Tuesday, April 28, 2015

Yusni tak belajar dari hanya 600 undi dan hilang deposit PRU lepas

Catatan Umum
27 April 2017

YUSNI TAK BELAJAR DARI HANYA 600 UNDI DAN HILANG DEPOSIT PRU 13.

  1. 2 hari lepas apabila membaca kenyataan Yusni Mat Piah mengenai semua jentera pemuda P.Pinang berehat sepanjang PRK Permatang Pauh, respon saya cuma satu iaitu Yusni ini tidak belajar dari hanya perolehi 600 undi dan hilang deposit PRU lepas.
  2. PRU lepas saya menerima arahan PKR untuk bertanding di DUN Sg. Acheh (P.Pinang) dengan tugasan membawa suara membongkar dan menyerang kemunafikan Umno yang berselindung dibalik laungan 'Hidup Melayu'. Pimpinan PKR memutuskan perlunya suara keras ADUN Melayu dalam DUN P.Pinang bagi membunuh sentimen perkauman yang penuh penipuan. Saya setuju dan ambil amanah itu. Namun saat hampir penamaan kedengarah PAS juga mahu meletakkan calon malah PAS mengumumkan Yusni Mat Piah sebaik sahaja nama saya diumumkan oleh Pengerusi Perhubungan PKR ketika itu.
  3. Saya cuma bersetuju untuk meneruskan menghantar borang pencalonan apabila diberi jaminan oleh pimpinan PAS bahawa semuanya akan selesai dan semua akan akur dengan keputusan Pakatan Rakyat bahwa kerusi itu milik PKR. Namun pada hari penamaan calon semuanya bertukar dan berlaku pertandingan 3 penjuru.
  4. Saya mengambil inisiatif saya sendiri ditengah kehangatan berkempen untuk menemui pimpinan PAS kawasan bagi membincangkan penyelesaian. Kesimpulan dari pertemuan tersebut ialah :
    • PAS kena tanding juga kerana sudah lama terhina menyebabkan beberapa tokoh pemuda terpaksa rapat dengan Umno seperti Mazlan Ismail, Hafiz Nordin dan beberapa lagi
    • PAS meneruskan bertanding kerana walaupun ada pengumuman tarik diri tetapi arahan rasmi tidak dikeluarkan
  5. Namun bisik - bisik dikalangan ahli PAS iaitu mengakui PAS sukar menang tetapi kena pastikan PKR tidak memenangi kerusi DUN Sg. Acheh untuk memastikan PKR tidak berkubu disitu dan ini sedikit sebanyak telah menyebabkan ramai jentera dan pendokong PAS setempat bersama PKR dan saya untuk berdepan dengan Calon Umno.
  6. Ramai juga jentera PAS khususnya yang muda meragui adakah wajar PAS bertanding 3 penjuru ketika itu kerana kehadiran pimpinan Umno termasuk calon Umno DUN Sg. Acheh dalam beberapa program PAS juga ketika ssat akhir sebelum pencalonan dan ketika kempen pilihanraya. Ini dimaklumkan sendiri kepada saya dengan disertakan dengan gambar.
  7. Saya yang seharusnya ditugaskan menggempur kawasan pengundi Melayu disekitar P.Pinang sepanjang PRU lepas sedikit terganggu fokus kerana terpaksa menyusun semula kempen selepas 3 penjuru terjadi. Namun saya tetap ke beberapa kawasan termasuk kawasan PAS bertanding di dalam P.Pinang.
  8. Ramai diluar  Sg. Acheh mungkin terpadaya dengan pengumuman kononya PAS menarik diri di DUN Sg. Acheh namun hakikatnya selepas pengumuman tersebut mereka terus mempertingkatkan jentera mereka dengan lebih agresir. Saya tidak mampu menyelindungkan kecewa bila kempen menyerang saya secara peribadi dan PKR berlebih sehingga serangan kepada Umno itu langsung seperti tidak kedengaran. Kempen menyerang peribadi ini juga sangat lucu sehingga menyatakan yang saya ini tidak seIslam jika dibandingkan Yusni . Pengundi kena memilih Yusni kerana jika ada kematian jika Yusni ADUN dia akan mampu menguruskan jenazah, mengimamkan solat dan mentalkinkan. Lucu sekali garis kempen mereka
