Saturday, July 30, 2011

Siapa menipu Polis atau Md Sabu ?


Sebagai rakyat yang adil dalam menilai, apakah wajar jika kita hanya mendengar penjelasan dari sebelah pihak sahaja? Walau siapa pun kita, walau pihak mana pun yang kita sokong, adalah menjadi satu kewajaran untuk kita bertindak adil dengan cara mendengar dari kedua-dua belah pihak yang maklumat penyampaiannya bercanggah. Sikap seperti ini melambangkan tahap intelektual seseorang dalam menafsir berita. Isu pokok hari ini ialah, siapa yang menipu di antara pihak polis dan Mat Sabu.

Mengikut perkembangan sebelum ini, pihak polis akhirnya mengeluarkan kenyataan balas disertakan dengan video CCTV yang menunjukkan kononnya pihak polis tidak melanggar Timbalan Presiden PAS dalam aksi kejar-mengejar sejurus sebelum BERSIH 2.0 berlangsung. Walaubagaimanapun, apa yang menjadi persoalan sebelum ini ialah mengapa pihak polis mengambil masa yang begitu lama iaitu setelah dua minggu B-709 berlalu, untuk mengeluarkan kenyataan balas yang disokong klip CCTV?

Namun begitu, satu persoalan lebih besar telah terserlah, yang seraya itu menenggelamkan isu mengapa klip CCTV itu lewat diketengahkan oleh pihak polis.

Pihak polis telah menayangkan klip CCTV tersebut untuk dipetik dan disebarkan memenuhi ruang depan akhbar perdana pada hari Sabtu yang lalu selain diberi laluan eksklusif dalam siaran Buletin Utama untuk tatapan seluruh rakyat Malaysia. Dalam sebuah majlis penerangan kepada wartawan, pihak polis telah membuat tuduhan yang berat ke atas seorang pemimpin tertinggi parti politik yang memperjuangkan Islam apabila mengatakan Mat Sabu menipu kononnya beliau dilanggar oleh Pajero (LandRover).

Apa yang dilakukan oleh pihak polis seolah-oleh kes ini telah disiasat dengan betul dan terperinci bagaikan tiada lagi yang boleh disangkal dalam pendedahan Sabtu lalu. Selain memberikan gambaran yang buruk terhadap Mat Sabu kerana kononnya beliau telah menipu dan berlakon di atas kerusi roda, tuduhan pihak polis juga telah menyebabkan parti Islam PAS menerima tempias yang besar dan dikaitkan sebagai bersubahat. Kerana Mat Sabu adalah Timbalan Presiden pastinya PAS secara keseluruhan terkesan dengan tuduhan ini.

Tetapi, bagaimana agaknya bahana yang bakal menimpa institusi kepolisian negara apabila rakyat yang telah terdedah dengan berita Mat Sabu menipu mendapat tahu bahawa sebenarnya Mat Sabu tidak menipu dalam perkara ini ? Bagaimana natijahnya pihak polis apabila rakyat mengetahui bahawa sebenarnya pihak polis telah menipu demi untuk mengelakkan daripada dituduh bertindak kejam terhadap seorang pemimpin PAS ?

Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang benar (dan BERSIH), kebenaran terserlah jua akhirnya. Lihatlah salinan laporan polis Mat Sabu di Balai Polis Travers , kes pihak polis melanggar Mat Sabu. Dalam laporan polis yang didaftar pada tarikh 14 Julai 2011 iaitu 5 hari selepas BERSIH 2.0 dan seminggu sebelum pihak polis mengeluarkan kenyataan balas, menunjukkan dengan jelas bahawa Mat Sabu melaporkan beliau dilanggar oleh kereta polis jenis Proton Waja, bukan dilanggar oleh Pajero (LandRover) sepertimana yang didakwa pihak polis.

Berikut adalah petikan laporan polis oleh Mat Sabu;

Sebaik sahaja tiba di sekitar kawasan Jalan Bangsar, saya dan pemandu motosikal yang saya naiki telah dikepong oleh dua buah kereta polis (WAJA) dan sebuah pajero polis berwarna gelap. Kereta Waja polis tersebut telah melanggar motosikal yang saya naiki dan motosikal yang saya naiki telah terjatuh. Kaki kanan saya juga telah dilanggar oleh bahagian depan Waja polis tersebut mengakibatkan saya tidak berupaya untuk berjalan dan terpaksa dipapah oleh dua orang untuk dibawa masuk ke dalam sebuah Pajero polis.

