT KERAJAAN
NEGERI SEMBILAN
TAHUN 2009

AKTIVITI JABATAN/AGENSI KERAJAAN NEGERI

1. Jabatan Kerja Raya Negeri Sembilan - Pengurusan Penyenggaraan Jambatan
Di Jalan Negeri

Pada keseluruhannya, pengurusan penyenggaraan jambatan jalan negeri adalah kurang memuaskan. Antara kelemahan yang dikenal pasti ialah JKR Negeri tidak mengguna pakai garis panduan yang disediakan untuk menjalankan pemeriksaan jambatan jalan negeri seperti mana yang dilaksanakan oleh Ibu Pejabat JKR Kuala Lumpur untuk pemeriksaan jambatan bagi jalan-jalan persekutuan dan daftar inventori jambatan di jalan negeri yang tidak lengkap. Tindakan segera perlu diambil
bagi memantapkan dan mempertingkatkan pengurusan penyenggaraan jambatan di jalan-jalan negeri.

2. Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Sembilan, Pejabat Daerah Dan Tanah,
Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian Negeri Sembilan Dan Badan Kawal Selia
Air Negeri Sembilan - Pengurusan Aktiviti Perlombongan Dan Pengambilan
Pasir Serta Kesannya Terhadap Alam Sekitar

Kajian Audit mendapati pengurusan pengambilan pasir di Negeri Sembilan adalah kurang memuaskan kerana berlaku pencemaran yang mengakibatkan penurunan kualiti air sungai, kemusnahan tebing sungai dan perubahan rejim sungai di kawasan yang ada aktiviti pengambilan pasir. Semakan juga mendapati syarat pentadbiran dan teknikal berkenaan pengambilan pasir yang dikeluarkan oleh JPSNS tidak dipatuhi dan penguatkuasaan Akta Air 1920 (Pindaan 2007) yang berperanan melindungi pencemaran sungai oleh Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan tidak dilaksanakan.

3. Majlis Perbandaran Port Dickson - Pengurusan Sisa Pepejal Dan Kesannya
Terhadap Alam Sekitar

Tapak pelupusan sisa pepejal di Sua Betong dan Bukit Palong merupakan dua tapak yang diselia oleh pihak MPPD. Beberapa kelemahan telah dikenal pasti semasa kajian audit ini dijalankan seperti longgokan sisa pepejal secara haram, ketiadaan kolam larutan resap, ketiadaan kemudahan asas di tapak pelupusan, tempoh perjanjian konsesi telah luput dan aspek pemantauan yang tidak teratur. Tindakkan penguatkuasaan terhadap kesalahan pembuangan sampah haram dan pemantauan pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal perlu dipergiatkan lagi oleh MPPD bagi memastikan kelemahan dapat diatasi.

4. Majlis Perbandaran Seremban (MPS) Dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN)
- Pengurusan Penyenggaraan Jalan Majlis

Terdapat beberapa kelemahan yang dikenal pasti menyebabkan kemudahan yang disediakan tidak dapat digunakan dengan baik dan selesa oleh orang awam antaranya seperti permukaan jalan yang rosak, bahu jalan berlubang dan tidak sempurna, jalan pecah selepas diturap semula dan pembersihan longkang yang tidak sempurna. Pihak Majlis hendaklah melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan jalan raya secara berkala bagi memastikan jalan raya dalam keadaan selamat.

5. Yayasan Negeri Sembilan - Pengurusan Pinjaman Pendidikan

Kelemahan pengurusan secara keseluruhannya dilihat dari aspek pembayaran balik pinjaman. Sehingga tahun 2009, tunggakan bagi bayaran balik pinjaman adalah sejumlah RM8.19 juta atau 12.5% daripada keseluruhan pinjaman berjumlah
RM65.56 juta yang melibatkan 3,021 peminjam. Yayasan perlu mengkaji kemampuan dalam memberi pinjaman pada masa akan datang untuk kekal sebagai badan pemberi pinjaman pendidikan. Kelemahan lain yang diperhatikan ialah masalah yang dihadapi oleh Yayasan untuk memproses dan menjana maklumat yang tepat dan kemas kini daripada Sistem Pengurusan Pinjaman Pendidikan Yayasan Negeri Sembilan (SPPYNS) kerana teknologi yang jauh ketinggalan. Usaha untuk menggantikan
SPPYNS juga didapati belum berhasil kerana sistem baru gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan walaupun telah lebih daripada tiga tahun dibangunkan dan belum diserahkan kepada Yayasan.

6. Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) - Pengurusan Air Tidak Berhasil (NRW)

Kadar NRW di Negeri Sembilan pada tahun 2007 adalah merupakan yang kedua tertinggi daripada 13 negeri iaitu 53.1%. Bagi tahun 2008 dan 2009 tiada perubahan bagi NRW di Negeri Sembilan di mana masih kekal di tahap melebihi 50%
berbanding tahap kebangsaan pada kadar 37%. Pada tahun 2008, SAINS menganggarkan kehilangan hasil dari NRW berjumlah RM40 juta setahun. Beberapa isu yang ditemui antaranya kadar NRW yang tidak mencapai sasaran Key Performance Indicator (KPI) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), pengiraan imbangan air tidak tepat dan peningkatan semula kadar NRW. Kelemahan ini berlaku disebabkan oleh kekurangan kakitangan dalam penyenggaraan dan pemantauan secara berterusan serta kepakaran dan peralatan yang tidak mencukupi. Pada keseluruhannya, pengurusan NRW di Negeri Sembilan adalah kurang memuaskan dan memerlukan penambahbaikan bagi mengekalkan kadar NRW selaras dengan objektif NRW SAINS.

PENGURUSAN SYARIKAT KERAJAAN NEGERI

7. Syarikat Ganda Akademik Sdn. Bhd.

Ganda Akademik Sdn. Bhd. (GASB) telah ditubuhkan pada Julai 1993 dan merupakan sebuah syarikat milik penuh Yayasan Negeri Sembilan (Yayasan). Modal dibenarkan adalah RM5 juta dan setakat Jun 2008 modal berbayar berjumlah RM3.55 juta. GASB menjalankan perniagaan pendidikan di dua buah pusat pengajian di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Pengurusan aktiviti utamanya yang meliputi pengendalian dua buah pusat pengajian adalah kurang memuaskan di mana terdapat beberapa kelemahan seperti pengurusan aset yang lemah dan tunggakan sewa serta tunggakan pinjaman dari Yayasan yang masih belum dapat dilunaskan. Prestasi kewangannya yang dilihat daripada margin keuntungan menunjukkan pulangan negatif yang semakin meningkat sementara trend nisbah semasa semakin menurun dari tahun 2006 hingga 2008. Kelemahan yang dikenal pasti memerlukan langkah mengurangkan kos operasi, melupuskan aset yang usang, menstrukturkan semula organisasi dan mempromosikan produk syarikat dengan lebih agresif.

8. Syarikat Liberty Capital Sdn. Bhd.
Liberty Capital Sdn. Bhd. (LCSB) merupakan sebuah syarikat milik penuh Yayasan Negeri Sembilan (Yayasan) dengan pelaburan sejumlah RM1.1 juta (100%) dan ditubuhkan pada 1 Julai 1993. Objektif penubuhan LCSB adalah untuk meningkatkan keputusan peperiksaan bagi mata pelajaran kritikal iaitu Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar luar bandar. LCSB menguruskan tiga buah pusat tuisyen milik Yayasan iaitu di Rantau dan Simpang Pertang yang mula beroperasi pada tahun 2008 serta di Palong 5 yang mula beroperasi pada tahun 2009. Pengurusan aktiviti utama syarikat tersebut adalah baik tetapi terdapat beberapa kelemahan seperti misi dan wawasan syarikat tidak ditentukan, penyediaan bajet yang tidak realistik, pemeriksaan fizikal ke atas aset tidak dilaksanakan, pembaikan dan pelupusan aset tidak dilakukan serta pemantauan fizikal serta lawatan ke pusat tuisyen tidak direkodkan. Prestasi kewangan LCSB adalah tidak memuaskan kerana mengalami kerugian terkumpul bagi tiga tahun berturut-turut bagi tempoh tahun kewangan 2006 hingga 2008. Kerugian ini berpunca daripada peningkatan perbelanjaan LCSB. Oleh itu LCSB perlu mempertingkatkan strategi untuk memperbaiki kedudukan kewangan sekurang-kurangnya dapat mengatasi kerugian terkumpulnya.

