Sunday, February 07, 2010

OKU tagih janji pilihan raya kecil

PORT DICKSON – Orang kurang upaya (OKU), Mohd Yusof Saad, 53, mendakwa, kecewa janji pelbagai pihak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) masih belum tertunai.

Yusof berkata, kencing manis dialaminya menyebabkan kaki kirinya dipotong, sekali gus membantutkan pergerakannya.

Kini, sudah empat bulan berlalu, kehidupannya masih seperti biasa, walaupun ketika pilihan raya lalu, ramai datang berjanji untuk menghulurkan bantuan bagi mengurangkan bebannya, namun mendakwa, semuanya sekadar tinggal janji sahaja.

“Waktu itu, pelbagai bantuan ditawarkan kepada saya setelah mereka melihat penderitaan saya alami. Ketika itu, saya rasa bertuah dan merasakan nasib saya akan bertambah baik daripada sekarang.

“Tetapi, kini sudah hampir empat bulan, semua tawaran bantuan tidak kunjung tiba dan kehidupan kekal berliku seperti dahulu,” katanya.

Selain itu, Mohd Yusof berkata, sekalipun menyedari pelbagai bantuan disediakan kerajaan, namun dia masih tidak tahu cara untuk memperolehi bantuan terbabit.

Menurutnya, dia mendengar kewujudan bantuan dan fungsi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi tidak tahu cara membuat permohonan.

“Saya memang tidak tahu bagaimana untuk memohon bantuan daripada pusat kebajikan. Bagaimanapun, pada PRK Bagan Pinang lalu, baru saya tahu bagaimana cara hendak membuat permohonan bantuan.

“Itu pun selepas ramai menteri turun padang,” katanya ketika ditemui di Bandar Sunggala, di sini.

Kehidupan Mohd Yusof sejak dua tahun lalu terpaksa bergantung sepenuhnya kepada kerusi roda berikutan kaki kirinya terpaksa dipotong daripada lutut ke bawah.

Menurutnya, semua akibat alahan setelah makan durian dan se-luruh badannya membengkak dan bahagian kaki kirinya mengalami masalah serius dan terpaksa dipotong.

Sejak itu, kehidupannya bergantung kepada isterinya, Fatimah Syam Ayob, 50, untuk meneruskan kehidupan.

Wanita tabah itu baru dikahwini empat tahun lalu menganggap semua itu sebagai dugaan paling besar dalam hidupnya dan tidak pernah sesekali merungut.

“Ini adalah tanggungjawab perlu dipikul dan amanah Allah yang diberikan kepada saya dan saya yakin pasti perkara lebih baik akan menanti suatu hari nanti,” katanya.

Fatimah berkata, dia perlu menyewa kereta setiap kali suaminya menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu di sebuah hospital swasta dekat Seremban.

Menurutnya, kosnya tinggi dan pernah satu ketika dia terpaksa berhutang.

“Selain kos sewa kereta, sudah pastinya rawatan suami mencecah ribuan ringgit. Beberapa pembedahan dilakukan semuanya memakan kos ribuan ringgit. Yang pasti semua kos itu adalah hasil usaha berniaga barang pantai di kedai Batu 4, di sini.

“Kami ada menerima bantuan daripada Baitulmal RM1,000 untuk rawatan hemodialisis, tetapi beribu ringgit lagi terpaksa ditanggung sendiri untuk rawatan pembedahan dan sebagainya.

“Kerusi roda digunakan suami juga adalah kerusi roda arwah ayahnya. Walaupun sudah mengalami beberapa kerosakan kecil, tetapi masih boleh digunakan kerana kami tidak berkemampuan membeli kerusi roda baru,” katanya.

Ini kerana, suaminya turut menghidap penyakit buah pinggang tahap kritikal.

Keperluan juga perlu dipenuhi seperti lampin pakai buang, makanan dan sabun khas untuk rawatan penyakit ku:litnya.

Untuk menambah pendapatan dengan menambah waktu bekerja iaitu berniaga lebih masa, Fatimah mengakui tetap tidak boleh memberikan pulangan baik.

Menurutnya. sambutan terhadap barang diniaga juga bermusim, apabila cuti umum sahaja pembeli akan ramai dan jika hari biasa sukar mendapat pembeli.

“Kebiasaannya pada hari cuti kedai akan dibuka 15 jam sehari bermula jam 8 pagi berbeza dengan hari biasa kedai hanya dibuka jam 10 pagi.

“Untuk ke kedai, saya terpaksa menyewa kereta untuk membawa suami. Tidak mungkin saya meninggalkan suami bersendirian di rumah kerana dia tidak mampu mengurus dirinya sendiri. Saya tidak pandai memandu ditambah kami tidak mempunyai kereta,” katanya.

Fatimah mengakui suaminya adalah pemegang kad OKU dibekalkan JKM, sejak dua tahun lalu, tidak tahu mengapa tidak memperoleh bantuan selayaknya sehingga kini.

“Sekarang ini, saya berharap permohonan dilakukan sejak empat bulan lalu akan segera disalurkan untuk meringankan kesusahan ini kerana selain membiayai kos rawatan suami, kedai mereka berniaga juga perlu dibayar sewa,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JKM Port Dickson ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan bahawa permohonan dilakukan Mohd Yusuf telah diluluskan dan selewat-lewatnya bantuan akan disalurkan hujung bulan ini.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6766497.asp

No comments:

Post a Comment