[ULASAN] Dakwaan salah guna kuasa membabitkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan barisan Exconya dalam urusan menukar status sebidang tanah dalam kawasan Paya Indah Wetlands, sudah sampai ke tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Yang pasti SPRM akan menyiasat laporan yang dibuat oleh Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berhubung Lot 68054 milik Salak Land Development Sdn yang sejak 22 tahun lalu gagal ditukar status daripada pertanian kepada pembangunan.
Ia kerana lot berkenaan termasuk dalam lingkungan zon hijau - kawasan paya yang dilarang dibangunkan secara komersil sebab ia boleh terdedah kepada bencana alam seperti tanah mendap dan sebagainya.
Untuk mengubah status tanah kepada komersil, lot 68054 perlu dizonkan semula agar bebas daripada zon hijau. Di sini siasatan Chegubard bermula.
Sebaik sahaja mengambil alih kepimpinan Selangor dua tahun lalu, Chegubard mendakwa Azmin meluluskan pengezonan semula kawasan hijau itu dan penukaran status lot 68054 menjadi tanah komersil.
Azmin dan Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong menafikan dakwaan itu dan mencabar Chegubard melaporkan perkara itu kepada SPRM.
Berdasarkan prestasi mutakhir SPRM, dakwaan ini pasti dibongkar hingga ke akar umbinya. Ini mungkin melambungkan harapan dan keyakinan rakyat terhadap badan pencegahan itu.
Isu Paya Indah Wetlands goncang keyakinan rakyat kepada PKR
Namun sebaliknya isu Paya Indah Wetlands ini juga nampaknya mampu menggoncang keyakinan umum terhadap integriti politik parti pemerintah Selangor, iaitu PKR.
Selain menjadi menteri besar Selangor, Azmin juga adalah Timbalan Presiden PKR. Kesan awal pendedahan Chegubard ini mengaktifkan tuduhan terhadap Chegubard kerana melanggar disiplin parti.
Sebelum ini Chegubard dikatakan banyak kali mengkritik keputusan pimpinan PKR termasuk dalam tata-urus pemilihan parti itu. Namun yang paling kerap dikritik bekas Ketua Cabang PKR Rembau itu tertumpu pada Azmin.
Chegubard mendakwa sehari sebelum beliau melaporkan isu berkenaan kepada SPRM, beliau dihubungi seseorang dalam parti yang menawarkan imbuhan agar tidak meneruskan rancangannya itu.
Chegubard berkata, beliau menyerahkan kepada parti untuk menyelesaikan status keahliannya dalam PKR dan menegaskan bahawa tumpuannya kini adalah berjuang untuk isu pendedahan Paya Indah Wetlands itu.
"Kamu (parti PKR) bincanglah. Bagi saya, selain daripada uruskan hidup seharian dan keluarga saya, tumpuan saya adalah pasal isu (penukaran status lot tanah) 68054.
"Yang pasti saya akan berulang alik daripada SPRM dan saya akan pastikan kes ini akan jumpa jalan penyelesaian dan tanah ini selamat daripada kerakusan kapitalis," ujarnya.
Bagaimanapun PKR dikatakan mengambil keputusan memecat keahlian Chegubard pada hari beliau membuat laporan kepada SPRM. Pemecatan itu diketahuinya melalui panggilan telefon.
Keadaan ini menjadikan persoalan keahliannya dalam PKR menjadi misteri.
"Hari saya muncul di SPRM, pagi itu, sekitar jam 10.04 pagi, saya dapat panggilan daripada Ibu Pejabat PKR. Saya angkatlah.
"Dia (staf Ibu Pejabat PKR) kata, Chegubard, saya dah emel dan pos laju kepada Chegubard. Saya tanya apa dia? Dia kata surat pemecatan, yang baru pagi ini siap.
"Saya suruh kawan-kawan saya tanya di mana YB Rafizi (Setiausaha Agung PKR) ketika itu. Dia berada di Utara tanah air. Kawan-kawan saya telefon dia dan tanya dia tahu atau tidak akan kewujudan surat (surat pemecatan) itu. Maknanya tandatangan Rafizi palsu.
"Kak Wan (Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) respon, keputusan (pemecatan Chegubard) belum dicapai. Jadi persoalan dia sekarang ini, apa dia?” katanya.
PKR ialah parti yang mengumumkan tekad mahu melakukan transformasi terhadap amalan demokrasi dan menyegarkan budaya politik telus dan benar dalam negara.
Bagaimanapun cara ia menangani karenah Chegubard adalah jelas bercanggah dengan laungan reformasinya. Ia memperlihatkan seolah-olah PKR tidak kekok membelakangi prinsip demokrasi.
Apakah begini caranya PKR menangani kritikan ahlinya sendiri?
PKR bercelaru hanya kerana Chegubard?
PKR harus menyiasat dakwaan ada percubaan untuk merasuahkan Chegubard supaya jagan membawa isu berkenaan kepada SPRM. Siapakah yang cuba membuat sogokan itu?
Lebih utama lagi ialah PKR juga harus menyiasat benarkah ada pihak cuba mencemarkan nama baik Setiausaha Agungnya dengan mempalsukan tandatangan surat pemecatan Chegubard.
Jika presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menafikan sudah ada keputusan dibuat berhubung keahlian Chegubard, bagaimanakah ada surat pemecatan dikeluarkan?
Kecelaruan ini jika tidak ditangani segera akan memberi gambaran bahawa pentadbiran PKR adalah kelam kabut. Jika itu tidak benar, maka PKR wajib membuat penjelasan segera kepada ahli dan rakyat umumnya.
Dakwaan Chegubard mungkin berat sebelah kerana kesemua dakwaan berhubung disiplin dan ketelusan pengurusan PKR hanya bersandarkan dakwaan Chegubard semata-mata.
Namun mengapakah pimpinan PKR seolah-olah keberatan untuk memberikan penjelasan kepada ahli dan masyarakat amnya? Adakah Chegubard dianggap seorang pemimpin kerdil dan tidak perlu diberi publisiti?
No comments:
Post a Comment