PENYATA KEWANGAN KERAJAAN NEGERI DAN PENGURUSAN KEWANGAN JABATAN/AGENSI NEGERI SEMBILAN
TAHUN 2009

b) Kutipan Hasil Sebenar Tahun 2009 Berbanding Tahun 2008
Pada keseluruhannya hasil yang dikutip oleh Kerajaan Negeri pada tahun 2009 berjumlah RM247.79 juta iaitu berkurangan sejumlah RM12.91 juta atau 4.9% berbanding tahun 2008 berjumlah RM260.70 juta. Pengurangan hasil tersebut adalah disebabkan oleh pengurangan hasil cukai sejumlah RM2.01 juta atau 1.7% kepada RM113.51 juta pada tahun 2009 berbanding RM115.52 juta pada tahun 2008. Terimaan bukan hasil juga berkurangan sejumlah RM17.59 juta atau 21.8% kepada RM63.02 juta pada tahun 2009 berbanding RM80.61 juta pada

4.8.3 Hutang Kerajaan Negeri
Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa menerima pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan bagi membiayai projek pembangunan. Pada akhir tahun 2009, baki hutang Kerajaan Negeri telah meningkat sejumlah RM259.06 juta atau 12.1% kepada RM2.4 bilion berbanding RM2.14 bilion pada tahun 2008. Baki berjumlah RM2.4 bilion tersebut adalah merupakan baki pinjaman pokok yang belum dijelaskan oleh Kerajaan Negeri bagi tujuan Projek Bekalan Air, Rumah Awam Kos Rendah, Projek Perbadanan Kemajuan Negeri, Projek Ladang Hutan dan Projek Pelbagai. Peningkatan baki pinjaman antaranya adalah disebabkan oleh pinjaman yang diterima oleh Kerajaan Negeri berjumlah RM278.19 juta pada tahun 2009. Kedudukan hutang Kerajaan Negeri pada akhir tahun 2009 berbanding tahun 2008 adalah seperti di Jadual 4.36.

SILA KLIK PADA IMEJ UNTUK LEBIH JELAS
























Pelancaran Jelajah Belia Selangor

Kerajaan Selangor akan menganjurkan Program Jelajah Belia Selangor. Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dijemput untuk bersama menjayakan program ini.

Sehubungan dengan itu semua adik beradik SAMM dijemput untuk sama memeriahkan dan mengambil manafaat dari program tersebut. Kesempatan ini juga wajar digunakan sebagai medan temu sesama kita yang rasanya ada yang agak lama sudah tidak bertemu.

Sebagai tawaran kepada yang hadir program tersebut akan boleh memiliki T-shirt terbaru SAMM dengan harga RM 5 sahaja (kos sehelai ialah RM15). Tshirt terhad ini hanya boleh diperolehi di pintu masuk tempat program diadakan. Bayar, miliki dan pakai untuk majlis tersebut.


Sesi 1 dan Pelancaran – Anak Muda Peneraju Perubahan

Tarikh: 29 April 2011
Masa: 2.30-6.30pm
Tempat: Bangi Golf Resort, Bandar Baru Bangi

Panel:
Isham Rais (Tukar Tiub) , Ustaz Zamri (Hos Mari Mengaji TV9), Abdullah Karim (Mantan Presiden MPPUKM), Fahda Nur (Penerima Anugerah Belia Komanwel & Belia Negara 1999), Chegu Bard (SAMM), Hilman Idham (KAMI) dan ramai lagi..............

Masuk percuma! Jamuan ringan & cabutan bertuah disediakan.

Kerajaan Umum bina Hospital baru di Nilai, Janji Hospital Rembau mana ?


Merujuk akhbar Sinar Harian 26 April 2011, yang melaporkan berita dari persidangan Dewan Undangan Negeri Sembilan yang membangkitkan cadangan Kerajaan untuk membina Hospital Besar di Nilai.

Cadangan ini telah mendapat respon positif dari ADUN kawasan berkenaan YB Yap Yau Weng (DAP - Nilai) yang mengucapkan terima kasih.

"“Jika adanya hospital besar di situ, orang ramai khasnya pesakit di Nilai tidak perlu bersusah payah berulang-alik ke Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban untuk mendapatkan rawatan,” Yau Weng dilaporkan berkata demikian semasa membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir pada Persidangan Pertama Penggal Ke Empat Dewan Undangan Negeri ke-12, di sini, semalam.

Perkembangan ini mengesahkan teori bahawa Kerajaan Barisan Nasional menggunakan peruntukan dan tawaran pembangunan sebagai alat politik meraih undi. Kawasan Nilai dimenangi oleh Pakatan rakyat termasuk kawasan Parlimennya maka kawasan tersebutlah mendapat tawaran pembangunan. Malangnya di kawasan yang Umno dan Barisan Nasional kuat bukan sahaja seolah tercicir malah janji yang ditabur juga tidak ditunaikan kerana Barisan Nasional yakin mereka akan terus menang dikawasan tersebut.

Contohnya Hospital Besar Rembau telah dijanjikan beberapa kali dan yang terbaru ia diulang dalam pilihanraya umum yang lalu. Siap dengan upacara meletakkan batu asas yang mendapat liputan media dan dipaksa pula dihadiri oleh penjawat awam. Namun sehingga ini Hospital tersebut masih gagal dibina. Tapak pembinaan hospital tinggal sunyi.

klik sini untuk membaca lanjut perihal tawaran Hospital Besar Rembau.

Maka jika banyak permintaan atau janji tak tertunai, maka pengundi seharusnya bijak... tukar status kawasan yang kuat Barisan Nasional kepada Pakatan Rakyat nescaya kawasan anda akan menjadi tumpuan.

Wednesday, April 27, 2011

Siapa sebenarnya pengkianat MELAYU di Pulau Pinang


Menurut fakta terbaru tanah milik Melayu di Daerah Timur Laut hanya 1.16 peratus, Balik Pulau (15.07 peratus), Seberang Perai Utara (44.20 peratus), Seberang Perai Tengah (23.55 peratus) dan Seberang Perai Selatan (18.09 peratus). Ia menjadikan keseluruhan tanah milik Melayu di negeri ini cuma 20.41 peratus.

Kajian mendapati 7,000 orang Melayu akan kehilangan tempat tinggal kerana rumah mereka kini dibina di atas tanah milik bukan Melayu seperti Kampung Jalan Pokok Asam, Kampung Binjai, Teluk Kumbar dan Bayan Lepas.

Separuh abad Umno berkuasa di Pulau Pinang, apa mereka buat untuk memajukan orang Melayu, mempertahankan hak mereka, membina kekuatan orang Melayu dalam pelbagai bidang khususnya ekonomi? Masalah Melayu Pulau Pinang telah diseminar dan didiskusikan oleh ahli-ahli akademik sejak berdekad yang lalu.

Sudah berpuluh resolusi dihasilkan, semuanya sampai ke tangan para pemimpin Umno negeri yang pada waktu itu menjadi Exco dan Menteri. Apa langkah yang mereka ambil? Hanya selepas Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (yang dikatakan kerajaan DAP) barulah Umno terhegeh-hegeh nak mendedahkan isu Melayu Pulau Pinang yang merempat di bumi sendiri.

PAS sebagai pembangkang di Pulau Pinang adalah pihak yang lantang memperjuangkan hak Melayu Pulau Pinang yang terlepas satu persatu. Sewaktu tahun 70an PAS telah mempersoalkan perkampungan Melayu di Tanjung yang terhapus satu persatu, bertukar milik kepada pihak lain.

Sewaktu Lim Chong Eu menjadi Ketua Menteri, terdapat cadangan supaya Masjid Negeri dibina di Padang Kota sebagai mercu tanda Islam di Pulau Pinang. Cadangan dibantah keras oleh Gerakan dan MCA kerana tidak mahu simbol Islam kelihatan di pintu masuk Pulau Pinang. Umno hanya menurut macam orang bodoh. Masa itu tindakan Gerakan dan MCA bukan rasis. Jika isu masjid pun Umno tidak mampu hadapi, macam mana nak perjuangkan isu hak Melayu Pulau Pinang.