  9. Itu belum lagi usaha kempen menggunakan gambar YAB Lim Guan Eng dengan berlogo pas dan tanda pangkah seolah Guan Eng calon Pas. Bahan kempen ini ditunjukkan oleh seorang wartawan kepada Guan Eng dalam lawatan kempen beliau ke DUN Sg. Acheh. Soalan wartawan itu disambut gelak tawa termasuk Guan Eng sendiri. Meneliti strategi kempen ini Yusni sendiri akui perlunya ada pakatan dengan DAP tetapi bila diluar usaha merauih undi rakyat dia sangat angkuh sekali. Saat - saat akhir juga jentera Yusni mula memanjangkan bisik-bisik tuduhan presiden PAS mengenai Komunis dan pil kuda.
  10. Walaupun PAS pusat umum tarik diri namun PAS Sg. Acheh tetap meneruskan kempen dalam satu ceramahnya dua hari sebelum mengundi, Yusni sendiri secara sombong memetik nama - nama seperti Nasarudin Tantawi yang mengarahkan dia untuk terus berkempen. Di hari pengundian jentera Yusni bertungkus lumus membuka pondok panas cuma peliknya ia hanya dibuka dikawasan Umno lemah mungkin hanya untuk memastikan undi PR pecah kerana dikawasan peti undi Umno kuat jentera Yusni tidak membuka pondok panas.
  11. Akhirnya keputusan undian dari 15559 pengundi yang keluar mengundi 89.2 % dari jumlah tersebut Undi calon Umno ialah 44.2 %, undi saya sekitar 40% dan Yusni dengan jenteranya yang angkuh akhirnya hanya mendapat 4.4 % undi hanya 600 lebih undi dari 15559 pengundi berdaftar.  Selebihnya ialah undi rosak kerana sudah tentu sama ada yang merosakkan kertas undi inimarah dengan PR yang tidak boleh selesaikan isu calon atau kecewa.
  12. Apa yang saya belajar dari keputusan ini :
    • PKR atau PAS mahupun DAP tidak mampu berdiri sendiri lebih lebih lagi bertembung sesama sendiri jika ini berlaku ia kemenangan Umno dan Bn.
    • Jentera khususnya orang muda celik politik, saya tidak didokong jentera PKR semata - mata tetapi saya dibantu juga oleh kawan - kawan PAS yang melihat kepentingan menjatuhkan Umno Bn itu lebih penting diutamakan dahulu selain jentera rakyat biasa yang bencikan Umno Bn
    • selain itu hormati juga kelompok yang bukan ahli mana - mana parti PR tetapi memberi undi kepada PR kerana benci dengan Bn
  13. Saya percaya dan yakin Yusni juga merupakan orang yang terpelajar dan kaya dengan pengalaman politik pilihanraya ini. Namun apabila melihat kenyataan dia merehatkan jentera tersebut nampak dia tidak belajar dari pengalaman pahit 3 penjuru di Sungai Acheh.
  14. Nasihat saya kepada Yusni, sudah sudahlah dendam sempit itu. Ego politik dengan mengenepikan kepentingan rakyat. Ingat dan lihatlah rakyat diluar sana. GST yang menghimpin, undang undang yang menindas, agihan ekonomi yang tak serata dan rakyat memerlukan kita bersatu melawan bagi pihak mereka.
  15. Kamu bercakap soal wala' tetapi kini kamu sendiri tidak wala' dengan arahan pimpinan atas ? Adakah mau percaya dengan kemenangan Umno di Permatang Pauh ia dapat merialisasikan cita - cita kamu melaksanakan hudud ? Adakah ia benar kerana mahu laksana hudud atau ada agenda tersirat lain ?
  16. Kepada jentera PR atau penyokong jangan diserang PAS percaya dan yakinlah Yusni ini tidak semampu mana mengawal jentera dan undi PAS jika tidak mana mungkin hanya 4.4% undi sahaja dan hilang deposit dikawasan yang mana keanggotaan PAS jauh tinggi dari itu. Yakinlah ramai dalam PAS itu cerdik dan memahami keutamaan cuma ada seorang dua yang menggelar diri mereka pemimpin tetapi termain emosi atau tertipu terpesona.
Sekian.

