Bekas Ahli Pimpinan Tertinggi PKR, Badrul Hisham Shaharin menyifatkan tindakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyokong kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad berhubung pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebagai rasuah untuk mengalih perhatian rakyat terhadap isu dalaman PPBM.
Badrul Hisham yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, tindakan Azmin memberikan kenyataan yang berbeza dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bukan satu perkara baru kerana pada tahun 2015, Mohamed Azmin pernah 'menunjal' Wan Azizah di depan umum.
"Saya melihat, tindakan Azmin menyokong Tun Mahathir secara terang-terangan menggambarkan keadaan polimik sebenar yang berlaku dalam parti pembangkang. Ini bukan pertama kali Azmin buat begitu kepada Wan Azizah.
"Perkara sama pernah dilakukan sewaktu Wan Azizah mengumumkan Pakatan Harapan (PH) pada waktu tengah hari, dan Azmin mengambil pendekatan untuk memberitahu media bahawa PH tiada kena mengena dengan kerajaan Selangor, pada hari yang sama.
"Begitu juga dengan yang terjadi sekarang ini. Azmin dilihat cuba untuk menyebelahi kenyataan Tun Mahathir bahawa BR1M sebagai rasuah, bagi mengalihkan dan menutup kemelut yang berlaku dalam parti Tun Mahathir," katanya kepada AgendaDaily ketika dihubungi pada Rabu.
Beliau yang juga merupakan Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Azmin yang membidas kenyataan presidennya dan mengibaratkan BR1M sebagai sogokan rasuah.
Menteri Besar Selangor itu berkata nilai bantuan yang diberikan oleh kerajaan pusat itu dilihatnya tidak mampu membantu menjana ekonomi rakyat.
Kenyataan itu jelas berbeza dengan Wan Azizah yang berpendapat BR1M seharusnya diberikan kerana ia merupakan hak rakyat.
Chegubard turut mengajukan beberapa soalan terhadap Tun Mahathir dan Azmin jika benar mereka menganggap BR1M ini sebagai satu bentuk rasuah.
"Rasuah bukan hanya melibatkan sebelah pihak...ia melibatkan pihak yang memberi dan menerima. Jadi saya nak tanya, adakah Tun Mahathir berani mengarahkan semua ahli PPBM untuk tidak menerima rasuah? kerana jika rasuah, yang menerima juga dikira salah.
"Adakah Azmin boleh mengarahkan rakyat Selangor untuk tidak menerima BR1M? Jika BR1M adalah rasuah, adakah pemberian air percuma di Selangor merupakan rasuah? Adakah baucar Tabung Warisan Anak Selangorn (Tawas) juga merupakan satu rasuah?," katanya.
Chegubard tidak menafikan Tun Mahathir merupakan seorang yang bijak memainkan isu, sebab itu beliau menjadikan BR1M sebagai isu untuk mengalihkan kemelut yang berlaku dalam 'parti bunga raya' dan Azmin dilihat cuba 'membantu' Tun Mahathir dengan menyatakan sokongannya.
"Tindakan Azmin merupakan sikap dolak dalih bagi mengalih perhatian rakyat terhadap apa yang berlaku dalam parti Tun Mahathir. Azmin sengaja nak alihkan isu Anina Saadudin yang dipecat sebagai ketua wanita PPBM dek kerana isu 'selak kain' terbongkar.
"Bukan itu sahaja, ia juga sebagai usaha untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada pertembungan penyokong Tun Mahathir dan Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Jika benar Anina dipecat kerana salah laku, kenapa Muhyiddin yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri hakim tidak pula dipecat atau diminta direhatkan daripada parti?," katanya.
Chegubard turut meminta agar Tun Mahathir dan Azmin menghentikan sandiwara yang dibawa mereka kini kerana rakyat sudah muak dengan drama yang dipertontonkan.
"Cukuplah...rakyat sudah muak dengan pendekatan yang dimainkan pembangkang. Azmin telah berjaya membawa peranan 'anak angkat' baik kepada Tun Mahathir," katanya
sumber : http://www.agendadaily.com/Muka-Hadapan/isu-br1m-bukan-kali-pertama-azmin-menunjal-wan-azizah.html
No comments:
Post a Comment