Thursday, July 07, 2011

Sekatan Polis : Usaha BN Lumpuhkan Bersih 2.0



SHAH ALAM 7 JULAI : Kesesakan teruk akibat sekatan jalan raya yang dilakukan oleh polis awal pagi semalam hanyalah usaha untuk melumpuhkan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) yang dijadualkan Sabtu ini.

Malah, sekatan jalan raya itu jelas menunjukkan wajah sebenar rejim pemerintah Umno-Barisan Nasional(BN) yang hanya memperkudakan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) demi kepentingan politik semata.

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin berkata alasan polis membuat sekatan terbabit bagi tujuan menghalang kegiatan menyeludup senjata api ke ibu negara langsung tidak masuk akal, sebaliknya menggambarkan bahawa Umno-BN takut akan kebangkitan rakyat pada perhimpunan Bersih 2.0 Sabtu ini.

"Negara ini telah menjadi negara polis dimana polis bertindak secara gangster dalam beberapa perkembangan terbaru"

"Perkembangan itu dilihat sebagai tindakan polis secara melampau dan ekstrem menjadi kuda tunggangan rejim Umno-BN, sekali gus telah menghilangkan sedikit demi sedikit kepercayaan orang ramai kepada polis." katanya kepada Tvselangor.

Antara jalan-jalan yang terjejas adalah Lebuhraya Persekutuan berhampiran Subang Parade, Subang Jaya berhampiran Kolej Segi College, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan lebuh raya KL-Seremban di Seri Kembangan.

Kebanyakan pengguna jalanraya berang dengan tindakan polis itu sehingga menyebabkan ramai yang terkandas dalam perjalanan dan lewat ke destinasi masing-masing.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah dilaporkan berkata tindakan sekatan jalanraya awal pagi semalam di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya sehingga menyebabkan kesesakan teruk berikutan rampasan beberapa senjata termasuk 44 molotov cocktails, 23 parang dan 48 baju T dengan logo Bersih, di tiga lokasi.

Bom petrol dan mercun yang dijumpai dikatakan disembunyikan di pasu bunga manakala baju T Bersih pula disorokkan di sekitar pusat membeli-belah.

Di Kuala Lumpur, barangan itu kononnya dijumpai di sekitar Sogo, Wisma Bumi Raya dan Kompleks Pertama.

Manakala Bernama melaporkan serbuan polis menemui lima buah beg pakaian yang antaranya mengandungi 20 bilah parang dan 36 botol air mineral berisi minyak petrol lengkap bersumbu di sebuah tokong.

Akhbar kawalan Umno-BN, Utusan Malaysia meletakkan berita itu di muka hadapannya semalam.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dilakukan pihak polis.

Mengulas lanjut insiden terbabit, Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata tindakan polis menuduh aktivis Bersih memilik beberapa bahan api dan senjata hanyalah berunsurkan politik.

Menurutnya, tindakan polis itu bukan sahaja tidak profesional tetapi mengamalkan dwistandard apabila masih tidak mengambil tindakan ke atas Pemuda Umno dan Perkasa yang melakukan provokasi.

Chegubard yang juga Ketua Cabang PKR Rembau berkata, insiden itu secara tidak langsung meningkatkan lagi kebencian rakyat kepada pihak polis.

Katanya lagi, penemuan bahan api dan senjata itu sengaja ditimbulkan bagi mewujudkan rasa tidak selamat rakyat di negara ini.

Malah, beliau mempersoalkan bagaimana polis mendapati bahawa senjata-senjata tersebut dimiliki oleh aktivis Bersih 2.0?

"Sekirannya saya adalah aktivis BERSIH, adakah saya akan buat kerja gila dengan membuat senjata dan kemudian letak sekali T-shirt BERSIH? Ini kerja orang gila, kalau tahun 60-an bolehlah rakyat terima. Ini zaman maklumat dihujung jari, perkembangan minda rakyat berkembang tetapi taktik jahat rejim dan polis tidak tetap berubah," ujarnya.

"Antara elemen yang mencurigakan ialah, botol yang digunakan untuk membuat molotov cocktails itu antaranya ialah botol plastik.Orang gila pun tidak membuat monotov cocktails dengan botol plastik," katanya.

Tambahnya lagi, cubaan polis mengaitkan Bersih 2.0 dengan segala kekacauan yang berlaku di negara ini disifatkan sebagai cerita dongeng yang sengaja direkayasa bagi mencetuskan perasaan takut dikalangan rakyat terhadap perhimpunan BERSIH 2.0 yang akan berlangsung Sabtu ini.

"Isunya bukan perhimpunan, isunya jelas mereka takut dengan gerakan rakyat.Rakyat jadi cerdik dan sedar bahawa pilihanraya di Malaysia ini ada kepincangannya, jadi mereka tetap tidak akan berhenti melakukan pelbagai cara untuk menghalang," tambahnya.

No comments:

Post a Comment