Thursday, November 28, 2019

UGUTAN TINDAKAN UNDANG - UNDANG OLEH TONY PHUA KIAM WEE

Ruj. Sdr   : KPLT.2090.19./CL
Tarikh      : 27 November 2019

Kepada :

YB. Tony Phua Kiam Wee,
Ahli Parlimen Damansara juga
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan Malaysia.

melalui

KPLU & Tan Advocates Solicitors,
D79, Oasis Square, 2A, Jalan PJU 1A/7A,
Ara Damansara, 47301 Petaling Jaya,
Selangor Darul Ehsan, Malaysia

email : chengleong@kpltan.com


Saudara ;

UGUTAN TINDAKAN UNDANG - UNDANG OLEH TONY PHUA KIAM WEE

Perkara di atas di rujuk.

1 November 2019 saya telah menerima satu email melalui cheGuBard@gmail.com dari chengleong@kpltan.com yang 'dikepilkan' 17 helaian surat berbahasa Inggeris bertarikh 29 Oktober 2019 yang meminta saya meminta maaf kepada Sdr. Tony Phua Kiam Wee kononnya kerana saya menfitnah dia dalam 3 posting yang mana disertakan salinannya dalam surat tersebut.

Sebagai respon saya telah membalas surat tersebut melalui email yang sama seperti di bawah :

Perkara di atas dirujuk. 

2. Pertamanya saya meminta masa untuk menjawab surat ini dilanjutkan sehingga selepas PRK Tanjong Piai selesai kerana saya terlibat menyusun kempen memberi penumpuan mengalih dan mengepung undi masyarakat Melayu kepada calon Pakatan Harapan. Saya terlibat dalam jentera propaganda sulit di peringkat bawah. Oleh kerana itu juga salinan yang dihantar ke kedua dua alamat tersebut juga saya masih belum baca dan mujurlah pihak tuan menghantar melalui email ini.

3. Keduanya meminta untuk surat tersebut dapat dihantar dalam Bahasa Melayu (Bahasa Kebangsaan) agar saya membantu pemahaman, mengelak salah faham dan saya dapat membalas dengan baik nanti.

4. Adapun kenyataan saya secara bertulis atau lisan adalah untuk mencari kebaikan untuk negara secara amnya dan memastikan pengukuhan berterusan sokongan rakyat terhadap PH secara khususnya namun jika ada yang terkesan saya mohon maaf. Saya akan menjawab secara butiran penuh selepas PRK Tanjong Piai (selepas 16 November) dan selepas saya menerima (melalui email ini) salinan surat sama dalam Bahasa Melayu.

Kemudian pada 15 November 2019 saya telah mendapat e mail dari alamat yang sama menghantar semula surat yang sama dalam Bahasa Kebangsaan - Bahasa Melayu. Beberapa hari saya ambil untuk merujuk dan memeriksa balas dengan beberapa orang sumber saya termasuk beberapa pemimpin kerajaan.

Sebagai balasan saya nyatakan seperti di bawah :

