Monday, October 16, 2017

PSM menamakan calon di bumi Serembi Mekah

Catatan Umum

15 Oktober 2017


Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam kerangka Jelajah ke semua kawasan yang mana PSM sudah mengistiharkan diri untuk bertanding atau meletakkan calon. Jujurnya PSM ini sedikit menambat hati apabila melihat hampir semua parti politik Malaysia tidak berprinsip. Namun tidak menolak bahawa jalan yang PSM lalui bukan sahaja berliku malah menaiki bukit yang tinggi kecerunannya walau bagaimanapun tidak boleh dipandang sebelah mata kerana dengan rekod gerak kerja panjang di tempat tertentu, mengenengahkan calon berintegriti dan dalam keadaan 3 - 4 penjuru yang mana pengundi sedang kecewa melihat telatah kebanyakan parti dan ahli politik Malaysia yang sangat tidak berprinsip dan korup.

Namun apabila jadual roadshow PSM ke Kelantan yang bakal mengistiharkan calon yang bakal mewakili PSM di DUN Kota Lama (dalam Parlimen Kota Bharu) ia telah mengujakan saya untuk sama berada dalam catatan sejarah tersebut. Kalau dilihat dari segi aspek kemampuan kewangan dan persediaan jentera sudah tentu calon PSM jauh terkebelakang dari parti gergasi lain di situ. Namun bukan menang atau kalah yang mengujakan saya tetapi usaha menghadirkan calon kiri / sosialis di tengah negeri yang paling dominan Melayu Islam.

Memetik Rossa Lexemburg atau mana  - mana watak revolusioner pasti penegasan utama mereka ialah perubahan sejati hanya bermula bila menguasai majoriti akar umbi. Maka kemunculan calon kiri di tengah negeri dominan Melayu dan Islam ini penting bagi memulakan perbincangan pencerahan minda. Dengan menamakan Aduka atau Khairul Nizam semuda 36 tahun seorang aktivis lama berpengalaman bekerja bersama akar umbi di lapangan maka ini kesempatan penting bagi memecahkan tembok 'taboo' masyarakat Melayu Islam dan Gerakan Kiri.

Aduka dan PSM pasti diasak hebat menggunakan hujah tradisi politisi korup kanan hampa kapitalis. Percaturannya bukan menang kalah tetapi percaturanya sejauh mana Aduka mampu memunculkan perbincangan hebat ke arah menyeret rakyat membincangkan dan memahamkan mengenai betapa Islam itu kuat unsur sosialisnya. Ada hak orang miskin dalam harta orang kaya, sistem zakat malah tidak keterlaluan jika dikaji akan menemukan kita dengan fakta Rasulullah merupakan sosialis ulung. Perlu ada usaha pengupasan Sosialisme Islam, perlu ada usaha mengenengahkan dan menyelongkar semula pemikiran Ali Shariati malah seawal Abu Dzar Al-Ghifari, Sahabat Nabi Muhammad, diakui oleh sebagian ulama, seperti Muhammad Sharqawi dan Sami Ayad Hanna, sebagai penggagas awal sosialisme Islam.

Jangan takut kini rakyat telah bersedia dan matang. Kita bukan lagi berada pada zaman dimana Tan Malaka mengenengahkan idea bagaimana Komunisma perlu hadir dan diadun sebati dengan islam kerana Indonesia itu antara negara umat Islam terbesar dunia. Tan Melaka kerana fikiran terawal dari zamanya bukan sahaja dibuang masyarakat malah ia terbuang dari Kominten.

Kepada anak muda kiri yang progresif di seluruh negara ... ayuh kita nikmati pertembungan dan ayuh kita cairkan otak otak kita menyambut usaha PSM menamakan Aduka di tengah bumi Tanah Serendah Sekebun Bunga  yang diasaskan oleh Cik Siti Wan Kembang ini. Kita sambut dengan mengangkat semula pemikiran Zulfikar Ali Buttho, Sukarno, Muamar Ghadafi tanpa melupakan tokoh Islamis kiri tempatan seperti Shamsiah Fakeh dan seumpamanya.

Jika aduka dan PSM berjaya menjadikan medan PRU di tengah Serembai Mekah ke arah PRU ini sebagai medan percambahan idea maka yakinlah masa depan pasti berbeza.

Kepada anak muda saya perturunkan pesanan Emma Goldman "If I can't dance, I don't want to be part of your revolution"

Jika saya anak muda aktivis Kelantan saya akan ambil cabaran bersama Aduka kerana ia pasti satu pengalaman yang sangat berharga mencabar pemikiran dan daya tahan.

antara komrad SAMM yang bersama


Nota kaki : sehingga ke hari ini Aduka masih bersungguh sedang berusaha mengumpulkan deposit untuk PRU nanti. Jauh disudut hati saya, saya doakan Aduka berjaya melalukan sesuatu yang mengejutkan kerana punya ADUN kiri dalam DUN Kelantan lebih sangat mengujakan. Malah saya sedia menjadi antara pegawainya tanpa gaji.

1 comment:

  1. Anonymous7:13 PM

    Mungkin aduka akan jadi pm kelantan yg baru selepas pru14...kih3

    ReplyDelete