Monday, April 01, 2019

Siri 2 : Tok Mat Teknokrat palsu

Kenyataan Umum
1 April 2019

MOHAMMAD HASSAN TEKNOKRAT PALSU (SIRI 2)

1. Ini adalah sambungan dari kenyataan Tok Mat Teknokrat Palsu siri satu yang dikeluarkan pada 28 Mac 2019 lalu. Melalui tulisan pertama kita telah dedahkan keratan dokumen ‘pindaan’ perlembagaan SIGC yang membenarkan penjualan arak yang ditandatangani oleh Mohammad Hassan sendiri yang mana dia sendiri dalam satu sidang media selepas itu terpaksa mengakui mengenai kewujudan dokumen yang dia tandatangani tersebut.

2. Dalam siri lepas juga didedahkan bagaimana Menteri Besar diperbadanankan (MBI) yang merupakan entiti terbesar yang mengawal semua ‘perniagaan’ bagi pihak kerajaan Negeri Sembilan sengaja dikendalikan dengan organisasi yang lemah untuk melindungi ‘sesuatu’. Berdasarkan penemuan dibawah kerajaan Barisan Nasional perniagaan sepenting ini hanya mempunyai 2 orang kakitangan dan dua orang lembaga Pengarah iaitu Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri sahaja. Ini menjadikan MBI satu organisasi tertutup dan tidak ada proses check and balance. Semua keputusan mutlak Menteri Besar. Malah MBI ketika itu tidak memberi akses tanpa had kepada juruaudit. Ini disyaki kerana bagi mudah melindungi rekod kewangan yang tidak teratur terutamanya akaun 3 (CSR). Kami juga menemui banyak bayaran tanpa rekod dan juga pembayaran dibuat tidak melalui tatacara kewangan sepatutnya seperti voucher pembayaran tidak ditandatangani.

3. Dalam siri ke dua ini kami ingin mengenengahkan penemuan kami berkenaan urusan MBI dengan FELCRA. Di mana kita mengesan MBI (kerajaan sebelum ini) telah menandatangani perjanjian menyerahkan 2585.09 hektar tanah di kira kira 20 kawasan berasingan seluruh NS kepada Felcra untuk penanaman kormersial getah dan sawit. Namun kami mengesan perjanjian itu dibuat secara SALAH kerana MBI menandatangani penyerahan tanah tanpa ‘title’ kepada FELCRA. Kita mahu Mohammad Hassan memberikan respon kepada perkara ini, jika benar ini berlaku ia satu jenayah. Perjanjian ini tidak sah dan menipu serta tatacara pengurusan negeri telah hancur dilanggar. Sepatutnya MBI seharusnya memiliki dahulu tanah tersebut dan perlu ada geran ‘title’ nya sebelum membuat perjanjian.

4. Juga menarik dalam perihal perjanjian dengan FELCRA ini dinyatakan secara jelas pembayaran keuntungan hasil tanah tersebut kepada MBI seharusnya mengikut pembahagian untuk tabung e Kasih ( 50.3 %), tabung awam (30%) dan terus ke MBI (19.7 %). Pembahagian ini direkod dalam perjanjian berdasarkan arahan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Berdasarkan carian ditemui Jumlah terkumpul dividen FELCRA bayar dari tahun 2006 – 2015 ialah RM53.61 juta. Namun dividen tersebut tidak punya rekod agihan seperti yang sepatutnya. Struktur organisasi MBI yang terutup hanya dua orang dan lemah kelihatan melindungi semua kehilangan ini. Sepatutnya RM30.65 juta sewajarnya terus pergi kepada program e kasih untuk rakyat termiskin dan RM10.96 juta untuk program bantuan awam yang lain. Hanya ditemui satu rekod pembayaran program e kasih namun ia bukan rekod penerima sebaliknya hanya pembayaran kepada kontraktor.

5. Rekod kewangan MBI – Felcra sangat celaru, kesemua pembayaran tidak diasingkan terus dimasukkan ke akaun 3. Wang khusus untuk rakyat miskin teralir begitu sahaja.

6. Manakala rekod pembayaran 2 tahun dari FELCRA langsung tidak ditemui sama ada FELCRA gagal membayar atau bayaran bernilai jutaan ringgit itu juga lesap, tidak pasti.

7. Ini satu jenayah serius namun ia hanya cebisan awal yang banyak lagi akan didedahkan. Mohammad bertanggung jawab menjelaskan perkara ini. Perjanjian tanpa pemilikan tanah meletakkan kerajaan negeri hari ini terbeban. Kami juga mendesak agar Aminuddin Harun, Menteri Besar NS kini tampil mendedahkan perkara ini menyusun semua dokumen dan sewajarnya menyerahkan kepada pihak berkenaan, watak Mohammad baik selama ini hanya kerana dia bijak menyurukkan sisi lainnya.
Nota : siri dua ini perlu dibaca dengan siri satu yang boleh diakses di https://chegubard.blogspot.com/2019/03/mohammad-hassan-teknokrat-palsu-siri-1.html

che’GuBard (Badrul Hisham Shaharin)
Bekas ahli MPP PKR
Bekas Ketua Cabang PKR Rembau

No comments:

Post a Comment