Thursday, October 19, 2006

AMNS sampaikan bantuan kepada 16 fakir di Teluk Kemang

Oleh Wan Nordin Wan Yaacob
KUALA LUMPUR, 19 Okt (Hrkh) - Sinar 1 Syawal semakin hampir, dan ketika inilah segala persiapan terakhir bagi menyambut hari kemenangan umat Islam yang berpuasa dipergiatkan.
Ketika ini juga, yang kaya dan miskin saling bantu membantu, yang fakir menerima sementara yang kaya memberi, zakat dihulur derma disalur semata-mata untuk melihat hari raya Aidilfitri dirai bersama.
Pada 15 Oktober lalu, Angkatan Muda KeADILan Negeri Sembilan (AMKNS) telah menyampaikan bantuan kepada 16 keluarga fakir di Parlimen Teluk Kemang, Port Dickson (PD) dalam satu program pelancaran 'Jejak Fakir'.
Program tersebut dijalankan AMKNS sebagai sebahagian besar program menyambut Ramadan, kata pengarah program, Badrul Hisham Shaharin ketika mengadakan sidang media selepas program di Port Dickson. Program tersebut dimulakan dengan konvoi yang disertai 11 kenderaan termasuk sebuah lori mengangkut barang-barang bantuan yang hendak disampaikan kepada fakir miskin, kata Badrul Hisham. Bantuan telah disampaikan Pengerusi Perhubungan KeADILan Negeri Sembilan, Dr Ahmad Azam yang sekali gus melancarkan konvoi bantuan. Program turut disertai Naib ketua AMK Malaysia, Shamsul Iskandar Mohd Akin, Exco AMK, Zarerah Hanim Mohd Zaki, Ketua AMKNS, Arifin Berham.

Cina Muslim tidak dapat bantuan zakat?
Apa yang menariknya rumah pertama yang dilawati AMKNS untuk diberikan bantuan ialah rumah sebuah keluarga Cina yang susah di kawasan Kampung Chuah, kata Badrul Hisham. Rumah keluarga ini didiami oleh seorang ibu (68 tahun), seorang anak lelaki 38 tahun (sakit mental) dan seorang anak perempuan (ibu tunggal) 35 tahun dengan lima orang anak, katanya. Ketika bantuan disampaikan, AMKNS diberitahu bahawa salah serang ahli keluarga Cina tersebut, Tan Chong Yin merupakan saudara baru yang memeluk Islam pada tahun 2004 dengan nama Islamnya Salmah Abdullah, kata Badrul Hisham.
Tambahnya, bukan setakat Salmah sahaja yang memeluk Islam, malah anaknya, Goh Chin Kiat turut diajak memeluk Islam tahun ini, katanya. "Beliau memutuskan ingin masuk Islam kerana tertarik dengan cerita kawan-kawan Islamnya mengenai Islam, tetapi malangnya sehingga hari ini beliau tidak pernah tahu mengenai Islam dengan lebih lanjut. Beliau terpaksa bergelut dengan kehidupan susah tanpa bantuan walaupun beliau layak menerima zakat dan bantuan Baitulmal," katanya Menurut Badrul Hisham, pejabat agama hanya akan memberi bantuan jika Salmah hadir kelas fardu ain yang ditetapkan, sedangkan Salmah tidak dapat hadir kerana desakan hidup tatkala terpaksa bekerja keras umpama 'kais pagi makan pagi kais petang makan petang', katanya.
Terlalu banyak orang fakir yang tidak menerima bantuan dikesan dalam konvoi tersebut, malah dari senarai pejabat agama yang diperolehi setelah di siasat tidak ramai, dakwanya.

Penyelewengan dana bantuan orang miskin?
Selain itu AMKNS melahirkan rasa kesal, terhadap sikap Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Seri Mohammad Hassan kerana dalam keadaan ramai rakyat negeri ini yang susah, Mohammad terus membazirkan wang bantuan Dana Orang Miskin untuk perkara yang tidak mendatangkan faedah kepada rakyat, dakwa Badrul Hisham.
Antara pembaziran yang didakwa berlaku ialah, kerja-kerja ubah suai rumah Menteri Besar yang baru dua tahun siap dengan belanja RM4.5 juta, sedangkan ramai anak-anak yang tidak dapat pergi ke sekolah kerana masalah kemiskinan, katanya.

1 comment:

  1. Anonymous11:51 PM

    Tahniah AMK Negeri Sembilan....

    terus memacu perjuangan membela rakyat...

    cakap serupa bikin...

    Reformasi !!!

    (tunggu bahagian Pemangku Ketua Ang.Muda Malaysia buat apa erk?)

    ReplyDelete