Tulisan : che'GuBard , calon PKR-PR DUN Sungai Acheh (P.Pinang) PRU 13



Sunday, April 26, 2015

Sampai Bilakah Perubahan Tampuk Kepimpinan Negara Berkisar Kepada Siapa Yang Mahathir Mahu?

Kenyataan Umum
26 April 2015
Sampai Bilakah Perubahan Tampuk Kepimpinan Negara Berkisar Kepada Siapa Yang Mahathir Mahu?
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) terkejut dengan kenyataan Tun Mahathir bahawa beliau begitu kuat menyokong Najib Razak meniti tangga pemerintahan sehingga bergelar Perdana Menteri adalah kerana untuk membalas jasa Almarhum Tun Razak yang menaikkan Tun Mahathir di dalam UMNO. SAMM sangat tidak bersetuju dengan kenyataan ini.
Tampuk pemerintahan negara
bukanlah perkara yang kecil. Seharusnya segala percaturan untuk menaikkan seseorang Perdana Menteri mestilah bersandarkan kepada merit yang memenuhi maksud terma Pemimpin itu sendiri.
Hanya kerana keinginan Tun Mahathir untuk membalas budi, maka hari ini negara sedang berhadapan dengan kemusnahan yang dahsyat. Sebagai seorang negarawan seharusnya Tun Mahathir lebih bijak dalam menilai sosok yang ingin disokong sebagai pemimpin utama selepas beliau tetapi nampaknya Tun Mahathir lebih mementingkan kepuasan peribadinya sendiri.
Begitu juga kenyataan Tun Mahathir yang menggesa GST dibatalkan perlaksanaannya. SAMM tertanya-tanya dimanakah Tun Mahathir sewaktu rejim Najib Razak mengumumkan rancangan melaksanakan GST? Apakah hari ini setelah Najib dilihat tidak lagi menjadi budak suruhannya maka, GST digunakan sebagai senjata terbaru menyerang Najib?
Adakah Tun menyedari bahawa seminggu sebelum 1 April, 80 aktivis telah pun ditangkap kerana mempersoalkan kesediaan Kerajaan dan agensinya dalam melaksanakan GST? Kesemua mereka ini telah dihadapkan di mahkamah dengan pertuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Pembangkang juga harus sedar jika benar Tun anti GST dan bersama mood rakyat...beranikah Tun berada di tengah massa rakyat pada 1 Mei nanti. Jawapanya tidak kerana Tun hanya menunggang pembangkang dan mood rakyat demi nafsu politik dia semata - mata. Ingat sejak dari dipecat Umno kali pertama lagi Tun sudah menggunakan pentas pembangkang bukan untuk bersama menumbang Umno dan gabungan tetapi hanya untuk memastikan kelansungan kehendak politiknya.
Dalam isu 1MDB dan Altantuya juga, pihak oposisi sama ada parti politik, NGO dan orang perseorangan telah lama bercakap soal ini. Ada yang telah ditangkap, dilokap dan menghadapi pertuduhan di mahkamah kerana membangkitkan persoalan ini. Isu-isu ini bukanlah satu isu baru sebaliknya telah bertahun-tahun disuarakan.
Kebelakangan ini apabila Tun Mahathir menyuarakan perkara ini, seolah-olah baru seluruh negara tersedar sedangkan sebelum ini omongan dari pihak oposisi dianggap sebagai satu pembohongan. Rencana yang hanya ingin memburukkan rejim Pemerintah.
Pemimpin oposisi dan rakyat secara keseluruhannya harus ingat, setiap kata-kata serangan Tun Mahathir terhadap Najib hari ini bukanlah kerana benar-benar sayangkan negara ini. Tetapi lebih terdorong bersandarkan kepada kepentingan peribadi dan ketakutan Tun terhadap kebangkitan rakyat menolak hegemoni rejim UMNO/BN yang semakin tersasar agenda mereka.
SAMM juga tertanya-tanya, apakah jika Tun Mahathir berjaya menggulingkan Najib dan menaikkan Muhyiddin, maka selepas ini Muhyiddin pula akan menaikkan Mukhriz hanya kerana Muhyiddin telah termakan budi Tun Mahathir? Jika begitu, malaplah masa depan Malaysia kerana tampuk kepimpinan tertinggi berganti hanya dengan alasan membalas budi.
Harus diingati, Tun Mahathir sering mengganggu pentadbiran negara. Bukan hari ini, malah semenjak dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga ke zaman Najib Razak. SAMM tidak membela Najib, malahan memang benar Najib adalah Perdana Menteri terlemah dalam sejarah negara, tetapi sampai bilakah kita mahu pertukaran Perdana Menteri dan Pentadbiran Negara hanya berkisar kepada siapakah yang Tun Mahathir mahukan dan siapakah yang boleh mengikut setiap kehendaknya? Rakyat harus menghentikan kegilaan ini.
Che'GuBard
Pengasas
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Thursday, April 23, 2015

