KUALA LUMPUR, 1 Sept: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Johor membidas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini yang mendakwa pengerusinya Badrul Hisham Shaharin atau CheguBard sebagai penakut kerana tidak melaporkan isu pembelian cincin berharga RM24.45 juta oleh Rosmah Mansor kepada SPRM.
Penyelaras SAMM Johor, Ahmad Anwar Asyraf Ismail berkata, akhbar Umno itu cuba untuk mengelirukan orang-orang Melayu di kampung-kampung yang tidak mempunyai akses internet apabila sengaja menerbitkan kenyataan dari Anuar Shaari dengan membayangkan
seolah-olah CheguBard seorang penakut yang tidak berani untuk melaporkan isu cincin ini kepada SPRM.
Sedangkan katanya CheguBard melalui Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah pun membuat satu laporan SPRM pada 13 Julai 2011 lagi tetapi disenyapkan media arus perdana.
"SAMM Negeri Johor sangat kesal dengan laporan Utusan Malaysia yang
seolah-olah seperti "pencuri di siang hari," katanya.
Sebagai sebuah akhbar yang sepatutnya memainkan tanggungjawab sosial membentuk fikrah masyarakat, sikap Utusan Malaysia yang tanpa segan silu terus menyebarkan berita yang tidak benar itu wajar dikecam.
Beliau yakin tindakan itu semata-mata untuk menutup pekung di dada pemerintah negara apatah lagi dalam keadaan negara sedang menyambut hari raya Aidilfitri dan ulangtahun kemerdekaan.
"Adakah Utusan Malaysia hari ini merupakan pengkagum Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Hitler yang terkenal dengan prinsip “The Big Lie” iaitu satu prinsip yang menyatakan bahawa sesuatu fitnah, jika diulang berkali-kali dengan lantang, akan
dipercayai rakyat jelata.
"Sesuatu yang amat dahsyat, disebalik 54 tahun kemerdekaan tanahair dan kredibilitinya yang ditubuhkan pada tahun 1939 dengan hasrat asal untuk membangkitkan pendapat penduduk Tanah Melayu terhadappenjajah British, namun kini Utusan Malaysia seolah-olah hilang jatidiri dalam membentuk fikrah rakyat khususnya masyarakat
Melayu," katanya lagi.
CheguBard sebelum ini ada mendedahkan maklumat yang diterima SAMM pada 16 April lalu, berlian yang dikenali sebagai “Natural Fancy Gray Cushion Cut Diamond” diterbangkan melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Beliau yang juga Ketua PKR Rembau itu turut mendesak supaya Rosmah memberi penjelasan sumber wang yang dibelanjakannya untuk membeli cincin tersebut.
Bagaimanapun, Rosmah pada Julai lalu menyifatkan dakwaan yang mengaitkannya sebagai satu fitnah dan beliau tiada masa mahu melayan perkara itu.
CheguBard dalam blognya sebelum ini juga menegaskan, beliau tidak menuduh sesiapa dalam dakwaannya itu, tetapi kewujudan borang kemasukan cincin itu dengan jelas tertera nama “orang yang menyamar wanita pertama negara.”
Justeru kata beliau, Rosmah perlu membuat penjelasan. (petikan harakahdaily)
No comments:
Post a Comment