Isu orang Melayu tinggal di atas tanah yang bukan milik mereka, bukan perkara baru. Juga disentuh oleh penceramah PAS lebih 30 tahun lalu. Lebih dari 7,000 orang Melayu yang sudah terusir. Bekas tapak rumah mereka kini menjadi kompleks perniagaan dan hotel yang berderetan dari Padang Kota Lama hingga ke Tanjung Tokong, dah jadi milik orang lain. Umno hanya melihat dengan mata putih, apa mereka buat atau apa mereka boleh buat?

Jika sekarang baru Umno membawa isu 7,000 orang Melayu bakal terusir dari rumah yang mereka duduki kerana berada di atas tanah milik orang lain, maka ia tidak lebih dari cerita zaman P. Ramlee yang diputar semula. Ia sama sekali bukan angkara DAP kerana tanah orang lain yang mereka duduki itu bermula dari zaman BN dahulu. Ia berlaku kerana kemiskinan orang Melayu, tidak bertanah dan menumpang di atas tanah orang.
Kemunduran Melayu Pulau Pinang adalah kerana kegagalan Umno sebagai penguasa (dalam tempoh yang panjang) memperjuangkan nasib mereka. Umno lebih selesa ajar Melayu Pulau Pinang main boria dari meneroka peluang-peluang ekonomi.

Kini Umno mencari isu remeh temeh untuk menjadikan DAP sebagai kambing hitam menutup kegalan mereka. Pengambilan tanah di Balik Pulau untuk projek hub pendidikan dijadikan isu kononnya DAP mahu mengusir Melayu, walhal 80 peratus tanah terbabit milik bukan Melayu. Hanya 20 peratus milik Melayu. Sewaktu satu demi satu tanah milik Melayu di Balik Pulau diambil oleh kerajaan pada tahun 80-an untuk pelbagai tujuan, Umno tidak sibuk mengangkat sepanduk.

Kehilangan tanah milik Melayu di Pulau Pinang yang berpindah kepada bukan Melayu lebih banyak berlaku kerana Melayu dengan rela hati menjual tanah tersebut kepada bukan Melayu. Jumlah yang berpindah milik kerana jualan secara rela hati itu sebenarnya lebih besar berbanding, tanah yang diambil oleh kerajaan negeri. Tapi apa Umno buat sewaktu jadi kerajaan dulu?

PAS dan Melayu KeADILan turut dipersalahkan. Apa sangat yang mampu dibuat oleh PAS dan KeADILan dalam masa terdekat apabila diwariskan sebuah negeri yang sudah kering kontang hak Melayunya – angkara kegagalan kerajaan terdahulu.

DAP dituduh anti Melayu tetapi di masa DAPlah pemberian bantuan kewangan kepada Sekolah Agama Rakyat, elaun dan duit raya kepada guru KAFA yang lebih tinggi berbanding kerajaan BN di samping mengiktiraf para huffaz berlaku.

Di bawah DAP yang ‘anti-Islam’ Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang mengharamkan judi bola sepak sehingga menyekat peluang pemimpin UMNO dan BN untuk meraih keuntungan jutaan ringgit dari aktiviti judi bola sepak sempena Piala Dunia 2010 baru-baru ini.

Kerajaan DAP yang memberi wang ehsan kepada sekitar 110,000 warga emas di Pulau Pinang, sesuatu yang tidak pernah berlaku selama 51 tahun BN memerintah Pulau Pinang.

Pulau Pinang menjadi negeri pertama yang berjaya menghapuskan kemiskinan tegar dalam tempoh setahun pentadbiran, memastikan setiap keluarga mendapat sekurang-kurangnya RM500 sebulan. Hampir semua yang miskin tegar itu orang Melayu.

Di zaman Lim Guan Eng juga berlaku pemberian bantuan mikro-kredit tanpa faedah kepada peniaga-peniaga kecil yang majoritinya Melayu dan mengurangkan bayaran lesen penjaja dan nelayan sebanyak 50 peratus.

Biarkan jari telunjuk Umno semakin panjang menuding pihak lain. Dasar Umno,
“Aku sentiasa betul, orang lain yang salah.”

Tuesday, April 26, 2011

ADUN BN MENCARUT KETIKA PERBAHASAN TITAH DIRAJA

Hari ini 26 April 2011, sesi perbahasan titah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Besar N.Sembilan telah dicemarkan dengan tindakan seorang ADUN BN bergelar Datuk yang bangun menjerit dan mencarut dengan melaungkan perkataan "PUNDEK"

Ini berlaku ketika YB Teo Kok Seong (DAP-Bahau) sedang membahaskan titah Di Raja. Gagal berhujah Adun Bn-Sungai Lui Datuk Zainal Abidin Ahmad bangun mencelah dan menjerit perkataan lucah yang membawa maksud 'alat sulit wanita dalam bahasa Tamil'.

Apabila diminta diambil tindakan oleh speaker yang juga seorang ADUN Bn dengan selamba mengatakan yang dia tidak dengar apa-apa perkataan lucah yang dijeritkan ADUN Sungai Lui sedangkan satu dewan mendengar jeritan carutan itu termasuk wartawan dan semua yang hadir dalam mengikuti persidangan pagi tadi.

Ini bukan kali pertama Zainal menimbulkan kekecohan dalam dewan kerana mencarut, tahun lepas dia juga melakukan benda yang sama dengan bangkit dan mencarut menggunakan perkataan tamil kepada salah seorang ADUN dalam berbangsa India.

Ini semua membuktikan
  • ADUN Bn Negeri Sembilan derhaka terhadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Prtuan Besar N.Sembilan kerana mencarut dan mempermainkan perbahasan titah di Raja dalam dewan yang mulia.
  • ADUN Bn gagal berhujah dengan baik sebaliknya membazirkan masa dan wang rakyat melalui persidangan dewan dengan mencarut, tidak serius dan speaker dewan juga tidak mampu mengendalikan sidang dengan berkesan.
  • ADUN Bn bukan sekali mencarut dengan menyebut alat sulit wanita dalam bahasa India, jelas ADUN Bn tidak sensitif dan menghina wanita lebih lagi secara sengaja mencarut dengan menyebut alat sulit wanita dalam bahasa Tamil dalam dewan yang mulia dan dilindungi dari tindakan boleh dilihat dengan sengaja menghina orang India. Tindakan ini dilihat disengajakan untuk menghina orang India, jika tidak sengaja termencarut tidak mungkin dengan senagaj guna perkataan Tamil yang jelas bukan bahasa ibundanya.
Selaku anak muda dan warga Negeri Sembilan saya merasa amat sedih dan kali ini merasakan benar - benar ADUN Bn sudah melampau dan mempermainkan rakyat.

Saya juga melalui Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) merafak sembah agar DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dapat mengambil tindakan tegas terhadap penghinaan dewan khususnya ketika membahaskan titah di Raja.

Ini membuktikan juga kemunafikan Umno, media dan organisasi kononya pembela raja dan Melayu. Jika kejadian seperti ini berlaku di negeri bukan diterajui Bn sudah tentu heboh dan kecoh, tetapi oleh kerana ia negeri dibawah cengkaman Bn maka ia ditutup sahaja. Makin jelasnya sebenarnya mereka hanya bertegas berdasarkan kepentingan politik semata.

Ceramah di Chemor - 19 Apr

Sunday, April 24, 2011

Azmin dinasihat hentikan pertelagahan

Setiausaha PKR Rembau, Norazizi Abdul Aziz merujuk kepada kenyataan Azmin di dalam Sinar Harian bertarikh 24 April.

REMBAU: Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali diminta jangan cepat dan menghentikan pertelagahan sesama kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang lain.

Setiausaha PKR Rembau, Norazizi Abdul Aziz berkata demikian merujuk kepada kenyataan Azmin di dalam Sinar Harian bertarikh 24 April yang memetik Azmin melabelkan Setiausaha PAS, Mustafa Ali sebagai “jaguh kampung yang tidak lagi relevan tapi mahu perhatian”.

Azmin mengeluarkan kenyataan tersebut apabila akhbar yang sama melaporkan kenyataan Mustafa pada 23 April bahawa ada kemungkinan masa depan PAS turut bergantung pada keputusan siasatan kes video seks yang pelakunya didakwa mirip pemimpin pembangkang.