Dr. Hassan Ali sahkan memang ada usul gabung PAS / Umno dan ia dibawa oleh Hj.Hadi

Catatan Umum

23 April 2014


Dr. Hassan Ali sahkan memang wujud usul UG untuk gabung Umno/Pas dan cadangan oleh Hj. Hadi sendiri.
  1. Minggu lepas ketika mencari video lama di 'youtube' tiba - tiba terjumpa sebuah video berdurasi 18minit 24 saat yang merupakan laporan 'Berita Terkini' yang dimuat naik dari akaun IMR Television. Video tersebut boleh ditonton di sini klik https://www.youtube.com/watch?v=9s6dOkF8FjQ&hc_location=ufi&app=desktop
  2. Video tersebut merakamkan sesi soal jawab bekas pemimpin Pas, Datuk Dr. Hassan Ali dalam satu program tertutup yang dihadiri oleh penggiat Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dari seluruh negara yang berlangsung di Kem Permata Resort, Melaka pada 2013 lalu.
  3. Dalam menjawab soalan peserta dengan jelas Dr. Hassan menyatakan sememangnya wujud usul untuk menggabungkan Pas dan Umno dalam usul yang dinamakn usul UG yang dibawa oleh Tuan Guru Hj. Hadi Awang sendiri. Usul menggabungkan Pas dan Umno ini disokong perbagai pihak dalam Pas antaranya ialah Ust.Nasharudin Mat Isa (Bekas Timbalan Presiden Pas) termasuk beliau sendiri. Dr. Hassan dengan tegas menyatakan (Tuan Guru) 'Nik Aziz' pula merupakan firaun kecil atau sebahagian dari parasit yang menghalang hasrat menggabungkan Umno dan Pas itu.
  4. Dengan nada menghina Dr. Hassan menyebut 'Nik Aziz' ketika Maulidur Rasul bukan berarak di Kota Bharu tetapi sebaliknya pergi ke rumah Karpal Sigh, untuk menyambut ulang tahun Karpal. malah Dr. Hassan menyatakan selagi 'Nik Aziz' hidup jangan mimpi UG terlaksana.
  5. Dr. Hassan dalam video tersebut beberapa laki menegaskan Hj. Hadi sangat pro pengabungan Pas / Umno tetapi telah dihalang oleh 'puak - puak' Anwarinas dan pro Nik Aziz dalam Pas.
  6. Dr. Hassan tanpa berselindung menyatakan menjelang Muktamar Pas Jun akan perbagai pihak perlu terlibat membantu Hj. Hadi dan usul UG nya dengan memastikan kumpulan Anwarinas dan pro Nik Aziz kalah dengan digantikan dengan kumpulan 'ulama' yang lebih terbuka dan sanggup bergabung Pas dan Umno demi Melayu dan Islam.
  7. Meneliti perkara ini, tentu ramai ternanti respon Tuan Guru Hj Hadi , Adakah benar dia sedia bergabung dengan Umno ?  Adakah benar kempen pemilihan dalam Pas yang sedang berlangsung kini ialah proses menyingkir kumpulan yang menentang 'usul UG' dan digantikan dengan kumpulan yang konon bergelar ulama tetapi yang penting ialah ke arah agenda penggabungan Umno - Pas itu sendiri. Jika ia fitnah maka  video ini fitnah yang menggugat integriti tokoh sebesar Hj. Hadi, ia harus bertindak dengan menuntut Dr. Hassan Ali menarik fitnah tersebut atau disaman.
  8. Mohon respon dari YB Tuan Guru Dato' Seri Haji Abdul Hadi Awang.

