SHAH ALAM: Pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali bersabit kemungkinan untuk mengkaji semula skim pemberian air percuma dikhuatiri akan menyebabkan Pakatan Harapan dilabel sebagai mungkir janji pada rakyat negeri itu.
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, Pakatan Harapan harus ingat, skim air percuma adalah janji paling besar dalam manifesto dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
"Kita cukup khuatir ruang atas nama kaji semula ini akan sebabkan pelaksanaan (skim pemberian air percuma) itu diganggu dan kita tak tunaikan manifesto kita pada rakyat," tegas Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard.
Skim pemberian air percuma 20 meter padu yang dicetuskan Menteri Besar terdahulu itu, Tan Sri Khalid Ibrahim menjadi kebanggaan Pakatan Harapan (dahulu Pakatan Rakyat) dan amat dihargai rakyat Selangor.
Namun pada sidang DUN Selangor minggu lalu, Azmin berkata kemungkinan kerajaan negeri akan menimbang semula skim tersebut dan hanya akan memberikan air percuma kepada golongan sasaran, sebagaimana yang dicadangkan ADUN Hulu Klang, Sa'ari Sungib.
Chegubard yang juga bekas Ketua Cabang PKR Rembau berkata Azmin harus sedar, Pakatan Harapan mahu atau tidak terpaksa teruskan skim itu tanpa mensasarkan golongan sasaran kerana rakyat Selangor tidak kira kaya atau miskin bertindak memberi undi pada gagasan itu semasa PRU 2008 dan 2013.
"MB kena perjelas, kaji semula ini dalam termanologi apa? Isu air percuma diperingkat pilihan raya..ia merupakan manifesto pada rakyat.
"Dalam bab manifesto tak boleh kompromi dan ia perlu dilaksanakan dalam bentuk yang paling minima sekali atau ia perlu diperitingkatkan. Malah kerajaan Selangor pernah janji nak beri milikan saham air kepada seluruh rakyat Selangor," tegas Chegubard.
Azmin sebelum ini memberitahu kerajaan negeri terpaksa menilai semula skim air percuma itu selepas membelanjakan sejumlah dana untuk menjayakan pengambilalihan empat syarikat konsesi air.
Mengulas lanjut, Chegubard berkata, Selangor sebagai negeri yang mempunyai simpanan rizab yang amat banyak sepatutnya tidak perlu berdepan dengan masalah seperti yang dibangkitkan Azimin.
"Peninggalan rizab MB sebelum ini sangat besar malah dalam belanjawan terbaru Selangor dikatakan punya rizab yang sangat besar walaupun menyusut sedikit. Tapi bajet ini harus dicairkan pada rakyat ini bukan satu masalah untuk kerajaan negeri Selangor sehingga perlu naikkan kos air untuk tampung projek-projek lain.
"Janganlah buat kubah dan masjid sampai RM60 juta lebih, cat pintu gerbang sampai RM10 juta. Kalau bajet ini diselenggara dengan baik maka tidak ada masalah kewangan seharusnya timbul," tegasnya lagi.
Chegubard sebelum ini mendesak Azmin menjawab beberapa projek yang diluluskan kerajaan negeri membabitkan jumlah yang dakwanya tidk munasabah.
Antaranya pengubahsuaian kubah dan penambahan bangunan Masjid Sultan Abdul Aziz Shah di Shah Alam yang menelan belanja lebih RM60 juta dan projek mengecat semula pintu gerbang Darul Ehsan di Jalan Persekutuan yang dilaporkan bernilai sekitar RM10 juta.
Azmin bagaimanapun enggan melayan tuntutan Chegubard.
No comments:
Post a Comment