Mengulas perkembangan tersebut Norazizi berkata Azmin selaku pemimpin peringkat tertinggi dalam PKR beliau harus matang, faham dan melihat kenyataan Mustafa dari aspek positif dan bukan respon secara emosional yang akhirnya akan merugikan PR itu sendiri.


“ Azmin harus meneliti kembali kenyataan Mustafa, di mana kenyataan beliau (Mustafa) jelas menunjukkan bahawa isu tersebut perlu dilihat dengan serius dan hasil siasatan akan dinilai secara mendalam dan Mustafa turut mempersoalkan bagaimana sekiranya Anwar berjaya dibuktikan tidak terlibat kepada media.

“Mengapa Azmin terlalu cepat melatah dan memberi respon secara beremosi, adakah beliau tidak meyakini yang dalam video itu bukan Anwar? Tindakan Azmin boleh mengundang reaksi negatif oleh rakyat”, kata Norazizi.

Norazizi turut mengulas bahawa tindakan Azmin yang mempersoalkan tindakan Mustafa itu, kerana membuat kenyataan secara terbuka seolah-olah mahu menyinggung perasaan PKR dan Anwar adalah tidak relevan.

“Azmin seolah-olah lupa yang baru-baru ini beliau telah menggunakan media dan secara terbuka menyatakan bahawa PAS sedang turut meninjau kawasan kerusi yang berbilang kaum. Adakah ini tidak menyinggung perasaan PAS? “, tanya Norazizi.

Tindakan Azmin sedemikian hanya memberikan imej buruk kepada PR dan Norazizi meminta Azmin menghentikan kenyataan sedemikian agar tidak menghakis keyakinan rakyat.

Saturday, April 23, 2011

Polis bantu Najib pulih imej


Tindakan proaktif Polis DiRaja Malaysia (SPRM) menyiasat empat individu yang disebutkan oleh Raja Petra Kamaruddin dalam akuan bersumpahnya sengaja dibuat sekarang demi membersihkan imej Perdana Menteri, Najib Razak dan isteri, Rosmah Mansor.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin ketika dihubungi Tv Selangor berkata, siasatan yang hanya dibuat selepas 3 tahun akuan bersumpah dibuat oleh Raja Petra ada kaitannya dengan misi memulihkan imej Najib yang tercalar.

"Persoalan isu kes Altantuya ini, semua jentera Datuk Seri Najib Tun Razak kerajaan dan prosedur siasatan hanya dilakukan ke arah membersihkan nama Najib dan isterinya Rosmah Mansor. Penyiasatan sudah dirancang ke arah itu," katanya.

Malah jelas Badrul yang lebih dikenali dengan panggilan Chegu Bard, jika hendak dilihat dari wawancara Raja Petra bersama Tv 3 awal bulan ini, tidak ada perkara baru yang didedahkan oleh Raja Petra.

Malah nama-nama yang disebutkan oleh Raja Petra sebelum ini sudah disebut dalam akuan bersumpahnya pada Jun 2008.

"Jadi dalam bab pengakuan Raja Petra, Raja Petra tidak mengubah apapun dalam kenyataan bersumpahnya. Malah dia mengulang semula cuma yang dia menyatakan bahawa dia tidak percaya, Takkanlah Rosmah hendak pergi malam-malam ke dalam hutan, itu saja.

"Tetapi sekarang ini kenapa dengan hanya dengan kata-kata itu siasatan hendak dibuat balik, kenapa tak siasat dulu, kenapa tak diketengahkan dulu? Kenapa pegawai tentera tersebut baru digantung sekarang, kenapa dulu tidak digantung. Raja Petra tidak mengubah apa-apapun dalam kenyataan bersumpahnya yang dia sebut lama dahulu," kata Chegu Bard lagi.

Berita Harian hari ini melaporkan, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar sebagai berkata, empat individu berkenaan- pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kolonel Azmi Zainal Abidin,penulis blog Din Merican, selain Nik Azmi Nik Daud dan John Pang disiasat mengikut seksyen 203 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu berhubung kes jenayah.

Jelas Chegu Bard, siasatan berkenaan juga dibuat bagi bertujuan menentang atau melemahkan pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Jadi yang saya nampak sekarang ini ialah ini antara pertempuran Najib dan Anwar Ibrahim. Anwar mewakili rakyat marhaen terbanyak dan Najib mewakili Barisan Nasional yang terdiri dari tokoh-tokoh korporat yang menekan dan menzalimi rakyat.

"Yang saya nampak hari ini ialah dalam isu Najib cuba membunuh karektor Anwar Ibrahim dengan pelbagai perkara, liwat , isu video dan sebagainya dia juga sedang berusaha membersihkan dirinya, jadi nampak sangat dengan pengakuan sedikit Raja Petra ini Najib nampak cuba putar, aparatus-aparatus digunakan untuk cuba dan perbaiki imej Najib. Tapi hakikatnya rakyat tetap tidak yakin dengan usaha Najib memburukkan Anwar Ibahim," katanya lagi.

Tambah Chegu Bard, Najib juga kini kelihatan panik dan terdesak dalam menghadapi isu Altantuya dan pada masa sama menentang pengaruh Anwar Ibrahim.

“Tetapi hakikatnya Najib, tindakannya untuk mengheret Raja Petra yang baru sekarang beri kenyataan dan kononnya diberi keisimewaan di Bangkok, nampaknya lebih menyerlahkan yang beliau panik dan cukup terdesak," tambahnya lagi.-TVSelangor.com

Thursday, April 21, 2011

Anak Khir Johari tempelak Dr. M

Zairil kepada Mahathir: Usah berkata jika tiada yang bernas

Saya berasa amat kesal dan kecewa dengan kenyataan terbaru Mahathir Mohamad yang mendakwa bahawa parti DAP telah berjaya membawa politik perkauman kepada Sarawak. Tuduhan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab dan tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, adalah sindiran-sindiran yang sebegitu rupa yang menjadi punca ketegangan antara kaum di Malaysia. Sebagai seorang bekas Perdana Menteri dan negarawan yang dihormati ramai, beliau sepatutnya lebih matang dan tidak mengapi-apikan tohmahan yang boleh memecah-belahkan rakyat.

Sebagai seorang yang telah terlibat secara terperinci dalam proses perancangan, perangkaan strategi dan pelaksanaan kempen DAP untuk Pilihanraya Negeri Sarawak baru-baru ini, saya boleh mengesahkan dengan tegasnya bahawa tiada sedikit pun unsur perkauman yang cuba dibangkitkan oleh parti kami.

Sepanjang kempen, isu-isu yang telah kami tekankan adalah seperti masalah pentadbiran, penyalahgunaan kuasa, rasuah yang berleluasa, polisi ekonomi yang tidak memanfaatkan rakyat, inflasi yang kian melambung dan kegagalan kerajaan untuk mengatasi masalah-masalah di atas.

Mungkin dalam pendapat Mahathir, hanya masyarakat Cina sahaja yang mengambil berat tentang isu-isu sedemikian?
Bukankah itu satu penghinaan kepada rakyat Sarawak dan rakyat Malaysia secara umumnya?

Sebaliknya, pihak yang telah cuba menakut-nakutkan pengundi dengan isu-isu perkauman adalah parti-parti daripada BN seperti SUPP, PBB dan MCA.

Namun, rakyat Sarawak telah membuktikan kematangan mereka kerana tidak termakan umpan bersifat parokial seperti dakwaan bahawa "masyarakat Cina" akan kehilangan perwakilan dalam kerajaan jika wakil-wakil Cina daripada BN tidak berjaya dalam pilihanraya.

Seperti yang sudah sedia maklum, keputusan pilihanraya jelas menunjukkan bahawa rakyat Sarawak menolak sama sekali unsur-unsur politik perkauman dan sebaliknya inginkan wakil-wakil yang memperjuangkan keadilan dan kebenaran!

Tambahan pula, kenaikan undi yang diperolehi parti DAP bukan hanya daripada satu kaum tertentu. Dalam kawasan-kawasan seperti Meradong, Dudong dan Kirudong, kejayaan kami adalah hasil tambahan undi kaum Dayak yang cukup memberangsangkan. Di Batu Kawah pula, kemenangan DAP di situ tidak mungkin akan berlaku tanpa undi-undi orang Melayu/Melanau yang telah meningkat dalam sokongannya terhadap DAP.

