Kenyataan Umum
5 Disember 2012
Keadilan Buat Aminulrasyid: SAMM Sanggah Keputusan Mahkamah!
Solidariti
Anak Muda Malaysia (SAMM) yang sentiasa komited mempertahankan nasib
Aminulrasyid Amzah yang ditembak bertubi-tubi dan dituduh penjenayah
setelah kematiannya, hari ini menyanggah keputusan Mahkamah Tinggi Shah
Alam apabila rayuan Koperal Jenain Subi diterima.
Sehubungan itu, Jenain dibebaskan daripada hukuman penjara lima
tahun yang dijatuhkan ke atasnya pada September 2011 berhubung kes
menembak mati Aminulrasyid. Seperti dijangka keputusan mahkamah
peringkat awal hanya bertujuan untuk sejukkan keadaan semata-mata.
Ini satu keputusan yang menghina rakyat negara ini, apakah dengan
keputusan ini membolehkan polis guna senjata api sewenang-wenangnya?
Dengan
keputusan ini juga, rakyat berdepan dengan risiko ditembak bukan hanya
dari perompak bank tetapi dari kelalaian polis yang bertugas.
Bagi SAMM, jangan sesekali kita lupa bahawa Jenain telah melepaskan
21 das tembakkan untuk memberhentikan sebuah kereta biasa, bukan kereta
kebal. Ini melangkaui keraguan munahsabah.
Sudahlah Aminulrashid
mati dibunuh, dituduh pula sebagai penjenayah apabila kononnya dijumpai
sebilah pedang atau parang dalam kenderaan milik kakak arwah yang
dipandunya. Walaupun didesak berkali-kali, pihak polis tidak menarik
balik tuduhan penjenayah dan tetap tidak akui bahawa parang tersebut
adalah 'planted evidence' sedangkan Aminulrasyid dikenali sebagai
seorang remaja yang baik oleh warga setempat.
Sungguhpun undang-undang membenarkan polis menggunakan segala
langkah yang perlu untuk melakukan tangkapan, termasuk tembak mati,
tetapi ia terikat dengan syarat - hanya kepada jenayah yang dilakukan
itu ialah jenayah yang boleh dihukum mati selain mempertahankan diri.
Jelas kedua-dua kriteria tersebut tidak tepat untuk membolehkan
Aminulrasyid dibunuh.
Dengan pelbagai tohmahan palsu, tanpa sebarang permaafan dari pihak
polis dan menteri KDN, dan terbaru keputusan mahkamah yang 'tidak
logik', di manakah keadilan buat arwah adik Aminulrasyid?
SAMM
tidak bermusuh dengan pihak polis malah SAMM bersama dengan anggota
polis yang berintegriti sepertimana dalam isu bekas IGP dedah siasatan
polis diganggu ahli politik. SAMM juga bingkas ke depan mendedahkan
bantuan kebajikan bekas polis yang di'rompak' 40% secara halal oleh
pihak ketiga.
Justeru itu SAMM menganggap dalam isu Aminulrasyid, pesalah tetap
pesalah. Kelalaian pihak polis wajar diakui dan si penembak harus
dihukum setimpal agar tiada lagi polis yang lain menembak di lapangan
awam tanpa pertimbangan yang sepatutnya.
Jenain dibiarkan bebas ketika keluarga arwah Aminulrasyid meratapi pemergian 'budak penjenayah' ciptaan polis, tanpa keadilan.
No comments:
Post a Comment