KUALA LUMPUR 4 Feb: Sebanyak RM200,000 disyaki diseleweng Presiden
Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri berikutan siasatan
mendapati wang itu dipindah ke akaun syarikat KT Solution Enterprise
daripada Geran Bantuan Tabung Kebajikan dan Pentadbiran PBPM berjumlah
RM500,000.
Dedah
Pengerusi PBPM Kuala Lumpur, Nasiruddin Mohamed, Shafie yang juga Ahli
Jawatankuasa Umno Bahagian Jelebu turut dikatakan memalsukan tandatangan
ketika mengendalikan Mesyuarat Agung Negeri Kedah pada 15 Disember
2008.
Shafie juga menurut Nasiruddin didakwa terlibat menghantar dan
memalsukan laporan berhubung Ahli Majlis Tertinggi PBPM kepada
Pendaftaran Pertubuhan (ROS), malah mengatur kehadiran perwakilan haram
dari Pulau Pinang ke mesyuarat berkenaan.
Nasiruddin berkata, KT Solution beralamat di Klang kononnya bertindak
sebagai orang tengah untuk mendapatkan geran tersebut serta bayaran
komisen.
Beliau berkata, Shafie mengatur kehadiran perwakilan haram dari Pulau
Pinang ke Perhimpunan Agung PBPM pada 24 Januari 2009 untuk mengundi
dan memilihnya sebagai Presiden PBPM, walaupun PBPM Pulau Pinang
dibubarkan pada 25 Jun 2008.
“Banyak penyelewengan Shafie dibuat laporan polis termasuk oleh Haji
Ghaffur Md Yassin iaitu adik Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin tapi malangnya sehingga hari ini, tiada tindakan diambil
terhadap Shafie.
“Penyelewengan ini juga berpunca kegagalan ROS menguatkuasa
Undang-undang Tubuh Persatuan dan Akta Pertubuhan 1966 Undang-undang
Negara yang patut mengambil tindakan terhadap pimpinan persatuan yang
dipertikai jawatannya.
“Saya juga yakin ada ‘tangan ghaib’ yang melindungi penyeleweng ini
seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM),
Kementerian Kewangan, Penaung Kehormat, Tun Dr Mahathir dan Penasihat
Tabung Kebajikan, Datuk Seri Dr Rais Yatim,” ujar Nasiruddin yang juga
Naib Presiden PBPM Pusat pada sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala
Lumpur-Selangor, hari ini.
Turut hadir, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), che'GuBard dan 10 anggota PBPM.
Menurut Nasiruddin, Sijil Simpanan Premium Tabung Bangunan PBPM
berjumlah RM221,418.07 hilang dan dicairkan walhal sijil asal yang
dimiliki Ghaffur masih dalam simpanan PBPM.
“Bendahari PBPM, Mohd Hanafiah Abdul Manap dan Datuk Yusof Hamdain
Diego iaitu bapa mertua Speaker Dewan Rakyat pernah membuat laporan
tetapi tiada tindakan diambil.
“Ahli PBPM bersetuju sekiranya tiada tindakan diambil dalam masa terdekat, satu demontrasi besar akan diadakan,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=44376
No comments:
Post a Comment