Wednesday, February 17, 2016

Kenapa Malaysia sertai Pakatan Perang Saudi ?

Solidariti Anak Muda Malaysia
Kenyataan Umum
17 Februari 2016
Apa Perlunya Sertai Pakatan Perang Arab Saudi?
Susulan laporan media antarabangsa berhubung dengan latihan peperangan North Thunder yang diketuai oleh Arab Saudi. CNN dan The Independent melaporkan Saudi Press Agency (SPA) menyatakan bahawa Malaysia adalah sebahagian daripada pakatan 20 negara yang terlibat dalam latihan tersebut.
Walaupun Hishamuddin Hussein telah menyatakan bahawa penyertaan Malaysia dalam operasi North Thunder adalah merupakan latihan ketenteraan bukannya serangan terhadap Yemen, tetapi itu tidak membantu untuk menjernihkan keadaan. Ini kerana pada 15 Disember 2015, Reuters telah melaporkan bahawa Malaysia adalah sebahagian daripada 34 negara dalam Pakatan Ketenteraan yang diketuai oleh Arab Saudi.
Putera Mohammed bin Salman, Putera Mahkota Saudi dan Menteri Pertahanan dipetik sebagai berkata, kempen ketenteraan ini adalah melakukan usaha bersama-sama bagi memerangi keganasan di Iraq, Syria, Libya, Mesir dan Afghanistan. Kenyataan Putera Mohammed dan latihan North Thunder ini adalah indikasi jelas tidak mungkin Pakatan ini akan memilih meja rundingan kemudiannya.
Sebagai sebuah Negara Berkecuali dan kecil, SAMM menegaskan bahawa dasar luar Malaysia seharusnya tidak melibatkan diri secara langsung dalam kancah peperangan. MINDEF tidak sepatutnya memperjudikan nyawa anggota tentera kita dengan melibatkan diri secara langsung dalam peperangan di rantau Arab.
Mengapa Malaysia yang sebelum ini dikatakan mempelopori Gerakan Kesederhanaan Global, tiba-tiba mengubah dasar luar kepada menyokong tindakan militari? Mengapa Malaysia tidak memilih untuk mengetuai Pakatan Negara OIC dalam meneroka jalan perdamaian di antara negara dan kelompok yang bertelagah?
Ini agak kontradik dengan amalan Malaysia selama ini. Tentera kita sering terlibat dalam misi pengaman di zon konflik dunia. Sama ada melalui payung PBB mahupun OIC tetapi kali ini memilih untuk terlibat secara langsung dalam pakatan perang. Melibatkan diri secara langsung dalam sesuatu perang adalah berbeda dengan menghantar pasukan pengaman.
Bagaimana pula dengan aspek perbelanjaan untuk menghantar dan menempatkan pasukan tentera kita di rantau Arab itu? Adakah ia dibiayai sendiri atau ditaja oleh Arab Saudi? Jika kita terpaksa mengeluarkan perbelanjaan maka, ia bukanlah satu keputusan yang bijak di saat negara sedang berada di dalam ketidaktentuan ekonomi.
Yang lebih dibimbangi adalah tindakbalas daripada kumpulan dan jaringan pengganas ini nanti atas keterlibatan Malaysia dalam Pakatan Perang Arab Saudi ini. Imbas kembali bagaimana pintu sempadan negara begitu mudah ditembusi oleh Pemberontak Sulu sehingga mencetuskan kekacauan dan mengkibatkan kehilangan nyawa anggota keselamatan. Ia akan mendatangkan bahaya dan mudarat kepada keselamatan negara dan rakyat.
SAMM bersetuju bahawa Malaysia perlu membuat beberapa tindakan bagi mengekang ancaman keganasan daripada berlaku di dalam negara ini, tetapi SAMM tidak dapat melihat kewajaran menyertai pakatan perang Arab Saudi ini. Apakah penyertaan Malaysia ini adalah sebagai membalas budi Arab Saudi yang telah memberikan derma RM 2.6 billion?
Walau apa pun, ketika ini bukanlah masa yang tepat untuk Malaysia melibatkan diri secara langsung dalam apa juga operasi ketenteraan. Adalah lebih baik Malaysia menumpukan usaha untuk memperkukuhkan keselamatan dan kawalan sempadan, memperbaiki kemelut ekonomi dan politik, dan memperbetulkan semula asas sosio-ekonomi yang semakin pincang.
Sekian,
Ahmad Anwar Asyraf
Pengarah Pemikir Muda
Solidariti Anak Muda Malaysia

2 comments:

  1. Anonymous8:40 PM

    Pasal ni pun nak kecoh. Malaysia dah lama joint latihan ketenteraan ni. Kat seluruh dunia lah. Dekat Amerika pun dah pergi. India pun dah pergi. Ni baru latihan ketenteraan kat Arab. korang dah kecoh. Kalau berkira sangat pasal bajet ketenteraan malaysia. senang cerita. bubarkan je tentera malaysia ni.

    ReplyDelete
  2. Admin tau x apa yg terjadi di Syria. law xtau diam. ini misi merampas semula Syria dari Syiah yg membunuh rakyat yg dibantu Iran.

    ReplyDelete