oleh : che'GuBard


Bongkar sebab trajedi demi keadilan untuk JJ

Tulisan Umum
23 April 2015


PERSAINGAN DEMOKRASI DI ROMPIN TIDAK HARUS MELUPAKAN TAN SRI JAMALUDDIN JARJIS

    1.  22 April 2015 merupakan hari penamaan calon bagi memilih ahli Parlimen Rompin yang baru yang mana telah menyaksikan pemangku Ketua UMNO bahagian Rompin, Datuk Hasan Arifin sebagai calon Bn bertemu dengan  Ketua Dewan Pemuda PAS Pahang, Nazri Ahmad untuk mewakili PAS. Pertembungan ini kelihatan pertembungan ganerasi tua dan muda.


2.      Namun persaingan demokrasi di Rompin ini tidak seharusnya melupakan puncanya iaitu pemergian tokoh penting dan sahabat ‘perencana’ dibelakang Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Tan Sri Jamaluddin Jarjis. Tokoh ini wajar tidak boleh dilupakan, khususnya misteri trajedi kemalangan itu harus diberi perhatian sewajarnya seiring apabila negara memutuskan untuk mengebumikan jenazah arwahyarham di Makan Kehormat Negara iaitu Makam Pahlawan.

3.      Jujurnya saya mengenali beliau secara peribadi. Dalam 5 tahun perkenalan dengannya banyak kali kami bertemu bersembang, ada sehingga pertemuan sehingga 2 – 3 jam lamanya. Bagi saya ia seorang tokoh yang ‘cool’ dan focus dengan matlamat kerjanya. Dia seorang yang bekerja meletakkan matlamat di depan dan dengan apa cara pun matlamatnya pasti dicapai. Mungkin ramai punya perbagai versi cerita mengenai arwah tetapi bagi saya dia ada sisi baiknya juga. Pernah sekali ketika kami berbual, datang seorang lelaki yang saya kira ia kakitangan di bawahnya untuk menguruskan bantuan peribadi beliau ke satu kawasan majoriti orang Islam yang amat memerlukan di negara jiran. Bila ditanya kenapa tidak ada hebahan media , dia menjawab kerja politik nak raih sokongan dan undi kena masuk media tetapi sumbangan ini urus niaga saya dengan pencipta maka tak perlu orang tahu. Malah ketika berbicara dalam talian beliau sendiri menawarkan untuk membantu Koop SAMM Berhad untuk mendapat tanah pertanian tanpa ada apa syarat balasan pun malah beliau pesan jangan beritahu orang lain sebab nanti kalau ada ‘geng Umno’ tahu beratur pula yang minta. Arwah kata dia kalau nak bantu luar urusan politik biar dia bantu orang yang mampu bekerja bukan dapat tanah lepas itu jual.

