Kenyataan Media
29 November 2013
Kelab Penyokong Kerajaan Selangor Jadi Kelab Kongkalikong
Semalam
SAMM Johor menjadi antara yang pertama menyuarakan rasa tidak bersetuju
terhadap kenaikan gaji yang terlalu tinggi DUN Selangor di kala rakyat
masih terbeban dengan kesan kenaikan kos sara hidup yang semakin
mendesak.
Hari
ini, setelah pelbagai pihak menyatakan bantahan termasuklah komentar
Ketua Pembangkang yang menyatakan kenaikan itu terlalu tinggi, Kelab
Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor membuat pusingan 180 darjah apabila
Pengerusinya, YB Azmin Ali membuat kenyataan meminta pentadbiran
Kerajaan Negeri mengkaji semula keputusan yang telah diluluskan semalam.
Persoalan
yang ingin SAMM Johor lontarkan adalah mengapa semalam sewaktu usul
pindaan dibentangkan di Dewan DUN, BBC Selangor tidak menyatakan
bantahan atau menolak usul ini daripada diluluskan? Adakah BBC
berpandangan bahawa Dewan DUN itu adalah seperti sebuah set penggambaran
drama? Di dalam Dewan DUN, mereka mengundi untuk meluluskan usul
kenaikan namun apabila berhadapan dengan media BBC membuat pusingan 180
darjah dan meletakkan semua beban kesalahan kepada Menteri Besar
seorang.
Kelulusan
kenaikan gaji ini bukanlah keputusan eksekutif semata-mata. Ia adalah
keputusan kolektif kesemua ahli Dewan Negeri Selangor. Ia dibahaskan dan
diundi untuk kelulusan. Maka, adalah tidak patut setelah pelbagai
lapisan rakyat menyatakan bantahan termasuklah Ketua Pembangkang yang
menyatakan bahawa kenaikan ini terlalu tinggi, barulah BBC tersedar
daripada lenanya.
Atau
apakah kenyataan Pengerusi BBC ini hanya untuk mengampu Ketua
Pembangkang yang juga merupakan Ketua Umum PKR semata-mata? Setelah
Dato' Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan kenyataan tersebut barulah BBC
tersedar ataupun semasa usul ini dibahaskan semalam Pengerusi BBC tidak
berada di dalam Dewan DUN sehinggakan beliau tidak menyedari usul
kenaikan gaji ini dibahaskan?
Rasional
perbandingan gaji Menteri Besar, Exco, ADUN, Speaker dan Timbalan
Speaker dengan swasta bukan satu justifikasi yang boleh diterima pakai.
Swasta atau korporat adalah merupakan organisasi yang berorientasikan
keuntungan sedangkan pentadbiran Kerajaan lebih berorientasikan khidmat
kepada rakyat. Jika rasional ini digunapakai, maka seharusnya seluruh
penjawat awam Negeri Selangor perlu menerima gaji yang setara dengan
sektor swasta.
Cukuplah
bermain wayang. Rakyat tidak buta. Rakyat tidak pekak. Rejim Pakatan
Rakyat jangan mengikut telatah rejim Barisan Nasional yang sering
menghina akal rakyat. Apa yang boleh kita simpulkan BBC Selangor telah
menjadi Kelab Kongkalikong. Apa yang sedang anda persembahkan ini jelas
menghina intelektual rakyat.
Roslee Mohd Shariff
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia Negeri Johor
SAMM Johor
No comments:
Post a Comment