Friday, September 28, 2012

TOLAK ISU – ISU BODOH HANYA UNTUK ALIH PERHATIAN RAKYAT DARI MASALAH SEBENAR

Kenyataan Terbuka
27 September 2012



Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bersama organisasi anak muda di Pulau Pinang dengan ini mengecam tindakan permainan media ‘dangkal’ regim penguasa dalam usaha mengalih perhatian rakyat dalam isu sebenar.
Dari isu bendera ‘Sang Saka Malaya’ yang dikibar pada malam merdeka yang diberikan perasa propaganda melampau dengan fitnah ia menjadi agenda PR untuk menukar bendera negara. Isu ini dipatah dengan mudah dengan hujah jika benar PR mahu menukar bendera mengapa tidak bendera gantian tersebut diarak di negeri bawah pentadbiran PR dahulu, tetapi ini tidak berlaku kerana ia hanya fitnah regim Bn semata.

Terbaru ialah isu di mana Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa pemimpin PR kononya menggunakan jet peribadi untuk hadir ke acara parti di Labuan. Isu ini menjadi gempar hampir lebih seminggu dimainkan di media perdana milik regim Bn.

Persoalanya mudah ; berapa wang negara (baca RM rakyat) hilang kerana pemimpin PR ini menaiki jet peribadi tersebut ? Telah juga diperjelaskan oleh Anwar Ibrahim sendiri jet tersebut di uruskan oleh rakan beliau yang kebetulan merupakan ahli perniagaan dari Malaysia Timur. Sebenarnya ini yang menakutkan Bn apabila ada orang korporat yang mula cenderung menyokong PR. Maka orang korporat ini harus dicari sehingga ke lubang cacing untuk dihukum.

Persoalan berikutnya ialah Anwar hanya seorang Ketua Pembangkang dalam negara Malaysia dan seperti mana yang diketahui hampir tidak punya peranan dalam pentadbiran negara kerana dinafikan oleh regim Bn. Maka apa yang tidak kena ?

Jika melakukan penerbangan dengan jet peribadi merupakan kesalahan, maka seharusnya lebih salah apabila dilakukan oleh Menteri Kabinet dan sudah tentu tajaan itu lebih mampu mengundang perbagai persepsi.

Rekod penggunaan jet yang sama yang disediakan oleh T Jets Sdn Bhd sendiri mampu memberikan penjelasan. Kita cabar media regim mendedahkan pimpinan Umno yang pernah menggunakan jet tersebut dan siapa pembiaya mereka. Antaranya pada 23 September 2011, Dato Seri Jamil Khir Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga antara yang tersenarai pernah menaiki jet tersebut.

Manakala pada 15 November 2011 lepas DatukSeri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden Umno sendiri telah mengakui menaiki jet peribadi yang ‘ditaja’ sahabatnya untuk ke Arab Saudi. Mengapa ini tidak menarik perhatian media regim jika benar mahukan ketelusan ? Siapa yang menaja menteri tersebut dalam penerbangan jet peribadi dan apa kepentingan mereka ?

Itu belum lagi bagaimana wang negara terbazir kerana atas program parti Bn helikopter, jet dan banyak harta negara digunakan.

Persoalanya kini jika disebut kemewahan bagaimana pula media terus diam apabila muncul satu demi satu pemborosan Datin Seri Paduka Rosmah Mansor. Cincin RM 24.45 juta yang telah dibuat laporan SPRM masih belum terjawab, terbaru muncul pula gambar Rosmah dalam media internet yang dikatakan mengenakan jam berjenama Frank Muller yang dikatakan berharga RM 350,000 – RM 500,000.

Itu belum lagi berbilion wang negara yang hilang kerana kelemahan, pembaziran dan rasuah. Bersama kenyataan media ini disenarai 75 kejadian kehilangan berbilion wang rakyat yang sehingga kini tidak terjawab. (klik sini)

Kami mendesak untuk isu bodoh seperti isu jet ini dihentikan segera. Ia cuma usaha sebuah regim yang hampir lemas dengan kesedaran rakyat. Ia cuma satu usaha mengalihkan isu sebenar dari perhatian rakyat.

Isu sebenar sekarang ialah kepayahan hidup rakyat, negara hilang daya saing sehingga menanggung hutang paling tinggi dalam sejarah negara, kenaikan harga barang dan rasuah serta penyelewengan yang tidak terkawal. Kini negara ditahap kritikal, Malaysia memerlukan peranan semua dalam usaha menyelamatkan negara ini. Kita memerlukan politik matang, seharusnya inilah masa parti politik yang bakal bertanding dalam pilihanraya bersaing dalam isu polisi dan tawaran kepada rakyat. 

Inilah masanya kita melakar sejarah baru politik matang dalam negara di mana ketua kepada parti penguasa (Bn) Datuk Seri Najib Tun Razak harus tampil merani berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim Ketua gabungan pembangkang (PR). Yakinlah bukan kepetahan yang bakal menjadi ukuran tetapi rakyat ternanti untuk menilai kejujuran dalam membuat tawaran bagaimana negara harus dipacu ke depan menjadi sandaran. Selebihnya biar rakyat membuat keputusan.

Kami anak muda tidak akan tertipu dan teralih tumpuan.

Sekian.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) P.Pinang

Angkatan Muda Pulau Pinang (AMK PP)

DAPSY PP

Pemuda PAS PP

Unit Ehsan P.Pinang

Jingga 13

Malaysian Indian Voice (MIV) PP

Persatuan Kebajikan India Bayan Baru

Komuniti Pulau Pinang

**kenyataan media dibacakan oleh sdr. Azrizal Tahir(Timb.Ketua AMK Malaysia) pada 27 September,2.30 ptg di Komtar Walk, P.Pinang

No comments:

Post a Comment