Sunday, September 11, 2005

Keangkuhan dan Prejudis Kerajaan Terhadap Sejarah

Keangkuhan dan Prejudis Kerajaan Terhadap Sejarah

Sempena kemeriahan Hari Kebangsaan, Setiausaha Antarabangsa dan Hal Ehwal Pertubuhan Bukan Kerajaan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Ronnie Liu Tian Khiew menerangkan dalam kenyataan media beliau, The real fighters for MERDEKA, bahawa generasi baru di Malaysia kurang memahami sejarah, kerana buku teks sejarah kita tidak merakamkan kebenaran sejarah.Menurut beliau, "Bertentangan dengan apakah yang dipelajari dari buku teks, pemimpin Umno bukan pejuang kemerdekaan yang sebenar".

Ini telah mencetuskan bantahan kuat dari pimpinan Pemuda Umno, sehingga mereka menjeritkan kata-kata biadap dengan histeria di lidah propaganda Umno, Utusan Malaysia.Ketua pengarang New Straits Times (NST) iaitu sebuah lagi lidah propaganda Umno, Kalimullah Hassan pula bersubahat dengan Naib Ketua Pemuda Umno, iaitu menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin untuk memutar belitkan kenyataan Ronnie, setelah berjaya memfitnah blogger Jeff Ooi Chuan Aun pada 2 Oktober tahun lepas.

Ronnie menamakan Mokhtaruddin Lasso, Ahmad Boestaman, Dr Burhanuddin al-Helmi, Ishak Haji Mohammad (Pak Sako), Arshad Ashaari, Dahari Ali, Baharuddin Tahir, Khadijah Ali, Ibrahim Karim, Kamarulzaman Teh (Pak Zaman), Abdul Rahman Rahim dan ramai lagi pemimpin Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebagai pejuang merdeka sebenar. Akan tetapi, selepas diputar belitkan Kalimullah di NST yang tidak dapat bezakan PKM dan PKMM, Ronnie bukan sahaja didakwa memuji para pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai pejuang merdeka, malah terus menipu rakyat bahawa Ronnie telah menafikan Tunku Abdul Rahman sebagai Bapa Kemerdekaan.Pada mulanya, Pemuda Umno mendesak DAP meminta maaf. Seterusnya, Khairy yang belum memenangi kerusi parlimen pun mencabar Ketua Pembangkang Parliamen, YB Lim Kit Siang agar berbahas di Parlimen sama ada Tunku Abdul Rahman adalah Bapa Kemerdekaan. Datuk Hishamuddin Hussien, Ketua Pemuda Umno pula menegaskan, "Pemuda Umno tidak akan izinkan DAP menidakkan pejuang kemerdekaan".

Dengan bermulanya persengketaan ini, ramai ahli akademik dan politikus pun meluahkan pelbagai pandangan. Sejarahwan yang termasyhur, Profesor Emeritus Datuk Khoo Kay Kim berkata, "Matlamat perjuangan PKM bukan untuk mencapai kemerdekaan, tetapi menghalaukan penjajah, demi mendirikan sebuah 'negara Komunis proksi' di Malaya yang akan membentuk sebahagian daripada 'Orde Komunis' baru di seluruh dunia." Dalam Teori beliau, sebagai anggota 'Orde Komunis' sedunia, Malaya bukan negara merdeka yang berdaulat.

Datuk Seri Shahidan Kassim, Menteri Besar Perlis bukan sahaja menuduh para pemimpin DAP tidak bersyukur, malah mengugut akan mendesak kerajaan menarik balik kerakyatan mereka jika mereka tidak meminta maaf, kerana mereka tidak layak menjadi warga Malaysia.Datuk Noh Omar, Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri memberitahu Berita Harian, jika ada pihak yang melaporkan kes ini kepada polis, pihak polis boleh menyiasat dan mengkajii kalau penulis itu boleh didakwa di bawah Akta Hasutan. Noh menambah sampai sekarang dia belum tahu sama ada laporan telah dibuat. Akan tetapi, beliau menunjukkan bahawa siasatan boleh dilaksanakan tanpa laporan dibuat.Ling Hee Leong, anak Tun Dr. Ling Leong Sik yang baru-baru ini memenangi jawatan Naib Ketua MCA, juga berkata Ronnie sepatutnya memberikan tumpuan kepada pembangunan negara, dan bukan cuma "memutar belitkan" sejarah demi kepentingan politik.sendiri.