Hakikatnya, saya yakin bahawa Mahathir sedar dan memahami dinamik politik di negeri Sarawak dan juga di seluruh negara. Namun disebabkan motivasi politik, beliau memilih untuk memainkan sentimen sempit perkauman untuk menjaga kepentingan BN. Sekali lagi, rakyat boleh melihat dengan sendiri bagaimana pemimpin-pemimpin BN akan menggunakan taktik pecah dan perintah untuk mengekalkan kuasa mereka.

Sebagai pengakhir kata, saya ingin mencadangkan satu pepatah bahasa Inggeris: if you have nothing good to say, say nothing at all. Jika anda tidak mempunyai apa-apa yang bernas untuk dikatakan, usahlah meluahkan walau sekata.

*Kenyataan media oleh Zairil Khir Johari selaku Setiausaha Politik kepada Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP).

Wednesday, April 20, 2011

projek email 1Malaysia ada kaitan dgn adik Najib ?

Syarikat Tricubes Berhad yang diberikan kontrak 1Malaysia email bernilai RM50 juta kini berdepan dengan masalah kewangan, dan disenaraikan Bursa Malaysia sebagai status GN3. Seandainya syarikat ini gagal mengetengahkan program menstruktur semula kewangannya pada hujung Oktober 2011, maka ia mungkin berdepan dengan nasib untuk ditarik dari penyenaraian (delist).

Apa yang menarik, pemegang saham kedua terbesar Tricubes Berhad adalah Commerce Technology Ventures Sdn Bhd, iaitu Private Equity Fund yang ditubuhkan Bank Negara bersama Commerce Group (atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group).

Commerce Group atau Bumiputra-Commerce Holdings Berhad Group kini telah dinamakan sebagai CIMB Group, diterajui oleh adik Perdana Menteri Najib Razak, iaitu Nazir Razak Nazir Razak adalah Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group.


Semalam, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan telah memberikan satu projek baru bernilai RM50 juta kepada Tricubes Bhd untuk mendirikan satu laman internet, dan setiap warga negara berumur 18 tahun ke atas akan dibuka satu akaun email - "1Malaysia email" untuk kegunaan rasmi; sementara mendirikan pusat perkhidmatan e-kerajaan, termasuk laman sosial, pembayaran hutang melalui internet dan sebagainya.

Namun demikian, menurut maklumat Bursa Malaysia, Tricubes telah disenaraikan sebagai status BN3 dan perlu mengetengahkan program penstrukturan kewangan, atau berdepan dengan nasib "delist".

Dalam satu kenyataan Tricubes pada 29 Oktober 2010, lantaran daripada kebimbangan oleh juruaudit terhadap laporan kewangan Tricubes sehingga 31 Mac 2010, ditambah pula shareholders' equity yang lebih rendah daripada 50% modal sehingga Jun 2010, maka ia telah melanggar peraturan penyenaraian, lantas dimasukkan ke adalam status GN3.

Selain itu, menurut laporan kewangan 2010 Tricubes, syarikat ini telah mengalami kerugian bersih sebanyak RM3.35 juta (RM3,346,752). Meskipun Tricubes memohon agar Bursa Malaysia mengecualikan dirinya daripada peraturan GN3, namun Bursa Malaysia enggan meluluskan permintaannya.

Menurut peraturan GN3 di Bursa Malaysia, Tricubes perlu mengemukakan satu rancangan penstrukturan semula kewangannya dalam tempoh 12 bulan, bermula 29 Oktober 2010 (tarikh dimasukkan ke status GN3). Malah, rancangan tersebut perlu diluluskan Bursa, malah dilantik penajanya dalam masa tiga bulan, dan menghabiskan program penstrukturan semula dalam masa enam bulan selepas diluluskan Bursa.

Jikalau Tricubes gagal mematuhi mana-mana peraturan, maka Bursa Malaysia boleh menghentikan sementara jual-beli saham syarikatnya, dan kemudian menarik penyenaraiannya (delist).

Menurut kenyataan terbaru Tricubes pada 1 April 2011, tiada perkembangan yang besar dalam rancangan penstrukturan semula kewangan syarikat tersebut. Menurut had tempoh, Tricubes harus menghantar laporan penstrukturan kewangannya sebelum 29 Oktober 2011, dan mendapat kelulusan daripada Bursa Malaysia - untuk mengelakkan dirinya daripada ditarik penyenaraiannya (delist).

Sebagaimana yang diketahui, Tricubes cuba membida 32.2% saham Pos Malaysia daripada Khazanah Nasional Berhad, tetapi gagal.

Pada saat-saat yang genting ini, Najib membawa cahaya harapan kepada penstrukturan semula kewangan Tricubes apabila mengumumkan pemberian projek 1Malaysia email bernilai RM50 juta kepadanya. Berikutan kontrak ini, Tricubes mungkin sempat untuk mengemukakan rancangan penstrukturan kewangannya sebelum hujung Oktober.

Apa yang dipertikaikan, PEMANDU yang mendakwa diri mengutamakan meritokrasi dan ketelusan itu, melantik sebuah syarikat yang berdepan dengan masalah kewangan untuk melaksanakan projek kerajaan ini.

Menurut maklumat rasmi, pemegang saham kedua terbesar Tricubes adalah Commerce Technology Ventures, ditubuhkan pada Julai 2000, dengan fungsi utamanya membekalkan modal untuk pembangunan teknologi. Sehingga hari ini, syarikat ini telah melabur di 22 buah syarikat, termasuk 10 buah syarikat telekomunikasi, enam syarikat advanced manufacturing, lima syarikat life science dan satu lain-lain.

Modal Commerce Technology Ventures dikendalikan CAV Private Equity Management Sdn Bhd, syarikat ini adalah salah satu syarikat di bawah CIMB Group. Menurut laporan kewangan Tricubes 2010, Commerce Technology Ventures merupakan pemegang saham kedua terbesar yang memegang 15.63% saham. Pemegang saham terbesar Tricubes adalah Khairun bin Zainal Mokhtar - selain memiliki 15.72% saham secara langsung, juga memiliki 14.17% saham melalui Ambank.

Tuesday, April 19, 2011

Surat terbuka bekas CID KL : Persamaan dan Perbezaan Video Lucah 1999 dan 2011

Mat Zain Ibrahim
18hb.April 2011

Kepada;

YDH Tan Sri Haji Ismail Hj.Omar,
Ketua Polis Negara,
Polis Di-Raja Malaysia,
Bukit Aman,
50560 Kuala Lumpur,
Email:iho@rmp.gov.my

YDH Tan Sri,

SIASATAN VIDEO SEKS 2011-PERSAMAAN DAN PERBEZAAN DENGAN VIDEO SEKS PERTAMA 1999.

1. Sepertimana juga sebilangan besar rakyat,saya turut mengikuti perkembangan penyiasatan Polis berkaitan isu video seks menerusi MSM dan juga media alternatif yang akan masuk minggu ke-empat.Berdasarkan kepada komen-komen mereka yang berpeluang membuatnya,menampakkan ramai yang mempersoalkan hala tuju penyiasatan Polis. Malah ramai yang membantah secara lantang pendirian Polis yang dikatakan jelas kelihatan berat sebelah terhadap satu pihak yang bertelagah dalam isu ini.

2. Saya jemput Tan Sri merujuk kepada Surat Terbuka saya bertarikh 28 March 2011 yang kemudiannya dibahaskan diParlimen.Saya mengekalkan dan mengulangi kenyataan-kenyataan saya dalam Surat Terbuka tersebut,serta mengambil kandungannya sebagai sebahagian dan lanjutan kepada surat ini.Saya mengekalkan pendirian saya bahawa isu video lucah ini adalah merupakan pertembungan peribadi antara Rahim Thamby Chik dan Anwar Ibrahim.

3. Saya yakin Polis mampu mengambil pendirian yang professional dan berkecuali menangani siasatan ini,serta memberikan pendengaran yang adil kepada kedua- dua belah pihak,sambil memberikan mereka “gelanggang yang samarata”(level playing field),untuk membuktikan kebenaran masing-masing.