4.      Mungkin ramai juga tidak tahu bahawa dia jugalah ‘pencatur’ atau ‘penyusun’ penting politik negara. Dari pemerhatian saya tidak melampau dikatakan dia antara ‘nyawa politik’ Najib Razak. Namun bila kami bersama banyak perbezaan pandang kami letak tepi tapi bersembang banyak perkara yang punya pandang serupa. Cuma sempena 20 hari perginya tokoh ini dan mengambil kesempatan persaingan demokrasi di Rompin ayuh kita teliti trajedi tersebut

5.      Pertama yang saya pelikkan ialah sepanjang perkenalan saya dengan arwah tidak pernah beliau menggunakan khidmat ‘bodyguard’, malah beliau sendiri pernah menyatakan dengan saya beliau tidak selesa jika ada ‘bodyguard’ lainlah kalau memang ada ancaman bunuh yang serius. Beberapa pertemuan beliau membawa kenderaan sendiri. Untuk satu pertemuan sembang santai, dia  mengambil saya dan teman saya dengan kenderaan yang beliau pandu sendiri. Maka apabila melihat senarai penumpang mangsa tragedi helikopter tersebut maka sesuatu yang pelik. Kenapa tiba – tiba Tan Sri Jamaluddin Jarjis menggunakan khidmat ‘bodyguard’, adakah beliau mendapat ancaman serius ?

6.      Jujurnya beberapa minggu sebelum trajedi saya dan seorang kawan yang biasa kalau saya bertemu Jamaluddin Jarjis dia akan bersama, ada saling berhubung. Dalam salah satu pesanan ringkas arwah menyatakan maaf sibuk sangat kerana sedang menyelesaikan pergeseran antara Mahathir dan Najib. Beliau ada berkongsi beberapa perkara termasuklah peranan beliau menjadi orang pengantara dan ‘selesai bertemu Tun Daim’.

7.      Maka persoalan muncul adakah selepas terlibat serius secara dalam sebagai orang tengah menyelesaikan masalah pertembungan Najib dan Dr. Mahathir ini dia menggunakan ‘bodyguard’ ? Adakah ada pihak yang tidak senang melihat Najib melayan permintaan Dr. Mahathir ? Adakah dia diancam serius selepas itu sehingga menggunakan ‘bodyguard’ ?

8.      Helikopter tiba - tiba meletup juga sangat pelik. Rekod menyatakan Helikopter punya rekod pemeriksaan penuh dan dalam keadaan baik sebelum penerbangan. Dua saksi awal menyatakan helikopter terbang dalam keadaan baik dan tiba – tiba meletup.  Cuaca baik ketika itu, jika letupan berpunca dari mechanical failure untuk mencetuskan api dan menyambar  fuel tank maka ia seharusnya berasap dan ia tidak terus meletup, pilot seharusnya membuat panggilan ke menara kawalan ‘may day…may day’ , namun menara kawalan melaporkan tidak ada langsung panggilan kecuali yang terakhir melaporkan semua baik.

9.      Kotak hitam ditemui dan dihantar ke AAIB. AAIB ialah pihak yang terlibat dalam penyiasatan. Helikopter ini buatan Airbus. Sama macam ‘GermanWings’. Teringat kes ‘GermanWings’ dimana hanya beberapa minggu lepas nahas pasukan penyiasat terus menyatakan bahawa juruterbang bunuh diri. Kes tragedi kemalangan yang membawa kematian arwah ini polis awal lagi telah menolak unsur sabotaj dan kini mengumumkan menyiasat akaun juruterbang pula, moga penyiasatan tidak hanya untuk dipermudah dengan mewujudkan kambing hitam sahaja.

10. Carian rekod menyatakan dari 93-2015, 11 kejadian libat helikopter jenis yg sama. Tiada yg meletup kecuali yang dinaiki Jamaluddin Jarjis.

