Sunday, April 10, 2011

Surat terbuka kepada PM isu Masjid Kampung Baru

Gambar Perdana Menteri dan adiknya
sedang bergurau dengan Menteri Wilayah

10 April 2011

Kepada

Datuk Seri Najib Tun Razak,
Perdana Menteri Malaysia,

YAB Datuk Seri ;

SURAT TERBUKA : ISU NAIK TARAF MASJID KAMPUNG BARU

Adalah dengan segala hormatnya perkara diatas dirujuk.

5 Febuari lalu, YAB Datuk Seri selaku Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai pengubahsuaian Masjid Kampung Baru di Kuala Lumpur. Diumumkan peruntukan tersebut disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad.

Kami memerlukan kepastian terhadap maklumat yang kami perolehi ; benarkah cadangan pengubahsuaian Masjid Jamek Kampung Baru itu telah diberikan kepada NRY Architect Sdn Bhd, yang mana pemiliknya adalah adik YAB Datuk Seri sendiri, Datuk Nazim Razak ?

Jika benar, memandangkan adik YAB Datuk Seri juga adalah Timbalan Pengerusi Masjid, maka wajar diperjelaskan sama ada terdapat percanggahan kepentingan di mana sebagai sebagai pemilik firma arkitek NRY Architect Sdn Bhd ? YAB Datuk Seri sendiri harus memperjelaskan bahawa perlantikannya sama ada atas kapasitinya sebagai Timbalan Pengerusi Masjid ataupun sebagai adik Perdana Menteri sendiri yang jelas dua – dua ada pertembungan kepentingan.

Umum sememang mengetahui selain Nazim, tiga lagi saudara YAB Datuk Seri terbabit aktif dalam perniagaan berprofil tinggi, iaitu Datuk Nazir (CIMB), Johari Razak dan Mohamed Nizam.

Tujuan kami menulis surat ini untuk memohon pihak YAB Datuk Seri tampil dan menjelaskan pertanyaan yang timbul dikalangan rakyat.

Jika tidak ia akan kekal misteri sehingga menimbulkan perbagai persepsi yang mungkin salah seperti mana Nazim yang pernah disebut namanya oleh penyiasat persendirian, P.Balasubramaniam, dalam akaun bersumpahnya, pada 3 Julai 208, yang cuba mengaitkan nama YAB Datuk Seri yang pada ketika itu selaku, Timbalan Perdana Menteri dengan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu, yang dibunuh secara kejam. Sehari selepas membuat pendedahan itu, Bala secara tergesa-gesa menarik balik akuan sumpah awalnya dan menghilang keluar negara. Bala, bekas seorang anggota polis Cawangan Khas.

Sejurus itu, banyak pihak tampil menggesa SPRM mahupun PDRM menyiasat dakwaan P.Balasubramaniam berhubung pembabitan adik Perdana Menteri itu dalam isu pertukaran akuan sumpahnya. Namun oleh kerana seolah didiamkan persoalan itu maka rakyat membuat persepsi sendiri seolah memang Perdana Menteri sendiri panik dan arahkan adiknya bertemu P.Bala supanya menukar akuan sumpah.

Akhir sekali kami amat mengharapkan respon YAB Datuk Seri. Jika kami dianggap kumpulan kecil dan cabuk tidak taraf untuk menerima balasan surat rasmi maka cukup sekadar YAB Datuk Seri memberikan jawapan kepada media umum berkenaan persoalan yang ditimbulkan.

Sekian dan terima kasih.

che'GuBard
Pengerusi,
Solidariti Anak Muda Malaysia

1 comment:

  1. Anonymous2:38 PM

    Rekabentuk Masjid Kg Baru percuma, kata firma adik PM


    Sebuah firma arkitek milik adik perdana menteri, Datuk Nazim Razak hari ini tampil dengan penjelasan bahawa perkhidmatannya menyediakan rekabentuk untuk projek naik taraf Masjid Kampung Baru disediakan secara sukarela.

    Penjelasan itu timbul susulan tuntutan sebuah NGO anak muda yang menuntut perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menerangkan isu berhubung pembabitan firma NRY Architects dalam projek naik taraf dengan nilai RM20 juta itu.

    NONESeorang arkitek di firma berkenaan, Muhd Syafeeq Subhi berkata NRY Architects dilantik oleh jawatankuasa masjid berkenaan untuk menyediakan perkhidmatan rekabentuk bagi pembangunan semula masjid tersebut.

    "Tiada sebarang konflik (kepentingan) kerana kami menyediakan perkhidmatan sukarela seperti yang diumumkan perdana menteri dan juga pengerusi masjid ketika majlis penyerahan cek," kata Muhd Syafeeq dalam satu penjelasan melalui e-mel kepada Malaysiakini.

    Dalam majlis yang berlangsung pada awal Februari itu, perdana menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membiayai projek naik taraf masjid berkenaan.

    Peruntukan bagi masjid itu akan disalurkan melalui syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad, kata perdana menteri.

    Mengulas lanjut, Muhd Syafeeq turut menjelaskan bahawa NRY Associates juga sebelum ini telah menyediakan pelbagai perkhidmatan untuk pembangunan semula masjid berkenaan sejak lapan tahun lalu.

    NONEPerkhidmatan itu termasuk kerja-kerja yang disediakan bagi pembinaan pintu gerbang dan astaka di pintu masuk masjid berkenaan, katanya lagi.

    "Baru-baru ini kami menyediakan perkhidmatan untuk menara (masjid). Semua perkhidmatan ini adalah (secara) sukarela dan dibuat (untuk) amal jariah, kami tidak mengenakan bayaran untuk perkhidmatan (berkenaan).

    "Sehubungan itu, berdasarkan pengalaman kami, jawatankuasa (masjid) bekerjasama dengan kami sekali lagi dan kami meneruskan untuk menyediakan perkhidmatan jariah kepada masjid itu," kata Muhd Syafeeq lagi.

    Sebelum ini, NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengutus surat kepada Najib bagi meminta perdana menteri itu membuat penjelasan mengenai kaitan firma NRY Architects dengan projek naik taraf tersebut.

    Salinan surat berkenaan, bertarikh 10 April, dimuatkan di laman blog pengerusi SAMM, Badrul Hisham Shaharin.

    ReplyDelete