4. Bukan menjadi hasrat saya mencampuri siasatan Polis,namun begitu sebagai seorang pesara Polis yang berpeluang menangani isu-isu yang berkaitan dengan Anwar dan Rahim serta beberapa kenamaan lain ketika dalam perhidmatan,saya rasa terpanggil untuk mendedahkan maklumat-maklumat yang saya percaya dapat membantu siasatan.

4.1. Saya dapati ada beberapa perkara mustahak yang ada hubungkait dengan siasatan isu video lucah ini,tetapi tidak diumumkan kepada rakyat yang boleh mengelirukan persepsi mereka.Saya berharap ketinggalan ini adalah disebabkan Polis terlepas pandang dan bukannya dengan sengaja atau curang menyembunyikan fakta-fakta mustahak demikian.

VIDEO SEKS PERTAMA 1999.

5. Saya percaya sebilangan besar rakyat malahan warga Polis sendiri tidak sedar dan mungkin akan terkejut bila mengetahui keujudan Video Seks Pertama yang kononnya dikatakan melibatkan Anwar juga,yang diedarkan dalam tahun 1999.Pengedaran video seks ini disekitar Bandaraya Kuala Lumpur berlaku pada 24 dan 25 November 1999 beberapa hari sebelum Pilihanraya Umum ke-10 yang diadakan pada 29 November 1999.

5.1. Terdapat dua video seks yang diedarkan serentak. Iaitu satu berjudul “Siapa Anwar” manakala yang satu lagi berjudul “Skandal Seks Mat Sabu” (merujuk kepada Mohamed Sabu seorang pemimpin PAS).Bagi maksud eksesais ini saya akan ketepikan video Skandal Seks Mat Sabu, memandangkan isu beliau tidak berkaitan dengan penyiasatan yang sedang berjalan sekarang.

5.2. Beberapa ramai orang awam dari sekitar Kuala Lumpur yang menemui video-video ini yang dikatakan ditinggalkan dihadapan rumah atau pejabat atau lain-lain premis,tampil membuat laporan masing-masing dan menyerahkan video-video berkenaan kepada Polis.Antara mereka adalah seorang Encik Mohd.Zainuddin Arman dan seorang Encik Onn Abu Bakar.Antara report Polis yang berkaitan ialah Ceras Rpt No:19068/99 dan Sungai Besi Rpt No:5894/99 bertarikh 25.11.1999.Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur telah membuka satu kertas siasatan berkaitan kes ini dengan kesemua laporan-laporan yang diterima di-“cross refer” kepada laporan Pertama seperti yang lazimnya.KJSJ Kuala Lumpur ada membuat kenyataan akhbar mengesahkan menerima laporan-laporan dan video-video tersebut, serta memperakukan yang kes berkenaan sedang dalam siasatan Polis.

5.3. Saya sendiri telah melihat video-video tersebut sekurang-kurangnya dua kali. Pertama kali adalah bersama dengan beberapa Pegawai Kanan JSJ Kuala Lumpur bagi menentukan klasifikasi penyiasatan yang betul.Kali kedua bersama mantan Datuk Bandar Kuala Lumpur ketika itu, dipejabat KJSJ setelah YBhg.Tan Sri Datuk Bandar terbaca berita mengenai edaran video ini diakhbar.Setakat yang saya masih ingat, antara kandungan Video Seks Pertama 1999 ini,terdapat juga rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki yang dikatakan Anwar dengan seorang teman wanitanya.

5.4. Penyiasatan JSJ Kuala Lumpur berjaya mengesan dan mengenalpasti “sumber” Video Seks Pertama 1999.Bagaimanapun gagal untuk mengenalpasti orang atau orang-orang yang bertanggungjawab dengan pengedarannya kepada umum. Namun begitu pengedarannya dipercayai bermotifkan politik bersandarkan ianya dibuat beberapa hari sahaja sebelum Pilihanraya Umum ke-10.Sepanjang yang saya ingat tidak ada pihak yang mengaku bertanggung jawab mengedarkan video seks berkenaan.

5.5. Selain itu,tidak dapat disahkan sama ada pengadu-pengadu yang tampil membuat report mengenai penemuan Video Seks Pertama ini, telah membuat salinan untuk simpanan mereka sendiri atau sebaliknya,sebelum menyerahkan kepada Polis.Beberapa orang pengadu dikenalpasti sebagai ahli Parti Keadilan.

VIDEO SEKS KEDUA 2011.

6. Memandangkan Kumpulan yang menggelar diri mereka Datuk T,terdiri daripada Rahim,Shuib dan Eskay telah membuat pengakuan secara terbuka dan mengambil tanggung jawab diatas penemuan dan penayangan video lucah (akan dirujuk sebagai Video Seks Kedua 2011) kepada beberapa ramai pemberita di-Carcosa Seri Negara pada 21 March 2011,maka beberapa perbandingan dan persoalan boleh ditimbulkan berkaitan kedua-dua video seks ini.Saya berpendapat penyiasatan lanjut berkaitan Video Seks Kedua 2011 wajib mengambilkira keujudan dan keadaan berkaitan Video Seks Pertama 1999.Terdapat “nexus” antara kedua Video Seks ini.

Antara persoalannya adalah seperti berikut:-

6.1. Adakah Video Seks Pertama itu juga tulen sepertimana Video Seks Kedua yang ketulenannya telah diistiharkan secara rasmi.

6.2. Adakah kandungan adegan-adegan dalam Video Seks Pertama, sama ada sepenuhnya atau sebahagian daripadanya terdapat juga dalam Video Seks Kedua.

6.3. Adakah identity lelaki dalam Video Seks Kedua yang Polis telah istiharkan boleh dikenalpasti secara positif itu, lelaki yang sama dalam Video Seks Pertama.

6.4. Adakah rakaman suara lelaki dalam Video Seks Pertama itu milik lelaki yang dikatakan boleh dikenalpasti dalam Video Seks Kedua.

6.5. Adakah rakaman suara wanita dalam Video Seks Pertama itu milik wanita yang dikatakan telah dikenalpasti dalam Video Seks Kedua .

6.7. Adakah lokasi pengambaran Video Seks Pertama itu sama dengan lokasi pengambaran Video Seks Kedua.

6.8. Adakah Rahim,Shuib dan Eskay terlibat atau mempunyai apa-apa peranan dalam
pembikinan atau pengedaran Video Seks Pertama 1999, memandangkan ketiga-tiga mereka dilaporkan telah mengenali dan mempunyai sesuatu hubungan dengan Anwar.Lebih-lebih lagi Rahim yang dipercayai mempunyai sebab untuk menyimpan dendam terhadap Anwar oleh kerana Anwar telah membuat laporan Polis membabitkan salahlaku jenayah dan perbuatan rasuah Rahim bersabit Tun.H.S.Lee Rpt:22517/99 pada 20.8.1999.Iaitu lebih kurang 3 bulan sebelum Video Seks Pertama diedarkan kepada umum pada 24/25 November 1999.

7. Selain daripada laporan Polis melibatkan Rahim,Anwar juga telah membuat 3 laporan berasingan melibatkan beberapa orang kenamaan lain beberapa bulan sebelum pengedaran Video Seks Pertama itu,seperti berikut;

7.1. Dang Wang Rpt:20255/99 bertarikh 9.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri,Peguam Negara dan Gani Patail telah menyalahgunakan kuasa kerana tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap Datuk Seri Rafidah Aziz,atas sifat Menteri MITI, telah dengan secara rasuah memberikan saham kepada menantunya.

7.2. Tun H.S.Lee Rpt:19625/99 bertarikh 21.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasanya dengan menghalang tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Eric Chia (mendiang), yang telah dikatakan melakukan penyelewengan dan rasuah menyebabkan Kumpulan Perwaja mengalami kerugian RM 2.7 billion.

7.3. Tun H.S.Lee Rpt:20455/99 bertarikh 30.7.1999.Laporan ini mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasa dengan melindungi perbuatan rasuah Tun Daim Zainuddin.Dalam laporan ini juga Anwar membuat dakwaan khusus terhadap Tun Daim yang dikatakan telah mengumpul harta peribadi secara rasuah bernilai ratusan juta ringgit.Anwar turut menyertakan tiga surat perakuan oleh individu berlainan selaku penyimpan dan pemegang amanah harta bagi pihak Tun Daim.Mereka yang dimaksudkan ialah;Tan Sri Abdul Halim Saad sebagai pemegang amanah saham-saham dalam Syarikat Senarai Awam bernilai lebih kurang RM 150 juta.Tan Sri Wan Azmi Wan Hamzah sebagai pemegang tunai berjumlah RM 150 juta.dan Tan Sri Tajuddin Ramli sebagai pemegang tunai RM 70 juta.