11.  Ia meletup diudara bukan terhempas dan meletup. The Malaymail online (13 April) menyebut dengan jelas “ It did not specify any indications or reasons as to why the helicopter had exploded in mid-air during the flight. However, the team hopes that the combination of both black box data and reconstruction of the wreckage would provide answers to what had happened that fateful evening on April 4”
 
12.  Selasa 30 Disember 2014, helikopter Ecureui Unit Udara PDRM terhempas di Kampung Rambai Lama Gobek, Tanah Merah, Kelantan ketika misi menghantar bantuan makanan kepada mangsa banjir. Helikopter yang penuh dengan bahan bantuan, berat dan sarat jatuh dalam keadaan cuaca buruk tetapi semua penumpang selamat. Saksi kejadian melihat helicopter itu berlegar – legar, berasap sebelum jatuh dan kemudian ada letupan. Tetapi helikopter yang dianiki oleh arwah dalam keadaan baik dan tiba – tiba meletup.

13.  Sepatutnya setiap penerbangan harus dilaporkan semua penumpang dan bagasi kepada pihak berkuasa, tetapi dalam penerbangan tersebut penumpangyang dikatakan pada peringkat awal sebagai pembantu juruterbang itu tidak punya rekod lengkap. Apa bagasi dibawanya ? Adakah letupan itu ada kena mengena dengan bagasi yang dibawanya ?

14.  Helikopter yang nahas itu model Eurocopter AS365 n2. Sejarahnya model ini mengalami pengubah suaian apabila Airbus ambil alih Aerospatiale dan kemudian upgrade helikopter model ini dari 1 enjin kepada 2 enjin. Airbus dalam memperkatakan kemampuan  helikopter ini menyatakan its capable of travelling long range, well suited to operating in climates of a high ambient temperature or at location of significant altitude. Jadi hanya terbang dari Kuantan dalam cuaca baik dan ia tiba – tiba meletup tanpa panggilan kecemasan dari juruterbang, hanya mampu diperjelaskan adakah ia diletupkan ? Adakah ini berkaitan pertembungan politik yang beliau terlibat ditengahnya ? . Pihak berwajib harus tampil menjelaskan perkara ini dan penyiasatan serta keadilan buat mangsa perlu diperlihatkan.

15.  Al fatihah dan doa buat orang yang pernah ku kenali, Tan Sri Dr. Jamaluddin Jarjis tenanglah kau di sana. Moga Allah mengampunkan dosanya dan dosa – dosa kita semua. Moga Allah menerima amal baiknya dan amal  baik kita semua.

Tulisan : che’GuBard

Sunday, April 05, 2015

Mohon pertolongan Dr.M (isu 1MDB) umpama minta tolong lanun selesaikan kes curi

KENYATAAN UMUM

4 April 2015

MOHON PERTOLONGAN DARI DR. M UMPAMA MINTA TOLONG LANUN SELESAI KES CURI

1.      Saya dengan ini tidak boleh menyembunyikan rasa terkejut dengan kenyataan seorang ahli parlimen Pakatan Rakyat beberapa hari lepas yang tersiar di media secara terbuka menyatakan untuk mohon pertolongan Dr. Mahathir dalam menghadapi isu 1MDB.

2.      Akui isu 1MDB ini merupakan satu isu serius melibatkan bukan sedikit wang rakyat. Namun untuk meminta pertolongan seorang lanun yang menjadi punca rosak sistem negara dan menjadi pengasas kepada trend penyelewengan besar negara ialah tidak ubah sebagai meminta pertolongan ketua lanun untuk menyelesaikan kes kecurian.

