Pimpinan pembangkang diminta jangan jadi 'kuda tunggangan' dalam gerakan Mahathir-Daim membelasah Perdana Menteri.
Aktivis PKR yang digantung, CheGuBard berkata, pimpinan pembangkang perlu 'membaca' seni politik Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) sejak daripada zamannya berkuasa sehingga sekarang.
"Pakatan pembangkang telah digunakan sepenuhnya bagi menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi (bekas PM) tetapi apakah hasilnya?
"Hasilnya ialah Mahathir dan UMNO yang mendapat laba. Pemimpin lemah dalam UMNO dapat disingkirkan tetapi akhirnya UMNO semakin kuat. BN tetap gagal dijatuhkan.
"Bayangkan, jika Abdullah dibiarkan mengetuai BN dan kita berdepan dengan pilihanraya, tentu suasananya berbeza dan kita sudah pun menerobos Putrajaya," ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
CheGuBard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shahrin merupakan bekas Majlis Pimpinan Pusat PKR itu memberitahu, kesemua yang pernah menjadi mangsa politik Mahathir dan Daim (bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin) perlu bersepakat menghabiskan permainan politik kedua-dua rakan baik tersebut.
"Bagi saya, bukan sahaja Anwar (Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim) malah semua mangsa buli politik Mahathir seperti Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan juga penjawat-penjawat awam seperti Tun Saleh Abbas, Prof. KS Jomo dan ramai lagi muncul dan menamatkan kecelaruan politik dan pentadbiran negara yang berpunca daripada Mahathir.
"Mahathir lebih banyak membawa bencana pada negara tetapi hakikatnya dialah yang memperkosa Perlembagaan Persekutuan, sistem keadilan dan penyebab berlakunya kecelaruan dalam politik dan kotor dalam negara," jelasnya.
Beliau berkata demikian mengulas kritikan wakil rakyat DAP, Datuk Ariff Sabri yang menegur Anwar yang tiba-tiba bersatu dengan Datuk Seri Najib Tun Razak 'menyerang' Daim dan Mahathir.
Menurut CheGuBard, serangan Anwar kepada Daim dan Mahathir memang konsisten sejak dahulu lagi dan tidak ada kena mengena untuk membantu Najib.
Apa yang menjadi masalah, pemimpin pembangkang lain terikut-ikut menentang Najib sebenarnya menjadi perkakas Mahathir.
Tetapi hakikatnya, dalam tidak sedar, Mahathir sebenarnya yang sedang menunggang mereka bagi melengkapkan nafsu kerakusan kuasa di hujung usia.
"Tidakkah Ariff sedar akan skil dan strategi politik Mahathir ketika mahu melengkapkan percaturan politiknya, dia akan menggunakan apa sahaja termasuk juga musuh. PAS seawal dari era Tunku Abdul Rahman merasa amat bangga sekali apabila Mahathir menggunakan pentasnya menyerang Tunku tetapi ia adalah kenikmatan sementara semata-mata.
"Selepas sahaja lengkap cita-citanya, Mahathir kembali menggodam PAS. Ketika menyerang dan membunuh di Memali, Mahathir langsung tidak pernah ingat bahawa dia pernah menggunakan pentas PAS untuk naik ke puncak kuasa," jelasnya.
Ariff, menurut CheGuBard, sepatutnya lebih maklum seni politik Mahathir kerana Ariff juga pernah berada di dalam kepompong UMNO satu masa dahulu.
"Ariff harus ingat Mahathir membuat bising hanya untuk kepentingan dirinya dan kroni. Ini bukanlah kali pertama dia membuat kecoh semasa era Najib ini.
"Sebelum ini, Mahathir bising, bila diberi Proton maka dia pun diam. Kemudian, dia membuat bising lagi, apabila syarikat berkepentingan anaknya mendapat projek Petronas bernilai berbillion ringgit, dia senyap. Sampai bila kita mahu menjadi perkakas Mahathir?," tanyanya.
Menurutnya, Mahathir juga membangkitkan soal rasuah tetapi dialah bapa dan cikgu kepada semua pemimpin negara dari UMNO-BN yang ada hari ini.
"Dialah yang mengajar untuk menyalahgunakan kuasa dan mengamalkan amalan kronisme. Mahathir juga membangkit soalan legasi. Menyerang Najib supaya Najib tidak memberikan laluan untuk untuk menaikkan sepupunya Hishamuddin.
"Tetapi, lupakah Ariff bahawa satu masa dahulu,Mahathir pernah meroyan kerana mahukan anaknya diberikan tempat dan kuasa?," cetusnya.
Satu lagi persoalan, adakah jika kali ini pemimpin pembangkang sekali lagi bermain dalam percaturan Mahathir ini, menekan Najib sehingga Najib tersingkir, Ariff boleh menjamin bahawa PR akan menguasai Putrajaya?
"Najib harus memberi laluan kepada Anwar, Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan lain-lain untuk kembali meletakkan Malaysia kepada landasan yang terbaik," kata pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia itu.--MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment