Wednesday, October 24, 2012

[Kenyataan SAMM] Hentikan Cubaan Menjadi Hero Dengan Cara Menghina dan Persenda Agama Lain


Kenyataan Umum
24 Oktober 2012

Hentikan Cubaan Menjadi Hero Dengan Cara Menghina dan Persenda Agama Lain

Awal minggu lalu, puluhan laporan polis telah dibuat oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dan rakan sekutu ke atas seorang pemuda Barisan Nasional dari Kedah yang mempersenda agama Islam melalui laman twitternya. Tan Keng Liang prejudis terhadap hukum menutup aurat dalam islam apabila mengatakan semua atlit sukan akan dipaksa mengenakan seluar panjang dan baju berlengan sekiranya Pakatan Rakyat memasuki Putrajaya, sedangkan Pemuda Gerakan Kedah itu belum tentu faham mengenai Islam.

Dalam minggu yang sama juga, ada dua lagi pemimpin Barisan Nasional yang juga bertindak menghina kesucian agama Islam dalam konteks yang berbeza. Heng Seai Kie mendakwa terdapat galakkan orang Islam merogol wanita bukan Islam kerana mendedahkan aurat, manakala Presiden MCA iaitu Chua Soi Lek pula membuat kenyataan mendakwa 1.2 juta pekerjaan akan hilang apabila hukum hudud dilaksanakan.

Mengapa dalam masa yang singkat ini hampir semua parti komponan utama Barisan Nasional berebut untuk menghina agama Islam? 

Dalam masa yang sama, Umno yang mengetuai BN hanya duduk diam membisu. Apakah diam itu bermakna Umno menyokong kenyataan yang menghina agama sendiri?

SAMM melihat perkara ini berkembang sebagai satu trend dan ia wajib dihentikan segera. Taktik menghidupkan kebencian antara agama cuba dijalankan oleh Barisan Nasional demi mendapatkan sokongan bukan melayu yang terkeliru. 

Taktiknya mudah - hinalah agama Islam dengan harapan akan bangkit seramai mungkin individu atau NGO Islam untuk menunjuk ekspresi kemarahan terhadapnya lantas aksi tersebut akan diekploitasi sebagai amaran kepada semua bangsa yang bukan muslim. Si penghina cuba diangkat sebagai hero yang kononnya cuba menyelamatkan perlembagaan dari di'islam'kan. 

Inilah yang berlaku, MCA dan Gerakan dalam BN cuba menjadi hero dalam isu yang berkaitan Islam sambil menguji kesabaran umat Islam seluruh negara. Umno yang mengepalai Barisan Nasional bukan sahaja gagal memahamkan rakan parti komponen malah dilihat menjadi 'perancang' kerana tidak respon secara konklusif bagi meredakan keadaan. Umno seolah-olah mahu ia terus berlaku.

Akhirnya akan ada tunjuk perasaan terhadap MCA dan akan ada gambar pemimpin Gerakan yang dibakar oleh segelintir yang menunjukkan ekspresi marah. Inilah yang mereka mahu, kalau boleh biar sehingga rumah dibaling cat atau cuba dibakar. Boleh jadi juga tiba-tiba Chua Soi Lek mendapat ugutan bunuh apabila memperolehi surat yang turut diisi peluru hidup, ini semua sudah dibaca dan bertujuan untuk mencipta hero baru kononnya membela nasib orang bukan muslim.

SAMM tidak menghalang siapa-siapa yang ingin menjadi hero kepada mana-mana komuniti, namun SAMM melihat cubaan menjadi hero dengan menghina agama lain itu adalah keterlaluan.

Bayangkan sekiranya hinaan dan persendaan ini datangnya bukan dari BN, semua tahu apa jawabnya. Namun jika hinaan dan persendaan ini dari Barisan Nasional, walau seribu laporan polis dibuat, walau sepuluh ribu turun berdemo, pasti tidak akan memberi apa-apa kesan, kerana memang ini yang mereka mahukan.

Ternyata dalam kerakusan parti komponan BN berebut menjadi hero bagi mengembalikan sokongan, Umno tidak pula ghairah untuk menjadi hero bagi melindungi kesucian Islam dari dihina dan dipersenda. Lebih malang apabila mengetahui penghinaan tersebut turut diraikan oleh presiden Umno dalam majlis yang sama. 

Bagi SAMM, apabila negara sengaja membiarkan ketegangan antara agama berlaku tanpa tindakkan yang tegas walaupun laporan polis telah dibuat seluruh negara, ini bermakna negara sedang mengalami satu kegilaan, dan kegilaan ini hanya boleh ditamatkan dengan menolak Umno dan Barisan Nasional dalam pilihanraya akan datang. Negara akan lebih selamat tanpa BN.

Sekian,
Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda SAMM Kebangsaan

Bn panik mainkan politik perkauman kerana sokongan bukan Melayu khususnya cina beralih secara besar - besaran. Lihat sahaja gambar dari Mesyuarat Nasional Parti Gerakan yang kosong

lihat antara kejelasan yang dimunculkan oleh DAP dan kekeliruan yang
diwujudkan oleh MCA dalam isu agama ini

Najib sendiri terpaksa bermain politik bercakap berdasarkan khalayak


No comments:

Post a Comment