Kenyataan umum
9 September 2015
1. Walaupun Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah mengambil keputusan tidak menonjol dalam Himpunan BERSIH 4 yang baru diadakan. Namun SAMM tidak sama sekali berhenti mendesak atau berkompromi dalam perihal tuntutan pilihanraya bebas dan adil. Mana mungkin SAMM yang menjadi sebahagian dari sama mengasaskan gerakan BERSIH semenjak 2007 bersama Pengerusi BERSIH pertama Tn Hj Syed Shahir Syed Mohamud lari dari tuntutan tersebut yang juga menjadi sebahagian dari 12 tuntutan pendiri SAMM. Cuma pendirian kami berasaskan kegusaran himpunan ini digunakan oleh Mahathir dan kuncunya bagi meraih kepentingan politik sempit mereka dan ia sangat berasas.
2. Panik dengan kebangkitan rakyat yang digambarkan oleh BERSIH 4 kali ini, pihak tertentu mula memainkan kompang lama iaitu isu perkauman. Amat lucu kerana jika dahulu ketika majoriti Melayu bersama himpunan mereka serang dengan mengatakan Melayu diperbodoh dan menjadi tunggangan. Kini apabila kebetulan jumlah kehadiran bukan Melayu juga ramai maka himpunan ini digelar Himpunan Cina dan menindas melayu. Ini propaganda lapok yang masih digunakan mereka kerana hanya agenda kaum membodoh massa rakyat satu satunya modal yang mereka ada lagi.
3. Bagi menjawab dan mengalihkan isu tuntutan rakyat maka ada kumpulan yang muncul yang dimulakan oleh pemimpin Umno memulakan provokasi perkauman tanpa berselindung ia ke arah pergaduhan kaum. Kononnya Melayu diajak berkumpul untuk menyerang orang Cina.
4. SAMM berpendirian untuk berkumpul itu adalah hak mereka yang dijamin perlembagaan namun sentimen yang dibakar dan jika menjadi kekecohan maka Umno harus dipersalahkan. Ia bermula dengan pemimpin Umno dan apabila dilihat ia merugikan sokongan politik maka Umno cuba cuci tangan dan himpunan itu diserahkan kepada beberapa NGO untuk diketuai. Namun mesyuarat penganjuran oleh NGO tersebut yang diadakan dalam bangunan Ibu Pejabat Umno sendiri sudah mengesahkan Umno bertanggungjawab terhadap himpunan tersebut.
5. Dalam isu pijak gambar yang diperbesarkan, ia juga melucukan adakah kita tidak pernah melihat demonstrasi yang didalangi Umno memijak gambar pemimpin pembangkang tak kira bangsa di Masjid malah ada gambar berimej Barisan Nasional kencingkan imej Presiden dan (Bekas) Muryidul am Pas tetapi oleh kerana ia tidak diarah dan tidak mendapat ‘kepentingan’ maka NGO upahan ini semua senyap membisu.
6. Ingatlah semua taktik perkauman ini harus kita tolak, ia strategi politik jahat warisan penjajah. MIC akan masuk ke kawasan India konon berjuang nasib India yang tertindas, MCA di hadapan orang Cina akan bercakap merekalah pejuang orang Cina yang tertindas oleh kaum lain begitulah Umno yang bercakap isu betapa Melayu telah hilang macam – macam kononya. Tetapi hakikat sebenar kerana kita dipimpin oleh parti – parti perkauman inilah kita makin celaru. Jika benar melayu hilang hak contohnya tanah rizab melayu makin susut ia adalah kerja Umno Barisan Nasional yang memerintah sekian lama memajukan tanah rizab melayu tanpa menggantikannya. Saham dan kekayaan atas nama bumiputera disedut dan dinikmati oleh pemimpin dan keluarga mereka termasuk Mahathir sendiri.
7. Ayuh semua bersatulah, masalah kita bukan perkauman tetapi agihan ekonomi yang tak sama rata. Ada yang rapat dengan penguasa mereka menyedut dan menikmati keenakan tetapi marhaen rakyat biasa disajikan lebihan kuah. Mereka ini cukong perbagai bangsa berlindung terus dibelakang api perkauman. Ayuh bersatu tolak perkauman bina bersama negara yang bebas dan adil.
8. Himpunan BERSIH ialah berkenaan tuntutan untuk negara punya pilihanraya bebas dan adil. Kalau tak puas hati anjur debat di depan umum atau televisyen. SAMM percaya BERSIH punya ramai tokoh yang boleh ditampilkan untuk berdebat mempertahankan idea ini.
9. Sekali lagi SAMM tegaskan biarkan mereka berhimpun kerana ia dijamin perlembagaan tetapi jika ada apa – apa berlaku maka Umno harus dipersalahkan. Berbeza pendapat juga dibenarkan dalam negara ini, jika beda pendapat hujahlah dengan akhlak yang baik.
10. Akhirnya SAMM tidak menolak himpunan perkauman ini sengaja diwujudkan oleh kelompok tertentu bagi menjatuhkan pemimpin tertentu kerana pertembungan kekuasaan dalam Umno itu sendiri dan kepada mereka diberi amaran jangan perkuda rakyat untuk agenda politik peribadi.
Sekian.
Khairooll Anuar Almegat
Penyelaras SAMM
Email: megatkhairula@yahoo.com
No fon: 017-5697966
No comments:
Post a Comment