3.      Bersetuju isu 1MDB perlu penglibatan semua dalam membongkarkan, mencari malah menyeret pesalah ke muka pengadilan. Wag rakyat yang hilang perlu dikembalikan tetapi Dr. Mahathir bukanlah orangnya. Adakah dia bersih suci ? Bukan sedikit kehilangan wang negara dibawahnya. Bagaimana dengan
  • Skandal Forex awal 90 an       : RM 30 billion
  • Skandal Perwaja                     : RM 10 billion
  • Skandal Bank Bumiputera      : RM 10 billion
  • Maminco-Makuwasa Affair: RM 1.6 billion
  • Mahathir juga disebut menggunakan bukan sedikit tabungan wang negara khususnya Petronas dalam ‘bail out’ perbagai syarikat kaitanya. 1998 Dr. M dikatakan ‘bail out’ anaknya sendiri Mirzan Mahathir’s Konsortium Perkapalan untuk RM 226 juta

4.      Itu belum menyebut bagaimana kerugian negara dengan kehilangan tokoh penting dari pesada politik mahupun perkhidmatan awam. Tun Musa Hitam, Tun Salleh Abbas, Dr. KS Jomo (sekadar menyebut beberapa nama). Malah kecelaruan politik negara dengan pemecatan dan peemulaan politik fitnah, kotor dan kejam dengan memecat dan menghina Anwar Ibrahim telah dimulakan hanya dengan nafsu rakus politik Dr. M sendiri.

5.      Saya tidak faham bagaimana ahli Parlimen PR tersebut yang seharusnya juga memberi penumpuan kepada kes Anwar Ibrahim boleh melupakanya begitu sahaja, malah memohon pertolongan Dr. M seolah dia suci lagi menyucikan.

6.      Ingat Dr. M lah yang mengangkat Abdullah Badawi kerana memikirkan Abdullah seorang ahli politik yang lembab dan senang diarah. Namun apabila Abdullah dikawal menantunya dan tidak mengikut telunjuknya maka rakyat diseret untuk menyingkirkan Abdullah.

7.      Rakyat rata – rata sudah menolak pada ketika dia memilih Najib Razak sebagai pengganti namun tidak dipedulikannya. Dalam berdepan Najib Razak, Dr. M beberapa pusingan dilihat bercakap lantang dan senyap. Disyaki dia bising bila permintaan tak tertunai dan senyap bila permintaan dipenuhi. Bising semula bila ada benda lain nak diminta. Sampai bila politik Malaysia ini hanya berkisar semata untuk memuaskan hati Mahathir sahaja.

8.      Kita pernah menjadi alat kepada Mahathir dalam menjatuhkan Abdullah dan menggantikan dengan Najib yang memang semenjak perlantikan lagi penuh kontroversi. Adakah kini kita sekali lagi mahu menjadi alat atau barua seperti dulu ? Menukar PM mengikut selera Mahathir tanpa membawa erti apa – apa pada rakyat terbanyak ?

9.      Ya, isu 1MDB penting kerana bukan sedikit kehilangan wang negara, tetapi saya mencabar ahli parlimen PR supaya membawa juga isu untuk disiasat sehingga selesai berbilion kehilangan wang negara di bawah Dr. M. Ya, betul pentadbiran Najib lemah dari aspek ekonomi tetapi ketahuilah bahawa pentadbiran inilah yang terpaksa mewarisi menanggung biawak hidup ciptaan Mahathir seperti menanggung subsidi IPP yang dimiliki kroni Mahathir hingga kini. Isu Mahathir ini harus dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bn sebetulnya kerana Mahathir menyerang Najib selaku Perdana Menteri (bos mereka) namun kebanyakan ahli parlimen Bn penakut dan sentiasa main selamat.

10.  Saya dan kawan – kawan dari perbagai peringkat seluruh negara mahu ahli parlimen tersebut sedar mendepani Najib dengan berani, ya kami setuju tetapi untuk meminta pertolongan Mahathir ia tak ubah seperti meminta pertolongan kepala lanun menyelesaikan kes curi.

Sekian.

che’GuBard

Bekas MPP PKR
Bekas Ketua Cabang PKR Rembau
Pengasas SAMM


klik sini untuk menyumbang kepada SAMM