Saturday, November 30, 2013

Tiada salah jiwa besar, akui kesilapan dan mohon maaf

Kenyataan Media
29 November 2013

Tiada Salah Berjiwa Besar Akui Kesilapan Dan Memaafkan

Solidariti Anak Muda Malaysia Pulau Pinang (SAMM P.Pinang) kesal dengan perkembangan yang berlaku di negeri ini dalam isu keceluparan seorang wakil rakyat.

SAMM P.Pinang melihat isu pertikaman lidah melibatkan Jeff Ooi dengan Penjawat Awam Pulau Pinang sebenarnya boleh diselesaikan dengan cara yang berhemah dan penuh kematangan tanpa perlu terus mengguris mana-mana pihak dengan cacian, di atas dasar profesionalisma itu sendiri.

SAMM P.Pinang sedar bahawa rasa kecewa dan marah di atas sikap sambil lewa jabatan terbabit dalam menghantar pegawai ke lokasi lawatan Jeff Ooi mungkin telah menyebabkan Ahli Parlimen Jelutong itu terlanjur kata dengan mengeluarkan kata-kata yang kesat. Namun dalam masa sama, SAMM P.Pinang bertegas bahawa apa yang dicemuh oleh Jeff Ooi itu sangat tidak setimpal dengan kedudukannya sebagai seorang MP Pakatan Rakyat. Jeff Ooi harus sedar dirinya mewakili Pakatan Rakyat, bukan Barisan Nasional.
Di manakah sikap professional beliau sebagai seorang pemimpin yang mewakili rakyat? Adakah beliau tidak tahu cara untuk menahan rasa marah? Seharusnya sebagai seorang pemain politik, Jeff Ooi patut mempunyai sikap professional yang tinggi dan sentiasa menunjukkan contoh yang baik walaupun berada dalam situasi yang meresahkan.

Maka SAMM P.Pinang menyifatkan tiada salahnya sekiranya Jeff Ooi mengambil sikap berjiwa besar mengakui kesilapan dalam berbicara. Prestasi jabatan Kerajaan tidak begitu responsif terhadap isu rakyat melambangkan reputasi mereka dan sepatutnya ini yang menjadi isu.

Satu permohonan maaf secara terbuka atas keterlanjuran kata tidak akan meruntuhkan maruah Jeff Ooi sebagai seorang wakil rakyat. Sebaliknya ia menunjukkan sikap berhemah dan sentiasa bermuhasabah serta berjiwa besar sebagai seorang tokoh masyarakat. Malah 'jalan keluar' akan menjadi licin dan lebih memudahkan. Tetapi jika Jeff Ooi ingin terus berkeras, SAMM P.Pinang percaya inilah noktah seorang MP blogger.

Justeru, SAMM P.Pinang ingin mengingatkan semua pemimpin dan pendokong Pakatan Rakyat agar tidak menjadikan rejim Barisan Nasional sebagai guru. Usahlah menjadi sebuah rejim angkuh, bongkak dan mengutamakan kepentingan beberapa kerat di koridor kuasa. 

Anggaplah kenyataan ini sebagai nasihat berguna, anak muda SAMM akan terus menjadi kumpulan pendesak bagi memastikan Pakatan Rakyat tidak tersasar jauh dari ikrar mendaulatkan rakyat.

Aidil
Penyelaras Bersama
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) P.Pinang

1 comment:

  1. Saya comment jugak la.. sebab kesian tak ada sapa komen

    ReplyDelete