Beliau turut memfitnah bahawa DAP sentiasa membuat tuduhan tanpa merujuk kepada fakta, sedangkan BN sendirilah yang paling minati taktik kotor tersebut.Datuk Ong Tee Kiat yang terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden MCA, sungguhpun kuat membidas Ling Hee Leong sebelum ini, turut dilaporkan Utusan Malaysia menyuruh DAP meminta maaf, terutamanya kepada generasi baru. "Hanya mereka yang jahil akan menafikan sejarah Tunku dan rombongannya meminta sedekah kemerdekaan di London. Patutlah beliau berkecil hati kerana penipuan dalam sejarah yang diputarbelitkan mereka terbongkar.Berkenaan isu ini, Mah Siew Keong, Ketua Pemuda Parti Gerakan, terus mengulangi komen basi yang diminati pemimpin Barisan Nasional (BN), iaitu, "Isu ini telah dipolitikkan," dan DAP tidak harus mengeluarkan kenyataan yang memburukkan kewibawaan Tunku.

Betapa ironiknya, ini mencerminkan "selective amnesia" yang dijangkiti pemimpin BN, di mana rata-rata telah lupakan Tun Dr. Mahathirlah yang paling memburukkan kewibawaan Tunku, dalam persengketaan di antara Umno (Baru) dan Semangat 46. Tunku juga tidak pernah menyertai parti Umno (Baru) yang ditubuhkan oleh Tun Dr. Mahathir pada tahun 1988.Berani kerana benar. Berhadapan dengan sarkas yang kehilangan akal, Ronnie memilih untuk mencabar mereka dengan perbahasan terbuka. Sayang sekali, Pemuda Umno yang semangat patriotiknya membara tadi terpaksa mencari pintu belakang untuk melarikan diri. Malu untuk menyerah kalah sungguhpun pengecut, Khairy yang terlupa menghadiri perhimpunan agung Pemuda MCA kerana baru-baru ini memberitahu media bahawa dia tidak berminat untuk berdebat, manakala Datuk Hisham cuba mengubahkan tumpuan orang ramai dengan menolak cabaran itu dan mendakwa DAP cuma ingin mengubahkan tumpuan orang ramai.Pemuda Umno yang berniat jahat secara terus terang tanpa segan silu menyenaraikan tiga syarat, iaitu DAP mesti minta maaf, menurunkan kenyataan Ronnie dari laman web, dan mengambil tindakan disiplin terhadap Ronnie. Khairy turut berkata dia akan terus mendakwa DAP sebagai pengkhianat sehingga mereka terpaksa mengakui Umno sebagai pejuang kemerdekaan sebenar.Aksi mendakwa dengan Akta Hasutan, menarik balik kewarganegaraan, "mem-pengkhianat-kan" mereka yang berfikir secara bebas, malah mengugut orang ramai agar mempercayainya, yang digemarikan oleh pemimpin Umno sememangnya merupakan keangkuhan dan keganasan sesiapa sahaja yang memonopoli hak mentafsir sejarah.

Memandangkan sejarah hanya berupaya merekodkan kejadian dan akibat, kebenaran yang rumit dan tersembunyi selalunya tidak tercermin. Sedangkan kita sering kali terdengar "Sejarah merupakan hakim terakhir", kita senantiasa terlupa siapakah sebenarnya yang menulis sejarah. Di antara bapa modenisasi dan diktator zalim malah konspirator terunggul, siapakah yang membentuk ingatan kolektif generasi akan datang terhadap Tun Dr. Mahathir kalau bukan kerajaan? Apakah perlunya sensitif sangat dengan adakah parti rasuah itu pejuang kemerdekaan, seandainya sejarah tuntutan kemerdekaan Tanah Melayu dilihat tanpa prejudis perkauman? Pemimpin parti dan kolumnis terkemuka, Rustam Sani pernah menyoal, apakah yang diperjuangkan Umno, kalau bukan untuk meneruskan sistem pemerintahan warisan penjajah British?

Seperti yang diterangkan oleh Hishamudin Rais, rakyat dikehendaki mempercayai dongeng Umno bahawa Umno sahajalah yang memungkinkan dan menjayakan tuntutan kemerdekaan negara kita. Jika ini disyaki atau dicabar, maka survival Umno akan teruk terjejas, memandangkan apakah yang dialamai parti Kongres di India atau Kuomintang di Taiwan.Selepas isu ini hangat dipermainkan parti rasuah itu, ia turut dibangkitkan di rancangan call-in di saluran radio seperti Wa FM 97.6.

Seperti dalam jangkaan, ramai warga terpelajar tidak faham dengan penafian kebanyakan pendengar muda terhadap Komunis. Akan tetapi, selepas "brainwash" daripada Umno selama berdekad-dekad, ketakutan golongan muda terhadap Komunis sebenarnya tidak memeranjatkan.Terutamanya, di dalam suatu sistem pendidikan yang bukan sahaja tidak mendorong malah melarangkan persoalan dan pemikiran kritikal, Komunisme telah disamakan keganasan dan kezaliman, karektor yang sebenarnya milik Umno.