Dalam kenyataan timbal balas, pihak polis telah mendakwa bahawa aduan Mat Sabu telah menyebut beliau dilanggar oleh kenderaan polis Pajero (Land Rover). Buktinya di sinihttp://www.youtube.com/watch?v=MgwAIvmoiwI , anda lihat klip pada minit 3.28, pihak polis menyebut;

"Ini dikatakan dia dilanggar oleh kereta polis Land Rover, dia kata"

Juga pihak polis cuba menerangkan kepada para wartawan bahawa Mat Sabu tidak dilanggar oleh Land Rover, kononnya kebenaran itu berpihak kepada polis sedangkan dalam laporan polis Mat Sabu, beliau tidak menyebut dilanggar oleh Pajero mahupun Land Rover.

Satu lagi situasi ialah pada minit 5.38, pegawai polis yang menerangkan klip CCTV tersebut sekali lagi menyebut;

"Sebab ini kita ambik supaya nak tunjuk impact tadi yang sebenarnya tak langgar dengan pajero hitam tu"

Persoalannya, apakah polis tidak baca 'laporan polis' yang dilapor oleh Mat Sabu pada tanggal 14 Julai 2011 yang menyebut perlanggaran itu adalah dengan kenderaan polis Waja, bukan dengan Pajero ?

Laporan polis Mat Sabu menjadi bukti kukuh betapa pihak polis bukan sahaja telah menyalahgunakan kuasa yang mereka ada, tetapi telah menipu bagi menyelamatkan keadaan. Dengan modus operandi penipuan seperti ini oleh pihak polis, apakah tidak keterlaluan jika dikatakan memang terdapat keraguan-keraguan yang melibatkan pihak polis sebelum ini seperti kejadian kematian Kugan dan terkorbannya adik Aminul Rashid, masih menjadi tanda tanya yang bermain di kotak fikiran rakyat.

Kepercayaan rakyat terhadap pihak polis pasti musnah dengan 'damage' yang besar kali ini apabila kebenaran akhirnya terserlah. Namun terlebih dahulu, rakyat terbanyak harus didedahkan dengan maklumat sebenar di sebalik tuduhan jahat terhadap Mat Sabu. Semua rakyat harus melihat kandungan laporan polis Mat Sabu bagi membersihkan nama beliau dari kebejatan yang dirancang ini. Mat Sabu menjadi insan yang paling teraniaya apabila kehilangan upaya berjalan untuk satu tempoh yang panjang dan dalam masa yang sama telah dituduh sebagai penipu oleh pihak polis (pihak yang sebenarnya membuat kenyataan palsu).

Bagaimanakah penipuan pihak polis ini dapat didedahkan kepada umum sekiranya tidak ada kerjasama dari media arus perdana, tidak seperti ketika mereka (media perdana) meletakkan penipuan pihak polis di kolum berita utama ?

Kita lah yang bertanggungjawab membersihkan nama Mat Sabu jika kita benar yakin pihak polis telah menipu, sememangnya kita mengetahui situasi sebenar melalui terdedahnya salinan laporan Mat Sabu kepada umum.

Menulis artikel tentang kebenaran adalah tanggungjawab saya sebagai aktivis blogger barisan hadapan. Tetapi kali ini untuk kali pertama saya amanahkan tulisan ini dipertanggungjawabkan kepada setiap pembaca supaya menjadi agen penyebar dan disebarkan artikel ini kepada semua kenalan melalui laman sosial seperti Facebook, Blog, eMail dan Twitter.

Setiap dari kita yang mengetahui kebenaran ini harus menjalankan peranan masing-masing kerana siapa lagi yang boleh diharapkan jika bukan dari rakyat kepada rakyat. Apa yang kita hadapi untuk membentang kebenaran bukan calang-calang tetapi seluruh institusi kepolisian. Kita pastikan semua rakyat mendapat maklumat bahawa polis juga tidak semuanya betul sepertimana digambarkan berpuluh tahun lamanya.

Tiba-tiba terimbas kembali motto pasukan polis suatu ketika dahulu iaitu Mesra, Cepat dan Betul, sekarang baru kita faham mengapa motto telah ditukar dan tidak lagi digunakan.

wallahu'alam bissawab

tulisan : EDYES @ edyesdotcom

1 comment:

  1. Kahkahkah..memang lawak polis malaysia ni..Alkisah..ni dinama kan raja keledek..rakyat pun depa nak keledek..

    ReplyDelete