KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa akan berpaling tadah daripada kerjasama bersama pemimpin pembangkang selepas gerakan Selamatkan Malaysia membentuk Deklarasi Rakyat yang diterajunya berjaya.
Aktivis pembangkang, Badrul Hisham Shaharin berkata, Dr Mahathir akan memijak kesemua pemimpin pembangkang yang bekerjasama dengannya selepas usaha menyingkirkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak direalisasikan.
“(Deklarasi ini) bukan strategi yang baru, ia strategi yang lama yang telah dikitar semula. Apabila Dr Mahathir dah dapat apa dia mahu, dia akan kempen dan pijak kita semula,” kata Badrul Hisham.
“Ia seperti mengharapkan (Adolf) Hitler mendokong hak asasi manusia,” katanya dalam debat antara penyokong anti-deklarasi dan penyokong deklarasi, semalam.
Menurut beliau, deklarasi teraju Dr Mahathir telah memecahbelahkan ahli parti pembangkang serta aktivis reformasi yang berpendapat bekas Perdana Menteri itu akan berkempen habis-habisan menentang pembangkang sekiranya hasrat beliau dalam Deklarasi Rakyat tercapai.
Turut menentang deklarasi tersebut, aktivis Asalkan Bukan UMNO, Haris Ibrahim yang sangsi dengan agenda yang terkandung dalam Deklarasi Rakyat.
Kata Haris, sewaktu berkempen di kawasan kampung, Dr Mahathir menyatakan usaha menyingkirkan Najib adalah untuk menyelamatkan UMNO yang jelas bertentangan dengan prinsip dan pendekatan pakatan pembangkang.
“Perubahan yang kita mahu tidak akan dapat dicapai oleh deklarasi ini walaupun ia terkandung di dalam dokumen tersebut.
“Selagi BN dan Umno kekal berkuasa, kita tidak akan dapat perubahan-perubahan kepada institusi negara. Ia tidak cukup dengan Najib letak jawatan tetapi Umno kekal berkuasa,” kata Haris.
Turut berada dalam pasukan anti-deklarasi, Ahli Jawatankuasa Parti Sosialis Malaya S Arutchelvan yang mendakwa sukar baginya untuk menyokong deklarasi tersebut kerana beliau meragui keikhlasan Dr Mahathir.
“Di depan orang ni dia cakap lain, di depan orang tu dia cakap lain pulak. Saya rasa dia bukan seorang yang ikhlas dalam hal membawa perubahan.
“Bukan kita tak mahu sokong. Kalau Ambiga atau pemimpin masyarakat sivil lain yang pimpin ini memang kita sokong. Tetapi kerana Dr Mahathir sokong saya tak sokong,” katanya lagi.
No comments:
Post a Comment