Tambahan pula, kerajaan juga memujuk masyarakat Muslim untuk meminggirkan Komunisme kerana ia menidakkan agama. Oleh yang demikian, bukanlah menghairankan pun jika generasi muda tidak pernah menyoal, "Kenapakah ramai lagi yang menyokong malah berkorban untuk Komunisme jika ia seteruk yang digambarkan di buku teks?"Seperti yang digambarkan oleh Rustam Sani sebagai "Profesor Kangkung", memanglah terdapat ahli akademik yang merupakan tin kosong. Apakah mereka yang ingin menghalau penjajah dan mendirikan kerajaan kita sendiri, sungguhpun kerajaan yang mengamalkan Komunisme, bukan memperjuangkan kemerdekaan, manakala mereka yang meminta sedekah kemerdekaan daripada Tuan British mereka dan mendirikan sebuah negara Umnoputra pula memperjuangkan kemerdekaan, padahal Umno mewarisi segala-gala sistem pemerintahan yang ditinggalkan Tuan British mereka termasuk Kapitalisme, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), pecah dan perintah dan sebagainya?

Seandainya bahaya sangat Komunisme, kenapakah Umno seringkali memuji kegemilangan Parti Komunis China dan menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menjalin hubungan diplomatik dengannya (1974) apabila Revolusi Kebudayaan (1966-1976) di mana berjuta-juta rakyat tidak berdosa mati dibunuh sedang berlaku, sedangkan semua negara serantau sibuk membendung pengaruh Komunis? Akhir-akhir ini, kerajaan BN telah mengharamkan Falungong, kumpulan seni pertahanan diri yang digelar ajaran sesat oleh Komunis kerana takut Falungong mampu menggugat kedudukannya, dan juga akhbar The Epoch Times yang anti-Komunis daripada diterbit di Malaysia, kerana takut Beijing marah nanti.

Apakah ini selari dengan pendirian Umno yang kononnya anti-Komunis sangat?Jika kita percaya buku teks sejarah versi Umno, sejarah kita cuma bermula dari Kesultanan Melaka. Ganganegara di Bruas, Perak, Kedah Tua di Lembah Bujang, Kedah, Tan-tan dan Chih-tu di Kelantan, Temasek, Patani Darusalam, Srivijaya, Majapahit dan yang sewaktu dengannya semuanya seumpama kerajaan yang halimunan sahaja. Dengan ini, Malaysia sekarang diceritakan sebagai episod kedua Kesultanan Melaka, dan muncullah juga teori fasisme "Ketuanan (segelintir) Melayu" yang dijadikan baju baru maharaja, yang kononnya begitu membanggakan di persada dunia.Sejarah cuma merakamkan peristiwa di permukaan dan akibatnya, manakala rebutan kuasa yang berlaku dalam peristiwa itu dibiarkan terlepas dari sejarah sahaja.

Tanpa tekanan daripada perjuangan bersenjata, mungkinkah pihak penjajah British akan secara mudah setuju untuk berunding dengan Perikatan? Ia serupa dengan rundingan yang akhirnya diadakan di antara orang putih dengan Martin Luther King hanya setelah adanya Malcolm-X yang ekstrimis.Apabila penasihat parti, Sdr Anwar Ibrahim dikembalikan kebebasannya 2 September tahun lepas, penulisan sejarah telah menjadi sebahagian pidato pertama di kediaman beliau. Sdr Anwar mengingatkan kita agar jangan lupakan mereka yang pernah bertungkus lumus sehingga terkorban untuk memperjuangkan kemerdekaan. "Yang lain cuma runding-runding sahaja," ujar beliau.

Yang ironik sekali, jika Pemuda Umno betul-betul menentang tuntutan kemerdekaan secara keganasan, apakah yang ketuanya ingin sampaikan dengan terhunus sebilah keris di tangannya semasa perhimpunan agung?

2 comments:

  1. I don't understand absolutely nothing, but it looks like a nice blog, almost like mine lol lol
    How to Cure Acne

    ReplyDelete
  2. Anonymous8:36 PM

    yang penting islam tue diutamakan.BELAJO ILMU AGAMA.. ilmu islam kena belajar.. penyakit hati kena buang jauh2.... akhir zaman sgt besar fitnahnya....
    org yg beribadat byk yg jahil (ikut2 tnpa belajar)...
    ulama fasik-keluarkan fatwa bkn2.....
    kita tahu x sifat2 WAJIB bagi Allah??
    kita tahu x syarat2 sah bagi solat??
    kita kena belajar sume..insyallah islam akan kuat...ilmu fardu ain adalah utama...ilmu kifayah akan automatik jadi kalau ilmu fardu ain diutamakan...

    ReplyDelete