1. Tindakan ini membuktikan saudara memberikan perhatian kepada tulisan dan kenyataan saya yang menegur dan ingin sama membaiki kerajaan dan pemerintah Malaysia hari ini untuk memperkukuhkan ia demi rakyat. Terima kasih atas perhatian tersebut. 
2. Saya memohon maaf jika ada kenyataan saya yang menyusahkan saudara namun saya mempertahankan kenyataan saya iaitu hak dan kepentingan bumiputera wajib dipertahankan demi kestabilan negara ini. Jelas beberapa tindakan khususnya dalam pengurusan syarikat berkaitan kerajaan agak tidak kena dan menjejaskan kepentingan bumiputera. 
3. Tindakkan ugutan saman dan tekanan perundangan mengingatkan saya terhadap kerajaan Malaysia sebelum ini. Saudara sendiri sebelum ini begitu hebat melaungkan mengenai hak rakyat untuk mempersoalkan kepincangan dan apa yang tidak puas hati secara terbuka. Malah kita pernah sama menggesa kakitangan kerajaan yang punya maklumat salah laku wajib membocorkan demi kepentingan negara. Sebagai pemegang amanah / penjawat awam / pemimpin negara pula menjadi tanggungjawab menjawab kritikan terbuka dengan cara penerangan. Selalu pemimpin ada runag media dan sebagainya. Namun nampaknya bila ada kuasa saudara lupa dengan laungan saudara sendiri sebelum ini.  
4. Saya sedia mendengar penjelasan saudara dan jika ada kesalahan saya sedia membetulkan apa yang saya tulis atau berkata - kata namun ugutan tindakan undang - undang tidak sama sekali mampu mengubah saya. Untuk pengetahuan saudara sejak 1998 saya telah ditahan pihak berkuasa tidak kurang dari 35 kali. Saya pernah ditahan secara kasar di depan keluarga dan anak anak saya. Saya pernah ditahan ketika saya mengajar di sekolah. Saya pernah dikepung ketika sedang memandu oleh belasan kenderaan penguasa dan ditahan ditepi jalan. Rumah saya juga pernah dibaling bom botol yang mana saya yakin ia ada kaitan pendedahan pembaziran dan korupsi yang saya lakukan ketika itu. Maka ugutan tindakan undang - undang tidak akan gentarkan saya untuk terus bercakap apa yang saya yakin ia benar lebih lagi saya tidak punya apa pun. Saya dan keluarga duduk dirumah sewa, kereta saya guna pinjaman bank 9 tahun atas nama kawan saya kerana nama saya tidak layak dapat pinjaman bank sebab tak ada pendapatan tetap. Dua akaun bank kurang RM3,000 malah ada masanya hanya beberapa puluh ringgit baki. Saya tidak punya harta lain seperti tanah jauh lagi saham secara langsung atau melalui proksi. Saya hanya menanggung kehidupan saya dan keluarga melalui beberapa perniagaan runcit kecil sahaja.
5. Jangan menumbangkan Bn dan menggantikan dengan kerajaan baru hari ini usaha kamu sahaja. Ia usaha ramai malah majoritinya tidak dikenali dan tidak duduk dalam kerajaan itu sendiri pun hari ini. Makanya semua ada hak menegur demi mempertahankan kerajaan malah sentiasa mengasak penambahbaikan. Teguran saya juga saya masih 'minima' bukan melalui sidang media dan libat aksi fizikal terbuka hanya tulisan disosial media sahaja dengan harapan kamu sendiri atau pihak berkaitan membaca dan membetulkan keadaan.
6. Jika saman dan tindakan undang - undang pilihan kamu saya gusar akan terdedah dokumen - dokumen dan akan disapina saksi saksi yang akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan hari ini. Ingat antara asas teguran saya ialah mengenai usaha melantik Dato Voon Tin Yow (yang merupakan Lembaga Pengarah Ecoworld) sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ke dalam GLC yang selama ini menjadi teras Bumiputera iaitu Sime Darby Proterty dengan gaji RM265,000 sebulan. Saudara tentu sangat tahu siapa terlibat dalam cadangan ini. Hasil pendedahan saya disambut asakan beberapa pihak telah berjaya menggagalkan cadangan ini. 
Keduanya pendedahan saya ialah cadangan gabungan dimana UEM Sunrise yang 'dipaksa' gabung dengan Ecoworld. Adakah cadangan gabungan ini tidak wujud ? Syarikat teras bumiputera akan ditelan syarikat berkepentingan majoriti besar bukan bumiputera yang sedang mengalami masalah. Cadangan ini tidak ditarik sehingga kini cuma pendedahan saya dan asakan beberapa pihak hanya dilihat melambatkan sedikit proses tersebut.  
Dalam semua ini apa peranan Kementerian Kewangan di mana saudara Lim Guan Eng merupakan Menteri Kewangan dan kamu merupakan setiausaha politiknya ? 

Sebagai penutup sekali lagi saya nyatakan saya mohon maaf jika menyusahkan kamu namun saya tegaskan keyakinan saya ialah dalam negara ini yang majoritinya bumiputera maka demi menjamin kelansungan kestabilan kepentingan pegangan ekonomi majoriti bumiputera wajib dipertahankan. Menjadi hak semua warga membuat teguran dan menjadi kewajiban pemerintah menjawab dan menjelaskan kedudukan sebenar.

Sekian dan terima kasih.

che'GuBard

No comments:

Post a Comment