8. KJSJ Kuala Lumpur memberi perhatian kepada laporan-laporan yang dibuat oleh Anwar seperti diatas memandangkan dokumen-dokumen bukti yang Anwar kemukakan dengan tiap satu laporan beliau,telah diperolehinya ketika beliau masih memegang jawatan dalam Kerajaan sebagai Timbalan Perdana Menteri.Laporan-laporan beliau diterima sebagai dibuat oleh seorang mantan Timbalan PM dan bukan sebagai seorang individu bernama “Anwar”.

8.1. Sama ada pendedahan yang beliau buat seperti diatas telah menyebabkan individu-individu terlibat atau orang-orang sekeliling mereka marah dan menyimpan dendam terhadap Anwar tidak diketahui tetapi tidak boleh diketepikan.

SUMPAH PALSU RAHIM BUAT KEPADA PERDANA MENTERI.

9. Satu diantara 4 kesalahan jenayah yang pihak BPR dan Jabatan Peguam Negara sahkan mempunyai keterangan “prima-facie” terhadap Rahim ialah; kerana membuat satu Akuan Statutori Palsu (atau dalam bahasa yang mudah;”Angkat Sumpah Palsu”), suatu kesalahan yang boleh dihukum dibawah Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 7 tahun jika disabitkan kesalahannya.Akuan palsu ini dikatakan dibuat kepada Perdana Menteri dan di-Jabatan Perdana Menteri ketika itu.

9.1. Persoalan yang boleh ditimbulkan dalam situasi ini adalah; sama ada keterangan Rahim dalam siasatan Video Seks Kedua, boleh diterima pakai sepenuhnya, memandangkan Rahim telah sanggup sehingga mengangkat sumpah palsu kepada Perdana Menteri dan Kerajaan untuk menyembunyikan kesalahan-kesalahan jenayah yang beliau telah lakukan seperti yang dilaporkan oleh BPR sedemikian itu.Jika demikian,kesanggupan Rahim memberi kesaksian palsu dalam siasatan Video Seks Kedua tidak boleh diperkecilkan.

9.2. Walaubagaimanapun saya berpendapat “benefit of the doubts” wajar diberi kepada Rahim berkaitan penglibatannya dalam Video Seks Kedua.Saya sarankan siasatan wajar dijalankan sama ada Rahim telah dihasut,dipaksa atau diugut untuk mendapatkan apa-apa keterangan dengan apa cara sekalipun untuk mensabitkan sesuatu kesalahan jenayah terhadap Anwar;sebagai balasan Peguam Negara kepada Rahim yang tidak dituduh atas beberapa kesalahan salahguna kuasa,rasuah dan membuat akuan statutory palsu.

9.3. Kemungkinan ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja.Ini memandangkan Peguam Negara,Gani Patail antara 26.10.1998 hingga 21.12.1998 telah dengan cara yang menyalahi undang-undang mendapatkan seorang Dr.Abdul Rahman Yusof menyediakan tiga laporan perubatan palsu terhadap Anwar dalam siasatan kes mata-lebam.Dipercayai sebagai balasannya, Dr.Rahman tidak dikenakan apa apa pertuduhan oleh Gani Patail dalam kes ugutan jenayah terhadap Dr.Rahman.Salahlaku jenayah Gani Patail sedemikian itu beserta dengan bukti-bukti yang tidak disangkal adalah dalam pengetahuan persendirian YAB Perdana Menteri sejak dua-setengah tahun yang lalu.

JAM TANGAN OMEGA

10. Pada pendapat saya,sekiranya penyiasatan kes Video Seks Kedua ini dikekalkan dibawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan semata-mata,maka penyiasatan lanjut untuk mengesan pemilik Jam Tangan Omega tersebut adalah tidak relevan serta melampaui keperluan “ingredients” yang wajib dibuktikan dibawah Seksyen 292 KK tersebut.

10.1. Dengan itu izinkan saya menyarankan supaya Pegawai Penyiasat kes melebarkan klasifikasi penyiasatan kepada Seksyen 192 Kanun Keseksaan iaitu,mereka keterangan palsu.Saya sarankan supaya Pegawai Penyiasat memfokuskan perhatian kepada misalan-misalan yang sedia ujud sekian lama,sepertimana diperturunkan dibawah.

Seksyen 192 Kanun Keseksaan.

Misalan-Misalan.
(a)A memasukkan barang-barang kedalam sebuah peti kepunyaan Z,dengan niat supaya barang-barang itu boleh dijumpai dalam peti itu,dan supaya keadaan ini boleh menyebabkan Z disabitkan atas kesalahan mencuri.A telah mereka keterangan palsu.

(English version)
(a)A puts jewels into a box belonging to Z,with the intention that they may be found in that box,and that this circumstance may cause Z to be convicted of theft.A has fabricated false evidence.

10.2. Berdasarkan kenyataan Eskay sendiri kepada media cara bagaimana Jam Tangan Omega tersebut sampai ketangan beliau,serta mengambil kira hubungan akrab beliau dengan Anwar, serta motif Eskay mendedahkan video seks berkenaan, tidak keterlaluan untuk saya berpendapat bahawa misalan (a) dalam Seksyen 192 Kanun Keseksaan tersebut, mungkin adalah relevan.

10.3. Pada pendapat saya beban bukti yang jam Omega tersebut tidak diperlakukan sepertimana misalan yang tersebut diatas kini terletak dibahu Eskay dan bukan pemilik berdaftar jam Omega tersebut.

10.4. Berdasarkan kepada keadaan yang mengelilingi Video Seks Kedua ini,saya berpendapat bahawa terdapat kewajaran untuk melebarkan siasatan meliputi pembuktian kes dibawah Seksyen 192 Kanun Keseksaan.Ini sebagai peringatan kepada orang ramai akan betapa seriousnya perbuatan mereka keterangan palsu dan kesan jangka panjangnya terhadap Sistem Keadilan Jenayah kita.

PENYELESAIAN ISU “ONCE AND FOR ALL”

11. Ada kalanya kita harus berani melakukan sesuatu yang luar biasa untuk menyelesaikan sesuatu masaalah “once and for all”.Asalkan tindakan-tindakan yang diambil tidak menyalahi undang-undang Negara dan Hukum Syariah atau melanggar paraturan moral.Sekiranya kita tersesat jalan, tidak salah kita berpatah balik kepangkalnya untuk mencari jalan yang betul.

11.1. Selama lebih 12 tahun pemikiran rakyat telah bergelumang dan diracuni serta dicemari dengan isu-isu yang berkisar dengan seks luar nikah dan seks luar tabii,seolah-olah tidak ada perkara yang lebih penting daripada itu untuk rakyat fikirkan.Malahan pemain-pemain utama yang terlibat dalam kekalutan ini juga berkisar diantara beberapa individu sahaja yang nama-nama mereka hampir kesemuanya terdapat dalam surat kecil ini.

11.2. Sebelum kita tersasar lebih jauh,tidak salah untuk kita dibawa berpatah balik kepangkal jalan, untuk meneliti semula peristiwa lampau bagi mencari penyelesaian yang ideal dan membuat keputusan siapa yang benar dan siapa yang patut dipersalahkan kerana telah menyebabkan kegusaran dan kekeliruan dikalangan rakyat.Saya mencadangkan tindakan-tindakan berikut;

TAYANGKAN VIDEO SEKS PERTAMA 1999 KEPADA UMUM.

12. Saya menjangka akan dikecam membuat cadangan ini.Percayalah,saya yang menyelia penyiasatan kes ini dan ingatan saya masih segar akan apa yang terkandung dalam video tersebut.Video tersebut tidak mengandungi adegan- adegan seksual seperti dalam “blue film” yang mungkin sesetengah orang harapkan.Kandungan keseluruhannya pada pendapat saya tidak tergulung sebagai bahan lucah sepertimana tafsiran dalam Seksyen 292 Kanun Keseksaan.Tayangannya kepada umum juga pada pendapat saya tidak menyalahi mana-mana undang-undang Am atau Syariah.

