Monday, June 15, 2009

Umno yang menjahanamkan tanah Melayu


Seramai 47 pemilik tanah adat yang terbabit dengan pembinaan landasan kereta api berkembar menyatakan pendirian tidak akan berpindah sekiranya tuntutan mereka mendapat ganti rugi setimpal serta tanah gantian, tidak dipenuhi.

Kesemua mereka membabitkan tiga kampung di sini sepakat supaya kerajaan mengambil kira tuntutan mereka terlebih dahulu sebelum pengambilan tanah itu boleh dilakukan oleh pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Tiga kampung terbabit , Kampung Chembong Halt, Waris Tebat dan dan Chuai Hilir, di sini.

Mereka menuntut nilai ganti rugi haruslah setimpal dengan harga semasa tanah dan rumah ataupun setidak-tidaknya memindahkan mereka ke satu kawasan tanah yang lebih baik sebagai perpindahan baru.

Wakil penduduk, Che Tak Amat berkata, pendirian yang diambil adalah untuk menuntut hak mereka sebagai tuan tanah yang selama ini merasakan diri diperkotak-katikkan pihak tertentu.

Menurutnya, nilai ganti rugi yang akan dibayar ternyata tidak setimpal sehingga menyebabkan mereka tidak berpuas hati dan menganggap pihak terbabit mempergunakan mereka untuk mendapatkan keuntungan.

“Nilai yang ditafsirkan terlalu rendah berbanding nilai pihak swasta yang dilantik. Kami penduduk kampung tidak akan berganjak sekiranya ganti rugi yang dibayar ini tidak setimpal,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa pertemuan dengan penduduk kampung Waris Tebat, di sini semalam.

Pada pertemuan itu, lebih 12 wakil penduduk kampung hadir bersama Ketua Keadilan Bahagian Rembau, Badrul Hisham Shaharin.

Menurut Che Tak, sekiranya mereka menerima tawaran yang diberikan pihak KTMB itu, ia bukan saja merupakan kerugian besar buat pemilik tanah terbabit, tetapi mereka mungkin menghadapi masalah untuk membeli tanah atau rumah lain kerana tidak mempunyai wang yang mencukupi.

“Seandainya penduduk bersetuju dengan ganti rugi yang mereka mahu berikan itu, ia sememangnya tidak mencukupi untuk mereka membeli tanah dan membina rumah kembali memandangkan harga yang diberikan terlalu rendah,” katanya.

Bagaimanapun katanya, bantahan penduduk itu bukan bererti mereka mahu menolak pembangunan, tetapi mereka juga perlu memikirkan diri mereka sendiri supaya pembangunan itu nanti tidak menindas serta mengetepikan hak mereka.

Sementara itu, beliau berkata, status pengambilan tanah itu juga menjadi tanda tanya berikutan belum ada sebarang notis perpindahan dan pembayaran yang bakal mereka terima.

“Apa yang saya harapkan pihak kerajaan campur tangan dengan memberikan kerjasama dan bantuan kepada penduduk dalam menuntut keadilan agar kami tidak teraniaya,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekesalan kerana nasib mereka itu didakwa tidak mendapat perhatian pemimpin setempat menyebabkan mereka berasa seolah-olah dianiaya.

Dalam pada itu, Badrul Hisham berkata, pihaknya akan membantu penduduk di situ menuntut hak mereka menerusi memorandum akan dihantar ke Parlimen dan Istana menggesa kerajaan mengambil tindakan menyelesaikan masalah pemilik tanah itu segera.

sila klik sini untuk siaran TvAntara mengenai isu pengambil alihan tanah ini.

3 comments:

  1. Anonymous9:19 AM

    mana Umno barua jawablah....woi jawab!!

    ReplyDelete
  2. Assalamu'alaikum...

    Saya bukan orang UMNO atau orang PAS mahupun orang Keadilan. Saya orang Rembau yang ingin memberi pendapat saya mengenai isu ini.

    Tanah Adat merupakan tanah yang dipusakai sejak zaman berzaman. Ianya diwarisi oleh anak perempuan bukannya anak lelaki. Anak lelaki hanya boleh merasai hasil yang diperolehi daripada tanah adat. Cuma hak milik tanah tidak boleh diberikan kepada anak lelaki.

    Sememangnya Adat Perpatih menjaga anak perempuan seumpama apa yang dikatakan oleh kata-kata adat ini :-

    Anak dipangku kemanakan dibimbiang
    Elok nagari dek penghulu, elok rumah dek bundo kanduang
    Ambun paruak rumah nan gadang.


    Namun begitu, walaupun tanah adat dimiliki oleh anak perempuan suku tersebut, ianya masih berada di bawah tanggungjawab Dato' Lembaga bagi suku itu. Tanah adat boleh dipindahmilik hanya di kalangan anak waris suku. Kuasa penuh berada di dalam tangan Dato' Lembaga.

    Dalam kes tanah adat di Rembau, sama ada pihak kerajaan mahupun mana-mana parti politik tidak boleh membuat sebarang tindakan melainkan pemilik tanah berjumpa dengan Dato Lembaga suku tersebut berbincang apa yang harus dilakukan. Banyak cara yang boleh dilakukan oleh pemilik melalui Dato' Lembaga. Saya percaya permuafakatan yang ada di dalam adat kita mampu menyelesaikan masalah ini.

    Hilangkan perasaan individulistik di kalangan anak Rembau umpama kata-kata ini :-

    Banyak dibagi baumpuak
    saketek dibagi bacacah
    uyuang samo ditarah nan sagu samo dibagi.

    Lagi satu, jika dibandingkan tanah biasa dengan tanah rezab melayu lebih rendah nilainya berbanding dengan tanah biasa. Manakala tanah adat lebih rendah nilainya daripada tanah rezab melayu sebab tanah adat tidak boleh dijual atau ditukarmilik selain daripada anak suku yang berkenaan.

    Saya menasihatkan kembali la semula kepada asas adat yang selama ini dipegang di Rembau.

    Anak Rembau

    ReplyDelete
  3. Anonymous10:07 AM

    Saya amat bersetuju dengan langkah untuk mempertahankan tanah-tanah adat mahupun tanah rizab Melayu walaupun saya bukan anak Rembau, tapi anak Malaysia. Kalau kita tak sekat pengambilan tanah atau tukar milik atas kehendak pembangunan, siapa yang akan dapat bantu kita orang-orang melayu untuk memiliki tanah dimasa akan datang. Cuba-cubalah cari maklumat, berapa luas Tanah Rizab Melayu yang telah di ambil tanpa diganti balik dan siapa petualang disebalik tindakan khianat ini.

    ReplyDelete