12.1. Sepanjang yang saya ingat, kandungan Video yang dibertajuk “Siapa Anwar” lebih berbentuk documentary yang menggambarkan kisah hidup seksual Anwar.Video ini juga mendedahkan gambar-gambar lokasi/bilik hotel dimana Anwar dikatakan sering kunjungi untuk melakukan aktibiti seks luar nikah atau luar tabii beliau.Turut dimuatkan dalam video ini adalah rakaman perbualan telefon antara seorang lelaki yang dikatakan Anwar dengan teman wanitanya dan bercakap mengenai seks.Video ini disunting sedemikian rupa yang sesuai digunakan untuk meyakinkan penuntun bahawa Anwar adalah seorang yang tidak bermoral dan tidak layak dan sesuai untuk menjadi pemimpin, lebih-lebih lagi kepada Masyarakat Melayu yang beragama Islam.

12.2. Saya yakin selepas rakyat diberi peluang menuntun video ini,khasnya orang-orang Melayu, mereka boleh membuat keputusan masing-masing, sama ada Anwar benar-benar seorang yang tidak mempunyai moral untuk layak menjadi pemimpin dan Perdana Menteri seperti yang cuba digambarkan, ataupun video tersebut telah direkacipta oleh musuh-musuh peribadi dan politik Anwar bertujuan memfitnah dan membunuh karier politik beliau,ataupun kerana membalas dendam akibat pendedahan Anwar berkaitan dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah pemimpim-pemimpin tertentu sepertimana yang disebutkan dalam perenggan 6.8 dan 7 diatas.Sekiranya anggapan yang terkemudian ini yang betul,maka tindakan undang-undang yang setimpal terhadap individu yang melakukan jenayah tersebut hendaklah dilaksanakan tanpa lengah lagi without fear or favour.

PENUTUP.

13. Lebih cepat kita menyelesaikan isu ini,lebih baik untuk rakyat jelata.Selamat maju jaya dan selamat sejahtera.


Yang benar,
(Mat Zain Ibrahim)
18 April 2011


Sk.
SUPM (untuk makluman KPN dan T/KPN)

Tuesday, April 12, 2011

hari pertama berkempen di Sarawak












Khairy mengelabah : konon orang nak serang dia guna video lucah ?

artikel ini tulisan seorang blogger dan dipetik dari http://edyesdotcom.blogspot.com/2011/04/khairy-emosi-dan-mengelupur-di-sebalik.html


Tanpa membaca kenyataan penuh Chegubard yang dipublish pada 7 April lalu, Khairy mungkin saja panik dan mungkin juga dengan gelabah puyuh mengarahkan budak-budak suruhannya membuat laporan polis ke atas Chegubard. (klik untuk kenyataan penuh cheGuBard)

Kenyataan Chegubard menyentuh perihal video seks yang dikatakan milik khairy. Namun chegubard menegaskan sekerasnya betapa politik lucah harus dihentikan segera, merujuk kepada tindakan chegubard memusnahkan seberapa banyak vcd yang ada ketika kempen PRU2008.

Jika hari ini politik UMNO membenarkan penayangan video seks di beberapa hotel terkemuka sekitar ibu negara walaupun video itu fitnah kepada DSAI, Chegubard pernah memilih untuk tidak menggunakan bahan serupa untuk kempennya menentang khairy. Tindakan chegubard pada tahun 2008 adalah hujah penting beliau bagi menyeru politik selak kain dihentikan. Beliau juga dilihat konsisten dalam isu ini termasuk ketika berdepan dengan kes video Chua Soi Lek yang boleh ke blog beliau dan rujuk kenyataan beliau ketika itu yang tersiar dalam blognya. (klik tajuk Gambar anak menteri pula atau klik isu Eli Wong beza dengan CSL)

Tetapi malangnya kenyataan Chegubard telah disalah tafsir oleh seorang Yang Berhormat lepasan Oxford. Secara terus Khairy menuduh Chegubard mengedar video seks tersebut ketika kempen PRU2008 dalam laman twitter miliknya.

Di bawah adalah twitter KhairyKJ yang menuduh Chegubard mengedar Video lucah miliknya pada tahun 2008 di Paroi;
@chegubard Kamu yang edar video palsu tu di Paroi masa PRU2008 hari ni pula nak tolak politik lucah. Tolong la Barrrd... Hipokrit betul.

Apa yang menjadi persoalan di sini, mengapa Khairy tidak membuat sebarang laporan polis ke atas Chegubard apabila mengetahui 'kononnya' Chegubard mengedarkan video seks yang pelakonnya iras-iras Khairy.

Sedangkan ketika PRU lepas jentera Bn telah membuat beberapa laporan polis ke atas cheGuBard khususnya apabila ada mahasiswa turut menyertai jentera menentang Khairy di Rembau.

Telah ditegaskan, video seks tersebut asalnya adalah dari kumpulan UMNO yang amat membenci Khairy. Jangan kita lupa bagaimana Khairy di 'boo' beberapa kali ketika diangkat sebagai ketua pemuda suatu masa dulu. Kumpulan ini sanggup membekalkan beberapa bahan untuk kempen chegubard termasuklah video yang dimaksudkan. Tetapi di atas prinsip menolak politik selak kain, Chegubard mengarahkan jenteranya memusnahkan bahan tersebut.

Sememangnya puak-puak UMNO memang gemar mengedar bahan-bahan lucah bagi membunuh karier politik seseorang pemimpin yang dirasakan mengancam kepentingan mereka waima pemimpin di dalam parti sendiri.

Beberapa jam selepas chegubard keluar kenyataan di blognya yang bertajuk "SAMM : Hentikan Politik Lucah Segera!!", satu laporan polis telah dibuat oleh pemuda UMNO umpama ketua pemudanya seperti cacing kepanasan.

Sekali lagi saya timbulkan persoalan, mengapa tidak buat laporan polis pada tahun 2008 jika benar chegubard mengedar video tersebut sebagai bahan kempen? Laporan polis hanya dibuat di atas kenyataan chegubard yang tajuknya menggesa politik lucah dihentikan!

Seraya itu juga, dengan pantas setiausaha PKR Rembau iaitu Norazizi telah dihubungi oleh seorang pegawai penyiasat polis yang bernama Omar. Difahamkan pihak penyiasat sebenarnya belum lagi membaca kenyataan penuh Chegubard, tetapi oleh kerana pihak pemuda UMNO yang membuat report maka pihak polis begitu melulu dalam menjalankan tugasnya. Gelagat pihak polis tidak ubah seperti telah diperkudakan untuk kepentingan seseorang.

Beberapa tweet yang mempersoal 'mengapa KJ tidak membuat laporan polis pada 2008' tidak dijawab oleh Khairy. Apakah maknanya diam membisu walaupun sebelumnya beberapa kali mengicau tweet dalam isu yang sama?

Perlu diingat, melalui twitter Khairy yang tertera di atas, ia menunjukkan Khairy juga sedar video itu wujud apabila membuat tuduhan terhadap Chegubard bahawa pengedaran video itu kononnya berlaku.
Khairy dinasihatkan jangan terlalu angkuh dalam isu video lucah ini dan jangan tersalah langkah dalam mengatur gerak. Chegubard mungkin saja telah memusnahkan semua kepingan vcd tersebut pada tahun 2008, namun tidak mustahil 'jika' masih ada satu salinan buat kenang-kenangan.

Apa yang salahnya menyimpan video lucah apatahlagi menayangkan di dalam bilik hotel untuk tontonan wartawan terpilih. Asalkan ia tidak bertujuan mengaut keuntungan, ia boleh sahaja berlaku dalam negara Islam Malaysia kita ini. Terima kasih kepada Nazri!

Buat Khairy, gambar kamu 'bergembira' di Kelab Malam disebar oleh kawan-kawan kamu, gambar kamu beraksi 'maknyah' juga disebar oleh kawan-kawan kamu... Apa lagi yang kawan-kawan kamu miliki yang akan disebarkan... Cuma ketika gambar-gambar tersebut tersebar tiada pemimpin PR yang ambil jadi modal politik.

P/s : semua gambar ialah gambar hiasan tidak ada kena mengena dengan hidup atau mati dipetik dari perbagai laman pro Umno